Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Istana Bidadari warisan Kesultanan Johor di Singapura




Pada 10 Mac 1855 Sultan Ali menandatangan perjanjian menyerahkan kerajaan dan negeri Johor melainkan jajahan Kesang kepada Temenggong Daing Ibrahim, dengan bayaran pampasan. Temenggong memerintah Johor dari Telok Belanga.

Maharaja Abu Bakar menaiki takhta Kerajaan Johor pada tahun 1862 meneruskan pemerintahan Johor dari Singapura kerana Baginda berhasrat mempelajari selok belok sistem pengurusan dan pentadbiran British. Dalam masa yang sama Baginda meneliti strategi politik dan dasar penjajahan British. Hasil penelitian itu, Baginda berjaya menggubal perancangan termasuk reformasi dalaman bagi mengekang cita-cita British dari campur tangan dalam pentadbiran baginda. Maharaja Abu Bakar berjaya mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negeri Johor dari dijajah British selama 30 tahun berturut-turut.

Semasa bersemayam di Singapura, Baginda membeli beberapa hartanah disitu dari hasil pendapatan monopoli perdagangan gambir dan lada hitam yang diwarisi dari paduka ayahanda Baginda. Pembelian harta itu bukan sahaja menambah khazanah keluarga diraja bahkan lebih dari itu memperkasakan status Baginda sebagai Raja yang merdeka, berkemampuan, berdikari dan tidak mengharapkan bantuan dari pihak luar.

Dalam tahun 1860an Maharaja Abu Bakar membeli sebuah rumah kediaman serta 45 ekar tanah Bidadari Estate di Daerah Serangoon daripada rakan karibnya Henry Minchin Simons. Kediaman itu dinamakan Istana Bidadari tempat persemayaman suri kedua Baginda Enche’ Besar Zubaidah Binti Abdullah.

Enche’ Besar Zubaidah (nama asal Cecilia Catherina Lange sebelum memeluk agama Islam dan bernikah dengan Abu Bakar pada tahun 1868 ketika berusia 20 tahun) adalah anak perempuan kepada Mad Johansen Lange seorang bangsawan dan pedagang bangsa Dane yang menjalankan perniagaan di Bali dan isterinya  Nonya Teh Sang Nio anak Kapitan Cina Bali.

Enche’ Besar Zubaidah (1849-1936)
Asal usul nama “Bidadari” adalah samar-samar dan sukar disahkan. Nama itu telah wujud sebelum Abu Bakar membeli harta tersebut. Laporan akhbar ketika itu pernah menyebut terdapat sebuah kolam disitu yang kononnya tempat mandi-manda pari-pari atau bidadari. Ada pula pihak berpendapat tempat itu diberikan oleh kerana kecantikan dan perwatakan Enche’ Besar Zubaidah menyerupai seorang bidadari.








Hasil pengkongsian hidup pasangan diraja itu dikurniakan seorang puteri Tunku Mariam pada tahun 1871. Tunku Mariam bergelar Tengku Ampuan Pahang setelah bernikah dengan Sultan Pahang. Tunku Ibrahim Iskandar yang diputerakan di Istana Bidadari pada tahun 17 September 1873 menaiki takhta kerajaan Johor sebagai Sultan Ibrahim pada tahun 1895.

Enche’ Besar Zubaidah berpindah dan bersemayam di Johor Bahru pada tahun 1886 dan dikatakan tidak pernah keluar dari Johor sehingga akhir hayatnya pada 2 Jun 1936, berusia 88 tahun.

Istana Bidadari menjadi satu pengorbanan dalam arus pembangunan pesat Singapura. Pada tahun 1905 Kerajaan Singapura setelah berunding selama tiga tahun dengan Dato’ Jaafar Mohammad Menteri Besar Johor selaku Pemegang Amanah Bidadari mengambil alih keseluruhan Bidadari Estate untuk tujuan awam, dengan bayaran gantirugi $2500 seekar.

Kawasan tersebut dijadikan tanah perkuburan berasingan bagi orang Islam, penganut agama Christian, Hindu dan Sinhalese. Perkuburan Islam mula digunakan pada Februari 1910 dan sebuah masjid dibina dikawasan itu.

Pada tahun 1972 kawasan perkuburan Bidadari yang mengandungi 147,000 kubur pada ketika itu ditutup kegunaannya. Pada November 2001 semua kubur telah dipindahkan ke kawasan lain. Setelah dibersihkan Bidadari Estate dimajukan dengan projek pembangunan bandar termasuk sebuah seksyen MRT.

Kini Istana Bidadari hanya tinggal dalam kenangan warisan Kesultanan Johor.

Penulis,
Yang Berhormat Dato' Abdul Rahim bin Ramli.

Yang Dipertua
Jumaah Majlis Diraja Negeri Johor

23 November 2016

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom