Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Orang Melayu jangan pernah lupakan Harun Idris !


Dato Seri Seri Haji Harun bin Haji Idris yang dikenali dengan nama Harun Idris menerajui UMNO Selangor tidak lama selepas diangkat menjadi Menteri Besar selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Morib pada pilihan raya umum 1964. Beliau telah diamanahkan oleh kepimpinan nasional UMNO untuk memegang kedua-dua jawatan itu dengan hasrat untuk menjadikan beliau seorang pemimpin negeri yang berkesan. Sebagai Menteri Besar, beliau bertindak sebagai ketua cabang eksekutif yang mempunyai kawalan ke atas jentera kerajaan melalui Exco. 

Sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pula, Harun Idris mempunyai kawalan ke atas jentera parti. Ketua-ketua bahagian juga berada di bawah kawalan beliau. Jika beliau tidak diberi kedudukan nombor satu di dalam UMNO Selangor, beliau berkemungkinan tidak mendapat kerjasama yang baik daripada pemimpin-pemimpin UMNO negeri, terutama di kalangan mereka yang lebih kanan daripada beliau di dalam UMNO. Ini berlaku pada Datuk Abu Bakar Baginda. Oleh kerana beliau bukan ketua UMNO negeri ketika menjadi Menteri Besar, terdapat persaingan kuasa antara beliau dengan pemimpin UMNO negeri lain yang berpengaruh.

Akibatnya, selepas Aziz Ishak tidak lagi menjadi ketua UMNO Selangor berikutan persengketaannya dengan Tunku Abdul Rahman pada 1960an, terdapat tiga kelompok yang bersaing antara satu sama lain untuk menguasai UMNO Selangor. Satu kelompok diketuai oleh Abu Bakar sendiri: kelompok kedua dipimpin oleh Ketua UMNO Kuala Lumpur, Abdullah Yassin manakala kelompok ketiga diketuai oleh Tahir Majid, Ketua UMNO Kuala Langat. Untuk menyelesaikan krisis dalaman UMNO Selangor itulah Harun Idris telah dibawa bertanding pada pilihan raya umum 1964 itu. Tunku Abdul Rahman sewaktu mempelawa Harun Idris, ketika itu penasihat Undang-undang Selangor, bertanding beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar setelah terpilih nanti. Tunku Abdul Rahman, selaku Yang Dipertua (presiden) UMNO bukan sahaja menamakan Harun Idris sebagai Menteri Besar tetapi juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. Beliau memegang kedua-dua jawatan di dalam kerajaan dan parti itu selama 12 tahun sehingga 1976.

Selama tempoh itu Harun Idris telah membuktikan dirinya sebagai seorang ahli politik dan pentadbir yang dinamik dalam membangunkan Selangor, yang juga berjaya mengangkat UMNO Selangor dan kepimpinannya ke peringkat yang lebih tinggi. Selain menerajui UMNO Selangor, Harun Idris turut diamanahkan oleh ahli-ahli parti untuk menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan seterusnya sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia. Malah di kalangan rakan-rakan seperjuangannya terutama di dalam Pergerakan Pemuda UMNO, Harun Idris dianggap seorang pemimpin yang "berkeperibadian untuk menjadi Perdana Menteri." Setidak-tidaknya itu penilaian Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Fadzir, exco Pergerakan Pemuda UMNO zaman Harun Idris menjadi ketua. Tetapi oleh kerana Harun Idris menjadi mangsa cemburu di kalangan yang tidak senang dengan kepimpinannya, Harun Idris akhirnya difitnah sehingga beliau berkrisis dengan kepimpinan Tun Abdul Razak. Akibatnya usaha dibuat untuk menyingkirkan Harun Idris daripada arena politik nasional. Usaha itu berjaya dan berakhirlah peluang Selangor untuk melihat seorang anak negerinya memegang jawatan yang tinggi di dalam parti dan kerajaan. 

Siapa Harun Idris

Harun Idris adalah seorang anak jati Selangor. Beliau dilahirkan pada 21 Julai 1925 di Kampung Petaling Bahagia, Mukim Petaling. Beliau lahir dalam keluarga yang boleh dianggap sederhana. Beliau adalah anak ketiga daripada enam orang adik beradik. Beliau mempunyai dua orang kakak, dua orang adik perempuan dan seorang adik lelaki. Seperti keluarga Melayu lain pada waktu itu, semasa membesar Harun tidak terkecuali untuk membantu keluarga menambah pendapatan bagi menampung hidup mereka. Sebagai anak lelaki tua, kesedaran itu timbul awal dalam diri Harun. Lantaran itu, pada waktu lapang semasa tidak bersekolah, beliau membantu ibunya menanam sayur di keliling rumahnya. Apabila tanamannya boleh dituai, beliau sendiri akan berbasikal menjual sayuran-sayuran itu di pasar berhampiran kampungnya.

Harun Idris bertuah kerana beliau lahir dalam keluarga yang mementinngkan pelajaran. Pada mulanya beliau bersekolah di Sekolah Melayu. Sewaktu berusia 12 tahun, beliau meneruskan pendidikannya di Victoria Institution yang terletak lima batu jauhnya daripada rumah beliau. Tetapi oleh kerana semangat menuntut ilmu kuat, beliau sanggup mengayuh basikal, melalui hutan tebal untuk berulang alik ke sekolah setiap hari. Jarang beliau ponteng sekolah. Sebagai pelajar, Harun Idris memiliki paras kecerdikan yang tinggi. Kerana tekun menelaah pelajaran, beliau lulus dengan pangkat pertama dalam peperiksaan Senior Cambridge yang beliau duduki pada akhir 1945. Buat seketika, pelajarannya terganggu oleh pendudukan Jepun.

Dengan kelulusan yang cemerlang itu, beliau ditawarkan pada mulanya untuk menjadi pegawai pentadbir, tetapi beliau menolak. Cita-citanya ialah untuk menjadi seorang peguam. Apa yang beliau idamkan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila pada 1948 beliau ditawarkan biasiswa untuk mengikuti kursus guaman di Middle Temple, London di United Kingdom. Beliau tidak berfikir panjang lagi lalu segera menerima tawaran itu. Biasiswa yang diberikan adalah untuk empat tahun. Tetapi Harun berjaya melayakkan dirinya menjadi peguam dalam masa 18 bulan. Sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik sebagai majistret di Tampin, Negeri Sembilan. Beliau kemudian berpindah ke Kuala Lumpur sebagai timbalan pendakwa raya. Dalam perkhidmatan guaman, Harun Idris juga pernah berkhidmat di Perak, Jawatan terakhirnya sebelum terjun ke dunia politik ialah sebagai Penasihat Undang-undang negeri Selangor, kedudukan yang membolehkan beliau menjadi ahli exofficio Majlis Mesyuarat Negeri Selanhor atau Exco. Pada kedudukan inilah Harun Idris menonjolkan dirinya sebagai seorang ahli politik. Sebagai penasihat undang-undang, beliau banyak memberi jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Jawapan-jawapan beliau itu mendapat perhatian akhbar. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman turut mengikuti apa yang dilakukan oleh Harun Idris itu.

Masuk ke dunia politik

Walaupun Harun Idris bergiat aktif dalam politik bermula pada 1964 apabila beliau diturunkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri Morib, tetapi perjuangan UMNO cukup dekat dengan dirinya Sewaktu kebangkitan menentang Malayan Union, beliau yang ketika itu berusia 21 tahun, walaupun secara langsung tidak terlibat dengan mana-mana persatuan Melayu di Selangor. Tetapi perkembangan yang berlaku itu diikuti dengan dekat melalui tiga orang gurunya yang kebetulan terbabit dengan kegiatan membantah Malayan Union. Mereka ialah Cikgu Hassan, Cikgu Karim dan Cikgu Abu Samah. "

Mereka sering bercakap mengenai politik dan sedikit sebanyak telah memberi fahaman kepada saya erti pentingnya perjuangan," kata Harun Idris dalam temuramah yang dimuatkan dalam buku Jejak Pejuang yang diterbit kan oleh UMNO Selangor pada 1996.

Malah apabila ada kesempatan Harun Idris hadir untuk mendengar ucapan berkobar-kobar yang disampaikan oleh para pemimpin Melayu seperti Datuk Onn, Ahmad Boestamam dan juga Ishak Haji Mohamad. Apabila UMNO membuka keahlian langsung kepada orang Melayu yang ingin menyertainya, Harun adalah antara mereka yang awal mendaftarkan diri sebagai ahli UMNO. 

Menjelang tahun 1964, beliau tidak lagi berminat untuk teruskan perkhidmatan di dalam bidang perundangan. Beliau sedang tercari-cari peluang untuk berkhidmat kepada masyarakat secara lebih berkesan dan meluas. Bagi beliau, bidang politik adalah peluang itu. 
Kata beliau "Kalau saya tunggu dalam bidang perundangan, saya tahu akhirnya saya akan menjadi hakim suatu hari nanti. Sedangkan saya sendir tidak berminat untuk menjatuhkan hukuman. Menjadi hakim tidak secocok dengan jiwa saya kerana saya merasa terasing dengan masyarakat. Saya suka campur orang dengan tidak mengira kedudukan. Kalau jadi hakim, kita kena ikut peraturan dan tidak bebas dan terkongkong.Hanya itulah jalan keluar daripada bidang tersebut."
Harun Idris beruntung kerana apabila kawan-kawan rapat mengetahui beliau akan bertanding di Morib, mereka memberi sokongan dan bantuan. Malah Tahir Majid, yang memang diketahui berminat untuk menjadi Menteri Besar, turut memberi sokongan kuat. Tambahan pula Tahir, yang memang rapat dengan Harun Idris, bertanding di kerusi menjelang pilihan raya dan beliau tahu bahawa kepimpinan UMNO bercadang untuk menamakan Harun Idris sebagai Menteri Besar tentulah tidak ada gunanya bagi beliau untuk memusuhi Harun. Dalam pertandingan di Morib itu, Harun Idris berlawan dengan Aziz Ishak yang satu ketika pernah memimpin UMNO Selangor, tetapi ketika itu sudah berada di luar UMNO. Beliau meninggalkan UMNO selepas digugurkan oleh Tunku Abdul Rahman daripada kedudukan Kabinet Persekutuan selepas satu sengketa peribadi dengan Perdana Menteri itu. Selepas itu, Abdul Aziz menubuhkan partinya sendiri-Parti Konvensyen Malaya. Malangnya parti itu tidak mendapat sambutan.

Cita-cita memajukan Selangor

Sewaktu dilantik menjadi Menteri Besar, usia Harun Idris ialah 39 tahun. Beliau dikira masih muda. Tetapi beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perundangan. Sebagai anggota ex-officio dalam Exco Selangor ketika beliau menjadi penasihat undang-undang beliau terdedah kepada bagaimana jentera kerajaan negeri berfungsi peringkat tertinggi. Dari segi undang-undang, beliau tentulah dapat mengenai selok-belok fungsi dan peranan Menteri Besar, maka dengan itu beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menampilkan diri sebagai seorang Menteri Besar yang dinamik dan berwibawa. Selaku Menteri Besar, beliau mempunyai fokus yang jelas dalam membangunkan negeri dan rakyatnya. 

Dalam dasar pembangunannya pula, beliau memberi perhatian yang khusus terhadap golongan Melayu, terutama yang tinggal di Kuala Lumpur yang pada waktu itu masih lagi menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran Selangor. Penduduk Kuala Lumpur pada waktu itu sebahagian besarnya terdiri daripada Melayu. Orang Cina merupakan kaum yang dominan. Bagi Harun Idris untuk mengekalkan kuasa politik Melayu, komposisi kaum pendatang Kuala Lumpur tidak akan menguntungkan Selangor. Lantaran salah satu tindakan awal Harun Idris ialah untuk menggalakkan sebanyak mungkin orang Melayu Selangor berhijrah ke Kuala Lumpur dan kawasan berhampirannya. Beliau mahu menjadikan Kuala Lumpur pusat kuasa politik Melayu.

Antara tindakan Harun ialah memejamkan mata kepada kelahiran perkampungan-perkampungan setinggan di sekitar Kuala Lumpur. Malah perkampungan setinggan Melayu itu dibenarkan mendapatkan bekalan elektrik dan air paip supaya mereka juga hidup dalam keadaan yang selesa. Jalan bertar menghubungi kawasan-kawasan setinggan itu turut dibina oleh kerajaan negeri. Kerajaan negeri juga mengiktiraf kampung-kampung setinggan itu kemudiannya dengan memberikan mereka yang menerokanya Lesen Pendudukan Sementara.

Untuk membantu kampung-kampung Melayu yang sudah bertapak lama seperti di Kampung Baru dan Datuk Keramat, Harun Idris menyegerakan pengeluaran geran tanah kepada mereka. Dengan adanya geran itu, pemilik tanah boleh membangunkan tanah masing-masing dengan pinjaman daripada institusi kewangan baik untuk membina rumah bagi disewakan atau rumah kedai. Dengan cara itu, mereka akan mendapat pendapatan tambahan di samping pulangan daripada hasil sewa. Dengan itu, kedudukan ekonomi penduduk Melayu di dalam bandar boleh ditingkatkan untuk membolehkan mereka bersaing dengan orang bukan Melayu. Dengan adanya rumah sewa di Kampung Baru, Datuk Keramat, Kampung Pandan, Ampang Petaling Jaya, Sungai Besi, Kepong dan tempat-tempat lain, bilangan orang Melayu boleh bertambah. Mereka kemudian digalakkan mendaftar sebagai pengundi.

Dalam upaya untuk membangunkan Selangor secara lebih sistematik, banyak yang telah dilakukan oleh Harun Idris. Tetapi secara lebih spesifik tiga institusi kerajaan negeri yang kekal sampai sekarang boleh dikreditkan kepada beliau. Institusi itu ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS yang ditubuhkan pada 1964; Perbadanan Pertanian Negeri Selangor dan juga Yayasan Selangor, yang didirikan tidak lama selepas itu. Setiap satu institusi ini, mempunya peranan khusus untuk memesatkan pembangunan Selangor.

PKNS umpamanya memainkan peranan untuk membangunkan bandar-bandar baru di Selangor dan mempastikan dalam bandar-bandar itu, orang Melayu diberi tempat yang sewajarnya. PKNS juga ditugaskan untuk membina rumah-rumah bermutu yang mampu dibeli oleh orang Melayu. Untuk mengelakkan masalah rumah terbengkalai, kerajaan negeri di bawah arahan Harun Idris meminta PKNS membina rumah-rumah itu terlebih dahulu dan menjualnya kepada orang Melayu selepas siap dibina. PKNS juga ditugaskan untuk memajukan kawasan-kawasan perindustrian bagi menampung keperluan pelabur asing yang ingin membuka kilang mereka di Selangor. Malah kawasan-kawasan khusus perindustrian ini dibuat untuk memastikan pembangunanya teratur dan keperluan pemodal asing yang menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Selangor dapat dipenuhi. Peranan ini sampai sekarang masih dimainkan oleh Selangor. Selain itu, Harun Idris juga memastikan pemaju-pemaju swasta yang membangunkan taman-taman perumahan di Selangor memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus rumah yang mereka bina kepada orang Melayu.

Perbadanan Pertanian Negeri Selangor ditubuhkan khusus untuk memajukan sektor pertanian yang merupakan bidang di mana banyak orang Melayu bergiat aktif. Perbadanan itu juga dilibatkan dalam pembukaan ladang-ladang kelapa sawit membabitkan orang Melayu. Dengan itu dapatlah dipastikan bahawa masyarakat Melayu di luar bandar dibela oleh kerajaan dan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negeri.

Menyedari pentingnya pendidikan sebagai alat untuk mengeluarkan orang Melayu daripada kemiskinan, Harun Idris menubuhkan Yayasan Selangor. Yayasan ini ditugaskan untuk mengenal pasti anak-anak Melayu yang baik kelulusannya dalam peperiksaan dan menempatkan mereka di asrama-asrama yang dibina khususnya di Kuala Lumpur. Mereka kemudian akan dihantar ke sekolah-sekolah yang baik bagi mendedahkan para pelajar itu dengan sistem terbaik negara supaya mereka memajukan diri sehingga ke peringkat universiti. Di bawah skim Yayasan Selangor itu, para pelajar di luar bandar yang cerdas diberi perhatian. Mereka kemudian diberi pelbagai kemudahan terbaik untuk membolehkan mereka bersaing dengan pelajar-pelajar bukan Melayu.

Sewaktu ditanya mengenai usaha pembangunan yang beliau laksanakan selepas persaraannya, Harun Idris tidak meninggi diri. Beliau sekadar berkata:

 "Saya hanya melaksanakan satu tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya iaitu untuk membangunkan orang Melayu. Saya tengok bangsa saya ketinggalan dan saya bertanggungjawab untuk merapatkan perbezaan yang wujud dengan kaum lain. Saya diberi kuasa dan kekuatan oleh Allah, saya mesti berbuat sesuatu untuk bangsa saya."
 
Dato Seri Haji Harun bin Haji Idris   1925 - 2003

Rujukan : UMNO Selangor 1946 - 2006

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom