Perkenalannya dengan Fidel Castro dan Hilda Gadea Acosta telah membawa satu era perjuangan radikal di bumi Guatemala. Penubuhan Alianza Popular Revolucianaria Americana (APRA) telah melakar sejarah penentangan bersenjata.
Konsep peperangan gerila yang diperkenalkan oleh ARPA telah menyebabkan pergolakan politik berlaku di wilayah-wilayah yang dikuasai kapitalis yang mahu berkuasa menentukan hasil negara seperti Guatemala.
Kemudian, pada tahun 1959, Che Guevara telah membantu Fidel Castro merampas kuasa di Cuba dan mengembangkan kuasa sosialis soviet di bumi Amerika Latin.
Dalam revolusi Cuba itu, strategi Che Guevara berjaya menumpaskan Fulgencio Batista, pemimpin yang ketika itu disokong oleh pihak berkepentingan penuh dari Amerika.
Che Guevara juga diberi peranan penting dalam sektor kewangan, dilantik sebagai Presiden Bank Nasional. Dengan kuasa itu, dia telah mengurangkan kebergantungan Cuba terhadap eksport gula dan perdagangan luar negara terutamanya Amerika Syarikat.
Ini telah menaikkan lagi namanya. Che Guevara disanjung oleh golongan miskin dan menjadi pembakar semangat kepada pejuang revolusi dalam menentang kuasa kapitalis yang menindas mereka.
Semasa pemerintahan Che Guevara bersama Castro di Cuba, mereka berjaya menggagalkan serangan di Teluk Bay of Pigs sehingga Amerika berasa terhina dengan kegagalan serangan itu. Disebabkan itu, Amerika amat marah dan bertekad mahu menangkap Che Guevara.
Pada tahun 1964, Che Guevara berucap di persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Amerika. Beliau berucap selama sejam dengan secara terang-terangan mengutuk PBB dan mengutuk layanan Amerika terhadap bangsa kulit hitam.
Selepas kejayaan membebaskan Cuba, pada tahun 1965, Che Guevara meninggalkan negara itu dan memulakan revolusi di Congo dan akhirnya ke Bolivia. Che Guevara mahu memperluaskan ideologi revolusinya ke seluruh dunia di mana berlakunya penindasan rakyat. Namun, hajat lelaki yang disanjungi rakyat kelas bawahan ini tidak kesampaian.
Che Guevara (tengah) di Congo.
Kehilangan misteri Che Guevara daripada revolusi Congo pada April 1967 terjawab apabila dia diketahui memimpin gerakan revolusi di Bolovia.
Namun, perjuangan Che Guevara untuk membebaskan Bolovia menghadapi masalah apabila dia diburu militan Bolovia yang dilatih oleh Amerika Syarikat.
Akhirnya Che Guevara berjaya ditangkap dalam satu operasi ketenteraan terancang Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA). Dia dihukum mati oleh tentera Bolovia di La Higuera sewaktu ditawan dalam pertempuran di Quebrada del Yuro pada 8 Oktober 1967.
Sehari selepas ditangkap, Che Guevara dibunuh atas arahan presiden Bolovia. Tangannya dikerat untuk dijadikan bukti, manakala mayatnya dibuang ke dalam satu lubang kubur besar bersama pejuang pemberontak yang lain.
Selama hampir 30 tahun, tiada siapa tahu di mana lubang kubur tersebut. Hanya pada tahun 1997, barulah mayat Che Guevara ditemui. Itupun setelah pesara tentera, Jeneral Mario Vargas membuka cerita kepada Jon Lee Anderson pada tahun 1995, memberitahu mayat pejuang revolusi itu ditanam berdekatan lapangan terbang Vallegrande, sebuah bandar kecil di Bolivia.
Jon Lee Anderson merupakan seorang penulis untuk buku Che Guevara : A Revolutionary Life. Pendedahan dalam sesi temubual dengan jeneral itu telah membuka laluan kepada misi pencarian besar-besaran mayat Che Guevara di lokasi yang disebutkan itu.
Salah satu mayat yang ditemui dalam lubang itu mempunyai ciri tepat Che Guevara di mana mayat itu tiada tangan dan terdapat satu paip tembakau dalam jeket mayat itu yang disahkan adalah kepunyaan Che Guevara.
Pencarian yang dilakukan menemui tulang temulang Che Guevara bersama rakan-rakannya yang terkorban di lokasi yang disebut Jeneral Mario, salah seorang bekas askar yang terlibat dalam misi penangkapan Che Guevara dahulu.
Kematian Che Guevara telah banyak diperdebatkan para pemikir politik. Salah satu jawapan konkrit yang diterima pakai dunia mengapa dia dibunuh adalah kerana dia menentang kapitalis.
Pada golongan atasan, mereka melihat figura ini sebagai pemberontak dan pembunuh kejam. Golongan yang hidup senang lenang memang benci pada Che Guevara.
Tetapi pada rakyat bawahan yang hidup menderita dan ditindas, Che Guevara adalah seorang hero. Dia menjadi kebanggan atas usahanya menumpaskan penindasan dan membangkitkan keadilan golongan bawahan.
Che Guevara tetap diingati oleh penduduk Amerika Selatan walaupun setelah lebih lima dekad kematiannya.
Sebab itu, imej ikonik Che Guevara masih kuat membakar semangat rakyat bawahan walau sudah berpuluh tahun dia tiada.
Sehingga kini, nama Che Guevara terus dikenang sebagai wira pembela masyarakat miskin di seluruh Amerika Selatan dan Latin. Tarikh kematiannya akan diraikan oleh ramai rakyat di sana untuk memperingati jasa dan perjuangannya.
Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI
KONGSIKAN: