Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

16-Disember

Masukkan carian anda di sini !

"..Jangan sampai dia terasa hati, doanya mudah tembus ke langit.."



Sa'ad bin Abi Waqqas bukanlah nama biasa-biasa dalam lipatan sejarah Islam.
Beliau adalah antara kelompok terawal yang memeluk Islam ketika usianya baru menjangkau belasan tahun.

Dan yang paling menakjubkan, beliau adalah salah seorang daripada sepuluh sahabat yang telah dijamin masuk syurga secara 'VIP' oleh baginda Nabi Muhammad SAW sewaktu mereka masih lagi hidup bernafas di atas muka bumi.

Dalam ilmu ketenteraan Islam, beliau diiktiraf sebagai pakar penembak tepat yang paling berbahaya.

Kemuncak kehebatan memanah Sa'ad dapat dilihat dengan sangat jelas semasa berlakunya kemelut Perang Uhud.

Ketika tentera Islam sedang diasak teruk dan keadaan menjadi sangat kucar-kacir, Sa'ad berdiri teguh bagaikan tembok besi di sisi baginda Nabi Muhammad SAW.

Beliau tidak berganjak mundur walau setapak. Sebaliknya, beliau melepaskan anak panah bertubi-tubi ke arah tentera musyrikin yang cuba menghampiri dan mahu mencederakan baginda.

Setiap anak panah yang meluncur dari busur Sa'ad, pasti akan mencari mangsanya dengan tepat. Tidak ada satu pun yang tersasar jatuh ke tanah kosong!

Melihatkan kesungguhan dan ketepatan panahan Sa'ad, baginda Nabi Muhammad SAW sangat kagum dan berbangga.

Baginda mengumpulkan anak-anak panah yang berterabur di atas tanah, lalu menyerahkannya sendiri kepada Sa'ad sambil bersabda dengan satu ucapan yang sangat luar biasa.

"Panahlah wahai Sa'ad! Ayah dan ibuku menjadi tebusanmu!"

Para ulama sirah sepakat mengatakan bahawa baginda Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengumpulkan nama ayah dan ibu baginda sebagai tebusan kepada sesiapa pun dalam satu ayat, kecuali kepada Sa'ad bin Abi Waqqas pada hari itu.

Itulah tanda penghormatan tertinggi seorang panglima agung kepada 'sniper' terbaiknya. Namun, kehebatan Sa'ad tidak terhenti pada ketajaman hujung anak panahnya sahaja.

Baginda Nabi Muhammad SAW telah menadahkan tangan dan memohon satu doa khas yang menggegarkan langit untuk pemuda hebat ini.

"Ya Allah, tepatkanlah panahannya, dan makbulkanlah doanya!"

Bermula dari saat doa itu diucapkan oleh kekasih Allah, Sa'ad bin Abi Waqqas menjadi manusia yang paling 'berbahaya' doanya di dunia.

Apa sahaja yang terpacul dari mulutnya memohon kepada Allah, pasti akan dibayar tunai tanpa sebarang penangguhan.

Sehinggakan para sahabat yang lain sangat berhati-hati dan takut untuk membuatkan Sa'ad terasa hati.

Ada satu insiden bersejarah yang membuktikan betapa 'berbisanya' doa Sa'ad ini.

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, Sa'ad telah dilantik menjadi gabenor yang mentadbir wilayah Kufah di Iraq.

Beliau mentadbir dengan sangat adil, tetapi adatlah manusia, pasti ada mata yang berasa dengki melihat kebaikan orang lain.

Seorang lelaki bernama Usamah bin Qatadah telah menyebarkan fitnah palsu secara terbuka di dalam masjid untuk menjatuhkan kredibiliti Sa'ad.

Lelaki pemfitnah itu mendakwa kononnya Sa'ad tidak pandai membahagikan harta rampasan perang, tidak adil dalam menjatuhkan hukum, dan seorang pengecut yang takut untuk keluar berperang.

Tuduhan itu sangat berat dan menjatuhkan maruah seorang panglima Islam yang pernah meruntuhkan Empayar Parsi di Perang Qadisiyyah!

Sa'ad berdiri dengan tenang, menatap tepat ke wajah lelaki pemfitnah itu, lalu mengangkat kedua-dua belah tangannya ke langit.

Beliau tidak membalas dengan libasan pedang, sebaliknya beliau melepaskan 'anak panah' doanya yang digeruni.

"Ya Allah, jika hamba-Mu ini berdusta, dan dia berdiri hanya untuk menunjuk-nunjuk, maka panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya, dan dedahkanlah dia kepada fitnah dan bala bencana!"

Doa itu terus menembusi awan dan diangkat terus ke langit. Berpuluh tahun kemudian, sejarah mencatatkan bahawa lelaki pemfitnah itu hidup dalam keadaan yang sangat merana dan hina.

Umurnya terlalu panjang sehinggakan kulit keningnya melondeh menutup mata kerana dia sudah terlalu tua nyanyuk.

Dia jatuh miskin sehina-hinanya, terpaksa mengemis di tepi lorong jalanan, dan hidupnya penuh dengan bala bencana serta gangguan.

Setiap kali orang yang lalu-lalang bertanya mengapa dia jadi begitu teruk, lelaki tua itu akan menjawab dengan penuh penyesalan dan air mata.

"Aku telah ditimpa kemurkaan doa Sa'ad."

Kisah panglima 'sniper' ini adalah satu tamparan kesedaran yang hebat buat kita semua pada hari ini.




KONGSIKAN:



Ads Bottom