Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Amukan Rentap di kubu Nanga Skrang


18 April 1853

Rentap, bererti ‘Penggoncang Dunia’, adalah gelaran yang diberi kepada Libau Anak Lingkan, pahlawan Iban-Dayak Saribas yang terkenal dengan keengganannya tunduk kepada kuasa James Brooke, yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Raja Sarawak’.

Rentap membenci Brooke yang tak hormat budaya tempatan, mengenakan cukai tinggi dan dasar yang menindas. Melabel Rentap sebagai lanun, Brooke membakar rumah panjang dan kubu orang Iban di Saribas untuk mengugut Rentap supaya menyerah.

Bermulalah peperangan Rentap-Brooke yang menyaksikan siri pertempuran di Batang Lupar, Undop, Kerangan Peris dan Beting Maro. Pada tahun 1850, Brooke membina kubu di Nanga Skrang untuk menyekat pergerakan Rentap daripada mengumpul kekuatan.

tiga tahun kemudian, Rentap dan angkatannya mahu menyerang kubu tersebut. Komander kubu, William Brereton serta pegawai Brooke, Alan Lee mahu bertahan di benteng di Lintang Batang beberapa batu dari kubu untuk mendepani serangan Rentap lebih awal.

Namun mereka termakan umpan dan bot mereka dikepung. Bot Brereton terbalik dan dia berenang ke tebing dengan kecederaan, sementara Lee terus melawan hingga akhirnya mati direjam lembing sebelum kepalanya dipenggal menantu Rentap, Layang.

Misi menakluk ‘Fort of James’ gagal bila serangan bertubi-tubi musuh memaksa Rentap berundur ke Sungai Lang. Di situ, cubaan rundingan gagal, berlaku pertempuran dan Rentap berundur ke Bukit Sadok di mana beliau membina kubu di puncaknya dan mengumpul kekuatan.

Charles Brooke meneruskan ekspedisi bapa saudaranya untuk meluaskan kuasa dan menundukkan Rentap, yang berjaya mematahkan dua kali percubaan Brooke menyerang kubunya di Bukit Sadok. Akhirnya pada 28 Oktober 1861, kubu Bukit Sadok tumbang dan Rentap berundur menyelamatkan diri.

Dari satu tempat ke satu tempat Rentap bersembunyi, membina kubu di Bukit Stulak sebelum akhirnya bersara dan menetap di Karangan Panggil di Ulu Wak, Pakan di mana beliau dilaporkan meninggal dunia pada 1863/1870.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Utusan Borneo, The Borneo Post

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom