Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Terima kasih Stadium Shah Alam


Sepanjang 30 tahun lepas (1994 sehingga 2024), pasti banyak memori pahit manis yang anda terkenang apabila Stadium Shah Alam dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam.

Siap dibina pada tahun 1994 dengan kos sebanyak RM460 juta, stadium ini pernah menjadi kebanggaan rakyat Selangor yang menjadi kandang Gergasi Merah dan Malaysia secara keseluruhannya. 

Ianya direka oleh arkitek terkenal Malaysia, Hijjaz Kasturi dan memiliki struktur bingkai lengkungan terpanjang di dunia pada masa itu. Reka bentuknya diilhamkan daripada Stadium Hajduk Split di Croatia.

Semasa pembinaannya, Stadium Shah Alam dianggap sebagai stadium bola sepak bertaraf dunia dengan kapasiti 80,372 tempat duduk, hampir menyamai kapasiti Stadium Wembley di London. 

Sejurus siap dibina, Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Mitsubishi diadakan semasa pembukaannya menampilkan pasukan-pasukan ternama seperti Dundee United, Bayern Munich, Leeds United, pasukan Olimpik Australia "Olyroos" dan Flamengo yang akhirnya memenangi kejohanan tersebut.

Kalau tidak, AC Milan dan Celtic pun akan main kejohanan ni tapi mereka tarik diri atas sebab-sebab tertentu.

Tak sah juga kalau kita tak bercerita pasal Piala Dunia Belia FIFA 1997 yang berlangsung di Malaysia. Ramai lagenda bola sepak seperti Pablo Aimar, Esteban Cambiasso, Juan Roman Riquelme, Thierry Henry, Nicolas Anelka dan ramai lagi yang pernah beraksi di bumi Shah Alam ni.

Sejak tahun 1994, Stadium Shah Alam menjadi rumah kepada pasukan bola sepak Selangor. Bukan sahaja Selangor, malah banyak pasukan lain yang pasti ingat keajaiban-keajaiban mereka di Stadium Shah Alam.

Selangor menang tiga Piala Malaysia dalam tiga edisi berturut-turut pada 95', 96' dan 97', comeback Negeri Sembilan 2011, Misi 33 Selangor tercapai dan aksi epik Perak-Terengganu 2018 pasti menjadi igauan malam peminat bola sepak tanah air. Semuanya berlaku di Stadium Shah Alam.

Tidak dilupakan juga detik Fabregas bergaduh dengan Wan Zack Haikal ketika perlawanan Malaysia menentang Barcelona. Neymar dan Messi pun pernah jejakkan kaki ke Stadium Shah Alam!

Perlawanan bola sepak terakhir di sini menyaksikan Safawi Rasid dengan hatrik beliau meranapkan impian Selangor untuk mara ke pentas final Piala Malaysia 2019. 

Selepas bertahun-tahun kemegahan, Stadium Shah Alam mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan. 

Panel bumbung mula retak dan jatuh, manakala penyelenggaraan yang kurang baik membuatkan stadium ni nampak sangat usang. Banyak yang rosak dan tak dapat diselamatkan lagi.

Paling sedih apabila air banjir memenuhi stadium yang membuatkan ia menjadi seperti pusat akuatik. Walaupun beberapa usaha pengubahsuaian dijalankan, keadaan stadium ini tetap tidak memuaskan. 

MFL pun umumkan stadium ini mungkin akan dilarang daripada menjadi tuan rumah perlawanan Liga Super Malaysia atas sebab keselamatan. Dengan berat hati Selangor berpindah ke Stadium MBPJ.

Pada Julai 2022, kerajaan Selangor umumkan rancangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan bangunkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di tapak yang sama. 

Projek ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM3.28 bilion dan melibatkan tiga fasa dengan siap sepenuhnya pada tahun 2029. 

Fasa pertama melibatkan perobohan dan pembinaan semula stadium, dijangka siap pada Disember 2026. Fasa kedua akan melibatkan pembinaan teater tertutup, sayap belia dan sukan, serta kawasan rekreasi. Fasa terakhir akan melibatkan pembinaan terminal bersepadu dan hotel.

Stadium Shah Alam bukan sahaja sebuah bangunan, tetapi ia adalah simbol kegemilangan sukan dan budaya bagi rakyat Selangor dan Malaysia. 

Walaupun ia akan dirobohkan, kenangan dan sejarah yang tercipta di dalamnya akan terus hidup dalam ingatan ramai. 

Rujukan : Azizul Farhan, The Patriot






























Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom