Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Variasi Tanpa Limitasi

Masukkan carian anda di sini !

Wira rel melawan pengganas komunis



Harian Metro, 8 September 2021

Kuala Lumpur: Walaupun 74 tahun sudah berlalu, pesara Batalion Pertama Askar Melayu ini tidak pernah lupa setiap pertempuran yang berlaku ketika menyarung seragam pasukan pertahanan negara itu.

Ahmad Md Isa, 94, yang dilahirkan pada 31 Disember 1927 antara anggota Batalion Pertama Askar Melayu yang melalui pelbagai peristiwa sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Mula bertugas pada 12 Julai 1947, Ahmad mengakui masih tersemat di sanubarinya peristiwa pertempuran mempertahankan negara antaranya di Kampung Koh, Setiawan, Perak, sempadan Kelantan, Perak dan Pahang.

"Selain itu, saya juga ditugaskan ketika peperangan di Bukit Serampang, Johor, serta Gemas, Negeri Sembilan dan sekitar Sungai Muar.

"Malah, tidak lupa juga di Teriang, Kemayan (Pahang), Padang Lembu (Kedah), Jelebu (Negeri Sembilan), Gua Musang (Kelantan) dan menjaga sempadan Sabah ketika konfrontasi dengan Indonesia," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya pengalaman paling tidak dapat dilupakan sepanjang bertugas, bapa kepada lima anak itu mengakui, kejadian pengganas komunis melarikan kepala kereta api dari Teriang ke Mengkuang pada 1950 tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

"Ketika itu kami diminta mengiringi kereta api di Teriang setiap hari hingga ke Jerantut. Satu petang ketika pulang dari Jerantut, kami tinggalkan kereta api di Stesen Teriang dan kembali ke markas bertugas sejauh sekitar empat kilometer.

"Bagaimanapun, sekitar jam 6 petang, ketika pemandu kereta api mengambil air di hujung stesen sejauh 300 meter dia diserang pengganas komunis," katanya.

Datuk kepada 15 cucu dan 20 cicit ini berkata, ketika sedang mengisi air, tiba-tiba muncul dua pengganas yang naik ke atas kepala kereta api dan mengacukan pistol kepada pemandu dan menyuruh mengajar cara mengendalikan kereta api itu.

"Kemudian mereka menolak pemandu turun dan mengambil alih kereta api menghala ke Mengkuang, Pahang.

"Setibanya di Mengkuang, pengganas turun melarikan diri menghala ke Paya Lang, Teriang, Pahang.

"Kami diberitahu mengenai kejadian itu jam 7 malam, bagaimanapun kami tidak dapat ke Mengkuang kerana pasukan saya ditugaskan membuat serang hendap di tepi jalan kereta api, sehingga keesokan hari barulah kami dapat mengambil kembali kepala kereta api berkenaan," katanya.

Ahmad berkata, dia mengakui peritnya askar terdahulu berjuang menuntut kemerdekaan ketika zaman penjajah.

"Kami bersusah payah menghapuskan pengganas dalam hutan rimba untuk mendapat keamanan dahulu barulah negara mencapai kemerdekaan," katanya.

Beliau turut menasihatkan generasi muda sekarang menjaga keamanan dan menghargai kemerdekaan diperjuang generasi terdahulu.

"Saya masih berbangga dengan kerjaya saya, malah memberi sokongan kepada seorang cucu yang memasuki Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan berkhidmat di Kem Lok Kawi, Sabah dalam pasukan kejuruteraan," katanya.






KONGSIKAN:



Ads Bottom