Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Aura lakonan Nordin Ahmad sepanjang zaman


Dapatkan info terkini perjuangan rakyat Palestin klik t.me/SERUANALQUDS


Jam 4.30 petang tanggal 15 Jun 1971, rumah yang beralamat di 35-K Jalan Greja (off Bedok Road), telah pun dibanjiri oleh ratusan orang dari kalangan jiran, sahabat, rakan seni dan peminat, apabila tersebarnya berita mengenai seorang permata seni terulung dalam sejarah perfileman Melayu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 42 tahun. 

Nordin Ahmad menutup usia di Singapore General Hospital (SGH), di sisi isterinya, seniwati Salmah binti Ibrahim setelah beberapa bulan melawan penyakit kuning (jaundice) yang dihadapinya. Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Salam. 

Sungguh, filem-filem lakonan beliau masih lagi segar dan diminati sehingga sekarang. 

Agak janggal jika ada yang membicarakan tentang sejarah filem Melayu tanpa menyebut nama Nordin Ahmad. 

Beliau adalah seorang seniman yang mempunyai kemahiran lakonan yang sangat tinggi dari sudut penghayatan watak dan penuh dengan keajaiban.

Lakonannya juga penuh dengan kejiwaan yang sangat jitu. Di layar perak, beliau mempamerkan gaya yang sukar ditiru orang lain, penampilannya berwibawa serta contoh seorang aktor sejati.

Gerak lakonnya mencapai tahap sebagai seorang pemain wayang yang handal kerana kehadiranya untuk watak tertentu nyata sering terserlah kelainan dan perbezaan, menjadikan mutu lakonannya ada kelas tersendiri. 

Beliau bijak bermain 'mood' menerusi 'gesture' yang bijak dikawalnya, air muka bersahaja serta intonasi suara yang kemas dan teliti. Hasilnya persembahan lakonannya berada di dalam gred A dan wajar menjadi contoh kepada pelakon muda sekarang. 

Secara umumnya Nordin sememangnya kurang bercakap dan kurang pergaulan. Beliau lebih banyak diam dari bercakap perkara-perkara yang tidak perlu. Sikapnya yang sebegini ini sama waktu beliau berada di rumah mahupun di lokasi penggambaran. 

Beliau banyak menghabiskan masanya di rumah dengan membuat ulang kaji serta menghafal skrip. Kadang kala beliau sibuk menyelenggarakan skrip sehingga jam 3 pagi sehingga lupa makan dan minum.

Begitu juga ketika di lokasi, beliau agak lambat untuk memulakan penggambaran. Beliau akan meneliti skrip dari hari pertama beliau menerimanya sehingga beliau betul-betul faham apa kehendak skrip dan hubung-kait wataknya dengan watak-watak yang lain. 

Beliau sangat taat pada skrip dan jarang beliau menukar situasi skrip malah diterjemahkan dengan caranya sendiri. 

Nordin bukan seorang pelakon yang suka berfoya-foya bersama rakan-rakan di kedai kopi ataupun di kelab malam. Beliau sangat disiplin dalam menjaga reputasinya sebagai seorang pelakon. Jikalau tidak ada majlis rasmi yang penting berkaitan dengan majikan dan kerjayanya, beliau lebih selesa duduk di rumah bersama keluarga.

Secara peribadi, beliau sememangnya mempunyai daya penghayatan yang sangat tinggi. Cara beliau melontarkan dialog juga jelas dan tersusun. Permainan emosinya juga sangat hebat dan penuh jiwa. Sebab itu lakonan yang dipersembahkan sangat terkesan di hati penonton. Mungkin kerana sifat keperibadiannya itulah yang membuatkan lakonan tragisnya sangat berkesan. 
Nordin bin Ahmad lahir di Kampong Kota (Pulau Pinang) pada 4 Ogos 1929. 

Penglibatan beliau bermula apabila beliau bekerja sebagai kerani di pangkalan British Royal Air Force di Seletar pada tahun 1951 dan tidak menyimpan hasrat berlakon sehingga melihat iklan mencari pelakon-pelakon baru di akhbar Utusan Melayu. 

Atas dorongan rakan-rakan, beliau menerima jemputan uji bakat bersama Malay Film Productions (MFP) tetapi gagal. Pengarah S Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak mampu berlakon. 

Nordin sebaliknya menerima tawaran bekerja sebagai buruh kasar di studio MFP di Jalan Ampas dengan harapan dapat menjadi pelakon satu hari kelak. 

Beliau juga muncul di beberapa filem termasuk Rayuan Sukma dan Juwita sebagai pelakon tambahan tanpa dialog. 

Pengarah Haji Mahadi pernah mengambil Nordin menjadi pelakon utama filem Permata Di Perlimbahan berganding dengan Maria Menado tetapi filem itu tidak laris. Akibatnya, nama dan kerjaya Nordin mula merudum dan terumbang-ambing dan beliau terpaksa menjadi pelakon tambahan semula, sebahagiannya ialah watak-watak antagonis. Biarpun begitu beliau mencekalkan semangat dan tidak berputus asa. 

P Ramlee ialah orang yang bertanggung-jawab menaikkan semula nama Nordin dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956. 

P Ramlee dengan yakin memberikan watak Teruna iaitu hero utama kepada Nordin dan hasilnya, nama Nordin kembali memuncak dan sebaris dengan bintang-bintang ternama dalam industri filem Melayu. 

Sebaik sahaja tamat kontraknya bersama MFP pada 31 Disember 1956, maka Nordin mula dilamar oleh Cathay-Keris Film Productions (CKFP) dengan tawaran lumayan dan menjadi kesayangan CKFP. Itupun atas nasihat P Ramlee supaya berhijrah ke syarikat produksi tersebut, kerana P Ramlee yakin Nordin akan lebih berjaya di situ jika dibandingkan dengan MFP. 

Pengarah-pengarah berlumba-lumba untuk mengambilnya membintangi filem mereka. 

Disamping jalan cerita yang menarik dan pengarahan yang bagus, Nordin-lah elemen penting dalam kejayaan filem-filem CKFP seperti filem Hang Jebat, Chuchu Datok Merah, Sri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyung, Gurindam Jiwa, Lanchang Kuning. Raden Mas, Siti Zubaidah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Dang Anom, Tun Fatimah dan banyak lagi. 

Pada tahun 1961 dan 1963, beliau memenangi anugerah Best Male Actor dalam Malaya Film Festival dan Festival Filem Malaysia. 

Beliau sendiri ditawar menjadi pengarah pada tahun 1964 dengan filem pertamanya Wan Perkasa yang tidak begitu berjaya. Namun begitu, peluang mengarah terus diberikan kepadanya melalui filem-filem Kaseh Ibu, Naga Tasik Chini, Play Boy, Kekasih, Si Murai, Nafsu Belia, Keranda Berdarah, Mat Lanun dan Lubang Neraka. 

Beliau mengakui bahawa beliau lebih terserlah sebagai pelakon berbanding pengarah. 

Filem terakhir Nordin Ahmad ialah Jahanam arahan M Amin yang diterbitkan pada tahun 1971. 






Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom