Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Muslihat Amerika Syarikat berundur sehingga Taliban kembali berkuasa


1. Dunia dikejutkan dengan kemaraan Taliban yang kembali menguasai majoriti wilayah Afghanistan, 20 tahun selepas ia dikalahkan Amerika susulan serangan World Trade Center pada 11 September 2001 (Peristiwa 9/11).

2. Kenapa Amerika berundur membiarkan Afghanistan jatuh ke tangan Taliban? Apa beza Taliban, Al-Qaeda, dan Daesh/ISIS? Kenapa Amerika tidak terus menggunakan serangan dron untuk hapuskan atau sekat kemaraan Taliban? Jawapannya kerana percaturan Amerika untuk menghalang peluasan geoekonomi China di Selatan Asia Tengah, serta mengalihkan sumber mereka untuk mengimbangi Belt and Road Initiative China, di samping pemodenan tentera Amerika untuk mengimbangi Beijing di Laut China Selatan.

3. Taliban atau dalam Bahasa Pashtun bermaksud ‘pelajar’ sebenarnya berasal daripada kumpulan pelajar agama Afghan aliran Deobandi yang menuntut di Pakistan pasca-penjajahan Kesatuan Soviet di Afghanistan.

4. Selepas Kesatuan Soviet berundur daripada Afghanistan pada 1989, pengasas Taliban iaitu Mullah Omar tidak berpuas hati dengan kerajaan Afghanistan ketika itu yang tidak melaksanakan undang-undang Syariah, di samping kadar rasuah yang terlalu teruk.

5. Taliban berbeza dengan Al-Qaeda dan Daesh/ISIS; meski pun ketiga-tiga gerakan ini mengikuti mazhab Sunni dan bercita-cita menegakkan undang-undang Syariah, namun pendekatan mereka jauh berbeza.

6. Jika Taliban berpegang pada aliran Deobandi yang menekankan doktrin taqlid dan sebahagian besar mengikuti Mazhab Hanafi, Al-Qaeda yang diasaskan Osama Bin Laden berpegang kepada Wahhabisme serta kaedah kekerasan untuk memerangi Barat (antaranya didakwa mendalangi serangan 11/9). 

7. Daesh/ISIS pula berpegang pada Wahhabi-Salafis yang lebih kuat menegaskan agenda takfiri iaitu menghukum sesiapa yang berbeza pandangan dengan mereka (terutama orang Islam sendiri) sebagai kafir dan halal untuk dibunuh.

8. Pengikut Taliban yang dianggarkan sekitar 100 ribu orang adalah jauh lebih besar berbanding pengikut Al-Qaeda dan ISIS kerana sejarah panjangnya yang pernah berkuasa selama lima tahun di Afghanistan (1996-2001) serta kedudukan geografi bergunung-ganang yang memudahkan pemimpin mereka untuk berlindung.

9. Seperti mana dua faktor penting yang mengakibatkan Taliban menguasai Afghanistan pada tahun 1996 – sokongan rakyat Afghan yang muak dengan kadar rasuah serta ketiadaan penerapan undang-undang Syariah oleh kerajaan Afghan – begitu keadaan hari ini di mana Special Inspector General for Afghanistan Reconstruction’s pada 2020 yang melaporkan sekitar RM80 bilion wang rakyat telah diseleweng kerajaan Afghanistan. 

10. Namun begitu, situasi hari jauh berbeza dengan situasi 20 tahun lalu; Amerika bukan sahaja memiliki kekuatan ketenteraan yang paling berkuasa di dunia melalui teknologi dron yang boleh membunuh musuh dari jauh, menguasai segenap teknologi satelit dan komunikasi, serta juga sistem kewangan antarabangsa.

11. Lalu mengapa Amerika seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menggunakan teknologi dron untuk menghalang kemaraan Taliban? Kenapa Amerika tidak memintas segala komunikasi dan koordinasi Taliban? Dari mana Taliban mudah mengakses senjata dengan cukup banyak dalam masa yang singkat hingga ke tahap mengalahkan tentera profesional Afghanistan yang dilatih selama 20 tahun oleh Amerika dan NATO? Perlu diingat, Afghanistan ialah negara yang tidak memiliki sempadan laut atau perairan – ia terkepung sebagai negara daratan dikelilingi Pakistan, Iran, Turkmenistan, Uzbekistan, dan Tajikistan.

12. Realitinya, Amerika lebih daripada mampu untuk menghalang kemaraan Taliban serta membantu kerajaan pimpinan Ashraf Ghani untuk mewujudkan Afghanistan yang stabil; namun begitu, Afganistan yang stabil akan memberi ruang kepada pesaing Amerika iaitu China untuk meluaskan projek geoekonomi Belt and Road Initiative (BRI) mereka.

13. Kemajuan projek China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) memberi isyarat bagaimana Afghanistan juga berpotensi mengecap kemajuan serupa sekiranya mereka mampu menstabilkan politik mereka.

14. Paling mencabar bagi Amerika adalah hakikat bahawa pada 2019 Duta China ke Afghanistan Liu Jinsong menegaskan kepentingan strategik Afghanistan kepada BRI China.  Selain projek seperti Amu Darya basin oil project oleh syarikat petroleum terbesar China iaitu China National Petroleum Corporation, serta Aynak copper mine oleh Metallurgical Group Corporation dan Jiangxi Copper Company Limited, pelaburan China di Afghanistan pada tahun 2020 sahaja telah mencecah lebih RM16 juta dalam keadaan pandemik.

15. Amerika sebaliknya bukan sahaja bergelut dengan pemulihan pasca pandemik, bahkan sejak sekian lama menanggung beban Perang Afghanistan (sejak 2001) dan Perang Iraq (sejak 2003) selain komitmen NATO, pangkalan tentera di negara asing, serta pemodenan angkatan tentera laut mereka untuk mengimbangi China di Laut China Selatan.

16. Di bawah Presiden Biden juga, Amerika pada tahun ini telah melancarkan inisiatif ‘Build Back Better World’ (B3W) untuk mengurangkan jurang infrastruktur berjumlah RM160 trilion (USD40 trilion) dengan kerjasama G7 untuk menyaingi inisiatif infrastruktur BRI China. 

17. Maka, seperti mana CIA Amerika menaja Mujahidin Afghanistan dahulu untuk berperang dengan Komunis Soviet, hari ini Amerika seolah-olah membiarkan Taliban mara secara ketenteraan untuk menyahstabilkan Afghanistan sekali gus menghapuskan potensi rancangan geoekonomi China-Pakistan-Afghanistan.

18. Sebagai tindak balas, China telah mengadakan rundingan peringkat tertinggi dengan Taliban secara terus apabila Menteri Luar China Wang Yi menjemput pengasas bersama yang juga Naib Ketua Taliban Mullah Abdul Ghani Baradar bersama lapan lagi wakil Taliban di Tianjin, China pada 28 Julai baru-baru ini. Tindakan China ini berbeza dengan sikap mereka yang tidak mengiktiraf Taliban sama sekali ketika ia menguasai Afghanistan pada 1996-2001 dahulu.

19. Hakikatnya, seluruh dunia sedang menanti dengan penuh debar bagaimana Taliban akan melaksanakan kuasanya di Afghanistan – adakah akan mengulangi dasar menghalang perempuan daripada mendapat pendidikan formal dan bekerja di sektor awam, mengharamkan muzik, serta memencilkan Kabul dari persada antarabangsa seperti era 1996-2001 dahulu? Ataukah Taliban akan menjalin kerjasama geopolitik dan geoekonomi dengan China dan Pakistan yang berbeza dengan kerajaan tajaan Amerika-NATO sebelum ini? Apa yang pasti, kuasa Barat telah memberi amaran bahawa Afghanistan di bawah Taliban akan dipulau daripada sebarang bantuan ekonomi – isyarat jelas ketidakstabilan bakal berterusan.

Abdul Muein Abadi

Penyelidik PhD Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.





KONGSIKAN:

Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI



  • Siapa raja-raja Melayu yang hadir pertabalan Ratu Elizabeth

    Istiadat kemahkotaan Ratu Elizabeth II pada 2 Jun 1953 turut dihadiri oleh sejumlah Raja-Raja Melayu dan permaisuri masing-masing.Kelihatan di dalam foto ialah -1. DYMM Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar, Sultan Johor2. DYMM Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, Sultan Selangor3. ... Baca Selanjutnya

  • Orang Melayu mohon jadi kelasi British tahun 1934

    Rekod & Sejarah : Permohonan Din Bin Mat dari Kedah sebagai Kelasi British - 1934.Bukti dari rekod pengesahan sebagai rakyat dari Semenanjung Tanah Melayu bagi permohonan Kelasi British.Orang - orang Melayu antara mereka yang berminat dan sedia bertugas sebagai Kelasi Kapal dengan kerajaan British. Rujukan:No Penerimaan :19570613501d02 - H... Baca Selanjutnya

  • Badik sengat pari, senjata berbisa orang Melayu

    Sengat ikan pari (stingray barb) adalah satu lagi senjata ampuh yang digunakan orang Melayu dulu-dulu. Sengat pari ini sangat berbisa. Biasanya ia digunakan ke atas orang yang kebal besi. Ada yang menyapu bilah sengat pari ini dengan kapur sirih. Apabila ditikam, tindakbalas kapur dengan darah akan menyebabkan bilah sengat pari ini menjad... Baca Selanjutnya

  • Tragedi penyeksaan kejam tentera Siam terhadap orang Melayu Kedah

    Gambar Hiasan12 November 1821 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat Kedah kerana pada detik itulah Kota Kuala Kedah diserang setelah 5 bulan Pulau Langkawi dimusnahkan.Setelah menyerang Kota Kuala Kedah dan membunuh seluruh penduduk kota tersebut, angkatan Ligor telah melakukan pelbagai jenis penyeksaan kepada orang-orang M... Baca Selanjutnya

  • Gambar Masjid Tua Indrapuri 1874 di tawan penjajah Belanda laknatullah

    Gambar bertajuk 'Moskee te Indrapoeri' yang dirakam sekitar tahun 1874. Ianya dirakamkan sejurus pihak Belanda berjaya menawan masjid tersebut dari Kesultanan Aceh semasa Perang Aceh (1873-1913). Dibina pada sekitar 1605 hingga 1636, masjid ini masih berdiri kukuh dan adalah salah satu masjid yang tertua di Aceh. Dikenali sebagai 'Meuseujid Tuha In... Baca Selanjutnya

Ads Bottom