Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Mengenang jasa S. Sritharan "James Bond Teluk Intan"


Sub Inspektor S. Sritharan

Beliau telah bersara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 3 Mac 2018. Sub Inspektor S. Sritharan kelihatan masih gagah dan penuh bersemangat walaupun kini telah berumur lebih enam dekad ketika itu. Pergerakannya masih cergas. Wajahnya kelihatan lebih muda dari umurnya yang sebenar. Berasal dari Telok Intan Perak, Sub Inspektor S. Sritharan telah memasuki perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia pada 9 September 1978.

Selepas menjalani kursus asas konstabel di Pusat Latihan Polis Jalan Gurney Kuala Lumpur, Sub Inspektor S. Sritharan telah ditempatkan dalam Batalion 21 Pasukan Polis Hutan (PPH) di Triang, Pahang pada April 1979. Ketika bertugas dalam PPH, dia bersama beberapa rakan setugas menghadiri sesi temu duga untuk menyertai Pasukan F sebelum dipilih secara rasmi untuk menyertai pasukan elit itu pada 3 Januari 1983.

Sebaik menyertai Pasukan F, Sub Inspektor S. Sritharan bersama dua lagi rakannya telah dibawa ke sebuah rumah di Jalan Gurney sebelum dikuarantin di situ. Mereka hanya dibawa keluar setiap pagi ke Tasik Titiwangsa untuk menjalani latihan kecergasan. Sebagai persediaan untuk tugasan pertamanya Sub Inspektor S. Sritharan dikehendaki belajar dan mendalami kehidupan sebagai seorang penoreh getah. Untuk itu, beliau telah dihantar ke sebuah ladang getah di Kuang, Selangor. Selepas memperolehi ilmu yang meyakinkan beliau terus ditugaskan untuk menyamar sebagai penoreh getah dalam Ops Ular di sebuah ladang getah berdekatan stesen keretapi lama di Kuala Kubu Bharu, Selangor.


Bagaimanapun, selepas melakukan penyamaran selama beberapa bulan di ladang tersebut, Sub Inspektor S. Sritharan mendapati tiada maklumat atau pergerakan komunis di ladang itu. Akhirnya beliau diarahkan untuk menamatkan penyamarannya dan diarahkan oleh Ibu Pejabat Pasukan F Team untuk balik ke Pangkalan bagi persediaan untuk tugasan yang lain pula.

Tugasan seterusnya Sub Inspektor S. Sritharan adalah untuk menyamar sekali lagi sebagai seorang pekerja ladang di Ladang Kepong Meh, Mentakab, Pahang pada bulan Jun 1985. Tugasan kali ini telah dilaksanakan oleh Sub Inspektor S. Sritharan dalam tempoh masa yang lebih panjang iaitu selama sebelas bulan.
Ketika itu, Sub Inspektor S. Sritharan baru berusia 26 tahun. Sepanjang penyamaran, beliau perlu mencari maklumat mengenai Ketua Pasukan Kerja Bersenjata (AWF) Ke-15 Parti Komunis Malaya (PKM), District Committee Member (DCM) Wong Chew Nam atau Ah Poh Suk dan pengikutnya yang dikatakan sering datang ke kawasan itu untuk mendapatkan bekalan makanan.

Ah Poh Suk serta pengikutnya amat dikehendaki kerana bergerak aktif di Pahang Barat bagi menjalankan propaganda dan kerap bertempur dengan pasukan keselamatan, memeras ugut tauke balak di sekitar Pahang selain memaksa pekerja estet membeli bekalan makanan untuk mereka. Di ladang Kepung, Mentakab Pahang, Sub Inspektor S. Sritharan telah tinggal bersama mandur ladang dan keluarganya.


Sub Inspektor S. Sritharan perlu berhati-hati agar identitinya tidak terbongkar kerana beliau sering berurusan dengan Ah Poh Suk termasuk membantu membelikan bekalan makanan bagi mendapatkan kepercayaannya. Dalam masa yang sama, Sub Inspektor S. Sritharan akan melaporkan setiap pergerakan pengganas komunis itu kepada ibu pejabat. Meskipun beliau telah dilatih untuk kerja-kerja penyamaran, namun pertemuan pertama bersama anggota PKM yang menyapanya dari belakang membuatkan beliau merasa sedikit takut dan gementar. Namun demi tugas, beliau mencekalkan hati dan akhirnya menjadi rapat dengan mereka. Sepanjang melakukan penyamaran, Sub Inspektor S. Sritharan telah berjumpa dengan mereka sebanyak 11 kali.

ketika itu mereka tidak mempunyai telefon bimbit seperti sekarang. Setiap kali hendak menyalurkan maklumat ke ibu pejabat, dia terpaksa pergi ke pekan mencari pondok telefon. Dalam masa yang sama dia perlu berhati-hati kerana jika salah langkah identitinya akan terbongkar selain membahayakan keluarga mandur tersebut dan dirinya juga. Sepanjang berada di Ladang Kepong Meh, Sub Inspektor S. Sritharan telah menggunakan kad pengenalan orang awam dengan nama Ragavan bagi tujuan penyamaran.

Setelah menyamar selama sebelas bulan, pada 10 Mei 1986, Sub. Inspektor S. Sritharan telah diarahkan untuk membuat perangkap terhadap empat orang pengganas komunis yang dijangka akan sampai di rumah mandur ladang untuk mengambil bekalan makanan. Untuk operasi itu, seramai tiga pegawai dan lima anggota dari Pasukan F Team sudah tiba di rumahnya di dalam ladang itu seawal jam 3 pagi pada hari berkenaan sebelum bersembunyi di dalam stor baja di rumah yang sama.

Kebetulan hari itu merupakan hari pertama dibulan puasa, namun pasukan F Team sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan di dalam stor berkenaan. Pasukan serbuan menunggu dengan sabar kedatangan Ah Poh Suk serta pengikutnya walaupun penantian berlanjutan hingga ke malam.

Kira-kira jam 8 malam Sub Inspektor S. Sritharan telah didatangi oleh empat orang pengganas komunis yang terdiri dari dua lelaki dan dua wanita. Salah seorang darinya adalah Ah Poh Suk yang diiringi oleh orang kanannya manakala kedua-dua pengganas wanita tersebut adalah isteri mereka.

Ah Poh Suk bertanya di mana isteri dan anak-anak mandur. Selepas berpuas hati yang mereka telah pergi ke majlis kenduri di rumah saudara, Sub Inspektor S Sritharan dan kedua-dua pengganas komunis tersebut berbual kosong di ruang tamu sambil menunggu makanan yang sedang disediakan oleh isteri mereka di dapur.

Manakala anggota F Team yang masih bersembunyi di dalam stor baja di rumah berkenaan telah terdengar suara lelaki dan wanita bercakap dalam bahasa Tionghoa. Dua lelaki yang dipercayai Ah Poh Suk dan orang kanannya berada di ruang tamu manakala dua wanita termasuk isterinya berada di ruang dapur.

Waktu itu juga Sub Inspektor S. Sritharan melihat sepucuk pistol diselit di pinggang Ah Poh Suk dan sebutir bom tangan tergantung di dadanya manakala dua laras senjata panjang diletak di sebelah kerusi rotan tempat mereka duduk.

Isteri Ah Poh Suk dan seorang lagi pengikut wanita pula berada di dapur untuk menyediakan makanan juga membawa senjata masing-masing yang disandarkan di dinding.

Kira-kira sepuluh minit telah berlalu. Setelah memperolehi masa dan peluang yang terbaik, enam orang anggota dan pegawai F Team menyerbu keluar dari stor baja dan terus ke arah Ah Poh Suk. Manakala Inspektor Zahaliman bersama seorang lagi anggota F Team telah menuju keluar rumah melalui pintu belakang. Salah seorang dari enam anggota F Team bernama Hussin menuju ke arah dapur untuk menahan dua pengganas wanita.

Menyedari kehadiran mereka, Ah Poh Suk terus memegang bom tangan di dadanya menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan ke arah pengganas itu dan orang kanannya.

Hussin pula terpaksa menembak dua pengganas wanita di dapur yang turut mengambil senjata mereka untuk bertindak balas setelah menyedari diri mereka sudah terkepung dan terperangkap. Semua pegawai dan anggota F Team menarik nafas lega kerana pin bom tangan belum sempat ditarik oleh Ah Poh Suk. Jika tidak, pastinya nyawa kesemua mereka yang berada di dalam rumah tersebut akan turut terkorban.

Selepas kesemua pengganas komunis itu ditembak mati, Pasukan F Team masih terpaksa berjaga-jaga hampir dua jam sementara menunggu pasukan bantuan tiba kerana dibimbangi pengikut lain Ah Poh Suk yang mungkin ada di kawasan berdekatan akan melakukan serangan balas.

Selepas selesai semua operasi, semua pegawai dan anggota F Team diarahkan balik ke pangkalan. Selepas kejadian barulah identiti sebenar Sub Inspektor S. Sritharan terbongkar. Pada masa yang sama mandur dan keluarganya telah dipindahkan ke lokasi lain dengan tujuan untuk menjamin keselamatan mereka.
Selain kejayaan di dalam Ops Kelisa di ladang berkenaan, satu lagi pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan oleh Sub Inspektor S. Sritharan ialah dia turut bertemu jodoh dengan isterinya Minahchi di ladang tersebut.

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom