Kita mungkin sudah tahu pasal seseorang yang khunsa ada dua jantina masa lahir. Jadi, dia boleh pilih salah satu daripadanya bergantung kepada diri sendiri yang lebih kepada maskulin atau feminin.
Tapi apa yang hendak diceritakan ini adalah disebabkan salah berkhatan, seorang bayi lelaki ni terpaksa dibesarkan sebagai perempuan dan lebih malang dijadikan bahan kajian sains seorang doktor. Jadi, ni bukan pilihan dia langsung.
Malah, lelaki ni bukan hanya tukar jantina kepada sekali, tapi dua kali sepanjang hidup dia pada tahun 1960-an sampai 2004. Kisah transeksual dia juga pernah dijadikan kes kajian dalam sejarah psikologi. Apa yang sebenarnya berlaku sebenarnya?
Pada Ogos 1965, keluarga Reimer yang berasal dari Winnipeg, Kanada sangat gembira sebab akan sambut bukan satu, tapi sepasang kembar yang diberi nama Bruce dan Brian Reimer. Segalanya berjalan dengan baik, dan pasangan kembar tersebut membesar sebagai bayi yang sihat.
Tapi, segalanya mula berubah bila pasangan kembar ni berusia enam bulan, di mana diorang ada masalah nak buang air kecil.
Jadinya, mak dan ayah dia pun bawa la Bruce dan Brian ke hospital. Doktor kata diorang ada masalah phimosis, jadi pasangan kembar tadi dicadangkan untuk berkhatan.
Malang tak berbau, pembedahan kecil tu mengalami masalah dan seterusnya mengubah hidup Bruce buat selama-lamanya. Jarum cauterizing yang rosak dah menyebabkan kemaluan Bruce terbakar teruk. Tapi abang kembarnya, Brian pula tak mengalami apa-apa masalah.
Disebabkan teknologi dan kepakaran zaman 1960-an mungkin tak secanggih sekarang, Bruce terlantar menderita selama beberapa bulan tanpa rawatan yang sepatutnya. Sampailah satu hari, pasangan Janet dan Ron Reimer tengok satu rancangan tv ni pasal Dr John Money, iaitu pakar psikologi dalam biologi dan identiti seksual. Dia juga dikatakan banyak menyelesaikan kes khunsa dan kecelaruan seksual.
Dalam rancangan TV tersebut, Dr John Money menerangkan isu transgender dan juga Teori Jantina Neutral, di mana jantina bukan sesuatu yang dilahirkan, tapi lebih kepada sesuatu yang dipelajari. Dr Money menerangkan dengan lebih lanjut yang jantina bayi semuanya neutral sampailah berumur dua tahun.
Tak tunggu lama, diorang pun terus hubungi dan dapatkan khidmat nasihat Dr. Money dengan menceritakan apa yang berlaku. Dr Money berminat dengan kes ni dan kemudiannya berjumpa dengan pasangan Ron dan Janet Reimer untuk tengok Bruce dan Brian.
Bagi Dr Money, ni la peluang keemasan untuk dia kaji lebih lagi sifat nature vs nurture (sifat semulajadi vs sifat yang dipupuk) dalam pembesaran kanak-kanak. Pasangan kembar ni adalah ‘bahan eksperimen’ yang paling sesuai disebabkan diorang ada genetik yang sama, dan dibesarkan oleh orang yang sama.
Jadi, Dr Money pun ambil kesempatan dan cuba meyakinkan Ron dan Janet Reimer untuk tukarkan jantina Bruce sebagai perempuan. Tapi, pasangan Reimer ni tak tahu pun niat sebenar Dr Money ni.
Disebabkan Bruce tak sampai setahun lagi masa kes tu berlaku, atas nasihat Dr Money, pasangan Reimer akhirnya berpendapat yang diorang patut besarkan Bruce sebagai seorang perempuan.
Diorang memang percaya 100% dekat Dr Money sebab siapa lagi yang diorang nak harapkan kalau bukan pakar? Nama Bruce juga ditukarkan kepada Brenda dan diorang cuba merahsiakan perkara ni daripada semua orang atas saranan doktor tersebut.
Proses penukaran jantina Bruce kepada Brenda dirancang satu persatu bermula dengan pembedahan, dipakaikan pakaian perempuan dan bermainan mainan perempuan untuk ‘memupuk’ sifat jantina barunya.
Tak cukup dengan tu, Brenda juga diberikan suntikan hormon perempuan seawal 12 tahun untuk menggalakkan dia akil baligh dan membesar sebagai seorang perempuan. Dalam masa yang sama, suntikan tu dapat mengelakkan ciri-ciri lelaki muncul, contohnya macam suara jadi garau dan misai atau janggut tumbuh.
Perkembangan semasa Brenda dan Brian dipantau sejak diorang berumur setahun lebih lagi. Dr Money akan berjumpa pasangan kembar ni secara berkala untuk tengok perkembangan semasa diorang. Daripada setiap perjumpaan tu la Dr Money akan buat pemerhatian dan catat analisis sifat dan kelakuan dua orang kembar tu.
Melalui catatan Dr Money, Brian dan Brenda yang masa tu sedang meningkat remaja boleh sesuaikan diri dengan jantina masing-masing. Kiranya, teori Dr Money nampaknya berjaya diguna pakai. Benarkah begitu?
Mungkin disebabkan masa tahun 1960-an dulu doktor dianggap sebagai satu perkerjaan yang berwibawa, jadi masyarakat lagi senang percaya dan terpengaruh dengan apa saja yang diorang cakap. Mungkin kalau kita hidup pada zaman tu pun, kita takkan terlepas juga.
Rupa-rupanya, eksperimen terhadap kedua pasangan kembar ni bukanlah setakat pemerhatian semata-mata. Sejak Brian dan Brenda berumur tujuh tahun lagi, diorang dah terlibat dalam kajian secara seksual.
Salah satunya adalah Dr Money menyuruh kedua-dua pasangan kembar ni memeriksa kemaluan masing-masing supaya diorang ‘sedar’ yang diorang ‘berlainan jantina’. Bukan tu je, Brian dan Brenda dipaksa berbogel dan gambar diorang diambil tanpa kerelaan. Kalau diorang tak ikut, Dr Money akan ugut diorang. Disebabkan perkara ni juga la, takde siapa pun tahu apa pasangan kembar ni dah lalui termasuklah ibu bapa mereka sendiri.
Masa pasangan kembar tu meningkat remaja, Dr Money telah meyakinkan Brenda untuk buat pembedahan penukaran jantina sepenuhnya kepada perempuan dengan beberapa penambahan hormon dan organ. Disebabkan dia dah yakinkan banyak kali tapi Brenda nampak macam keberatan, Dr Money kemudiannya panggil salah satu pesakit dia yang seorang transeksual (menukar jantina) untuk bercakap dengan Brenda.
Rasa takut dan trauma akibat didesak, Brenda kemudiannya bagitau mak bapa dia yang kalau dia kena jumpa doktor tu lagi, dia akan bunuh diri. Disebabkan diorang rasa bersalah, pasangan Reimer kemudiannya rasa yang diorang kena jujur dengan anak-anak diorang yang masa tu dah berumur 15 tahun. Jadi, Ron dan Janet Reimer kemudiannya bawa pasangan kembar ni secara berasingan untuk bagitahu perkara sebenar.
Brenda nampak sangat lega dan gembira bila tahu yang dia sebenarnya dilahirkan sebagai seorang lelaki. Tapi nampaknya Brian terkedu dan tak boleh terima kembar yang selama ni dianggap perempuan, sebenarnya lelaki macam dia! Disebabkan kebenaran tu, dia menjauhkan diri dengan adik dia sampai mengalami tekanan mental yang akhirnya menjadikan dia skizofernia.
Brenda semakin positif dengan hidup dia berbanding sebelum ni, dan bersedia untuk pembedahan dan menukarkan nama dia kepada David Reimer bila terima hakikat yang dia sebenarnya adalah lelaki. Kalau dulu dia kurang berkawan, dia kemudiannya makin gembira sebab dia tahu yang dia memang tak selesa jadi perempuan.
Masa pasangan kembar ini berumur 16 tahun, Brenda yang dah jadi David kemudiannya ambik suntikan hormon lelaki untuk lawan balik hormon perempuan yang ada dalam badan dia daripada eksperimen sebelum ni. Dia juga menjalani pembedahan membuang payu dara dan pembentukan kemaluan lelaki supaya dia dapat jadi lelaki balik, macam asal.
Malah, dia akhirnya dapat duit pampasan kemalangan masa berlakunya kecuaian dalam pembedahan dulu. David meneruskan kehidupan sebagai lelaki dan akhirnya berkahwin dengan janda anak tiga.
Tapi tak lama lepas tu, Dr Money terbitkan sebuah buku bertajuk ‘Man & Woman, Boy & Girl‘ dan hasil kajian dia pasal Brenda Reimer dengan mengatakan Brenda berjaya menjadi seorang perempuan sejati.
Malah, dia nak gunakan kes macam Brenda Reimer ni sebagai pendekatan masalah seksual di Amerika Syarikat dan negara-negara lain dengan teori ciptaan dia. Kenyataan Dr Money adalah satu pembohongan sebab bukan Bruce/Brenda/David yang minta untuk ditukarkan jantina, padahal dia sendiri yang menjalankan eksperimen ke atas diorang dengan menipu kedua ibu bapa pasangan kembar tersebut.
David berpendapat yang tiada sesiapa pun patut jadi mangsa Dr Money lagi. Jadi pada tahun 2000, David dan Brian Reimer akhirnya bersuara dan mendedahkan Dr John Money. Diorang muncul dalam sebuah dokumentari untuk bagitahu apa sebenarnya yang berlaku selama ni. Bukan sahaja pasal penukaran jantina David, tapi diorang juga kata Dr Money adalah seorang pedofil sebab diorang dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual sesama sendiri.
Jadi kat sini jelaslah kenapa Brian juga mengalami tekanan perasaan bila tahu Brenda sebenarnya adalah Bruce disebabkan apa yang dah jadi di pejabat Dr Money. Pendedahan ni menjejaskan reputasi Dr Money yang sememangnya tak beretika tu.
Tapi, kejatuhan reputasi Dr Money tak cukup kalau nak dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh kedua-dua pasangan kembar dan mak bapak diorang. Brian masih mengalami tekanan perasaan dan trauma.
Dua tahun lepas tu, Brian ditemui mati disebabkan pengambilan anti-depressant secara berlebihan. David pula dalam masa yang sama susah nak cari kerja disebabkan identiti dia, dan menyebabkan isteri dia minta cerai. Dua tahun lepas kematian Brian, David akhirnya ambik keputusan untuk bunuh diri masa berumur 38 tahun, juga disebabkan tekanan perasaan dan kehilangan kembarnya.
Dalam hal Bruce/Brenda/David Breimer, lelaki dan perempuan dibentuk bukan saja melalui organ seks secara fizikal, tapi juga genetik XX dan XY dan juga jantina asal dan hormon asal dalam badan. Walaupun David mengalami pembedahan penukaran jantina sejak kecil, tapi sifatnya lebih kepada lelaki dan menunjukkan teori Dr Money yang jantina boleh dipupuk adalah salah. Kat sini, jelas la yang teori Dr Money tak boleh digunapakai disebabkan pelbagai pelanggaran etika terhadap kajian kesnya.
Kehidupan masa membesar sepatutnya adalah sesuatu yang menggembirakan buat semua orang, tapi nampaknya bukan pada David dan Brian Reimer. Macam mana kita bawa diri bila dewasa adalah bergantung kepada cara kita dibesarkan. Bagi David dan Brian, segalanya membawa kepada tekanan perasaan.
Nampaknya, eksperimen Dr Money bukan saja memberi kesan secara fizikal terhadap David, tapi juga dari segi mental seluruh ahli keluarganya terutama sekali Brian disebabkan pelbagai eksperimen yang melanggar etika yang menjejaskan kehidupan mereka.
KONGSIKAN: