Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Bahagian 2 : Keringat di Tanah Basah


Kami balik pada hari itu juga dengan menunggang basikal dan sampai di Pasir Panjang pada jam 3.00 petang. Saya bermalam di rumah Sidang Haji Said. Pada malam itu beliau menjemput penduduk sekitar ke rumah beliau dan menerangkan hasil perjumpaan kami dengan Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor. Pada malam itu seramai 11 orang telah mendaftar nama, termasuk anak Sidang Haji Said yang bernama Encik Abu dan Encik Samsudin. Kami telah berbincang dengan terperinci untuk mencari orang dan pembahagian kawasan. Encik Abu akan mencari orang untuk meneroka kawasan tanah Pasir Panjang dan saya dipertanggungjawabkan untuk kawasan Sungai Leman.

Pada pagi esoknya saya tidak balik terus ke Kuala Kurau Perak Sebaliknya saya singgah di Parit 6 Sungai Besar ke rumah bapa saudara isteri saya, Encik Sulaiman. Saya telah menerangkan kepada Encik Sulaiman berkenaan pembukaan tanah di kawasan Sungai Leman. Beliau memang tahu di kawasan ini masih luas lagi kawasan hutan. Saya diminta bermalam di rumah beliau. Isterinya adalah seorang bidan dan bomoh. Pada malam tersebut ramai orang datang. Disamping berubat dan meminta ubat, mereka juga bertanyakan kepada saya cerita tentang pembukaan tanah di Sungai Leman. Mereka ingin tahu apakah syarat-syarat untuk menyertainya, Saya telah menerangkan kepada mereka, tidak ada syarat dikenakan, bahkan kerajaan akan memberi bantuan. Sesiapa yang berminat untuk menyertai rancangan ini bolehlah mendaftar nama dengan Encik Sulaiman. Senarai nama ini akan saya kumpulkan dan akan dihantar ke Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor.

Pada esoknya saya balik ke Kuala Kurau Perak, tempat tinggal saya. Saya telah tinggal di sini berpuluh tahun, termasuk zaman pemerintahan Jepun.

Saya berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan berita pembukaan tanah ini. Di mana sahaja saya bertemu kawan, baik di kedai gunting, di kedai minum, di pasar, di rumah orang kenduri, saya akan menceritakannya. Nampaknya ramai diantara mereka yang sungguh berminat, terutama yang tidak mempunyai tanah dan yang menyewa tanah orang. Saya juga mengirim surat kepada kawan karib saya di Batu Pahat, Johor Encik Achil bin Daud dan sahabat saya di Kedah Encik Shafiee bin Mat Isa. Dalam masa sepuluh hari saya telah menerima jawapan. Seramai 62 orang telah dapat mereka kumpulkan. Di Kuala Kurau pula saya dapat 81 orang. Jadi semuanya seramai 143 orang telah dapat saya senaraikan.

Berbekalkan senarai nama seramai 143 orang ini, saya pun bertolak ke Pasir Panjang pada 28 Julai 1946. Dari rumah, saya naik bas ke pekan Bagan Serai. Dari sini saya naik kereta api ke pekan Kampar. Dari Kampar saya naik bas ke pekan Telok Anson dan terus ke Kota Melintang. Dari sini saya naik bot ke pekan Sabak Bernam, kemudian naik motorsikal sewa ke pekan Sungai Besar dan terus ke Pasir Panjang, rumah Sidang Haji Said. Saya sampai pada pukul 4.00 petang. Saya bermalam di sini. Pada malam tersebut ramai orang datang. Encik Abu telah dapat mengumpulkan seramai 48 nama termasuk nama-nama orang perempuan

Pada esoknya saya pergi ke Parit 6 Sungai Besar berjumpa bapa saudara isteri saya, Encik Sulaiman. Saya bermalam di sini. Encik Sulaiman menceritakan orang-orang di sini kurang percaya dengan kerajaan orang putih hendak membantu peneroka dan mereka berpendapat apabila tanah ini telah siap, kerajaan akan mengambilnya kembali. Saya telah menerangkan kepada Sulaiman, sebenanya mereka kurang faham. Kerajaan bersungguh-sungguh hendak meluaskan tanah tanaman padi supaya rakyat tidak kebuluran atau mengalami kekurangan makanan seperti di zaman pemerintahan Jepun.

Bersambung..



Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom