Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah-kisah berakhirnya sebuah monarki


Sejarah menyaksikan kegemilangan dan kejatuhan banyak empayar dan negara beraja yang berkuasa suatu ketika dahulu.

Disebabkan pelbagai faktor, banyak kepimpinan negara telah tumpas dan sekaligus menghapuskan sistem pemerintahan diraja yang menjadi pucuk kepimpinan negara.

Perancis



Perancis mula menjadi negara terkuat di Eropah selepas Perang Tiga Puluh Tahun (1618-1648). Perancis menunjukkan kehebatan dalam pelbagai bidang termasuk budaya, politik dan kuasa tentera pada abad ke-17 semasa pemerintahan Raja Louis XIV (1643-1715).

Namun, kegemilangan Perancis mula malap apabila Louis XVI mengambil alih takhta pada tahun 1774. Perancis mula mengalami masalah ekonomi dan kekurangan makanan sehingga mencetuskan pemberontakan besar-besaran yang berlaku iaitu Revolusi Perancis pada 1789.

Ini menyebabkan sistem pemerintahan beraja dimansuhkan. Raja Louise XVI dan isterinya Marie Antionette kemudiannya dipenjara dan akhirnya dihukum mati.

Korea


Korea mencapai keunggulan ketika berada di bawah pemerintahan Sejong the Great, monarki keempat di Korea. Kegemilangan Korea menyaksikan ciptaan mesin pencetakan pada tahun 1234.

Ini sekaligus menjadi penggerak bagi negara ini untuk giat menerbitkan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang antaranya bidang perubatan, astronomi, geografi, sejarah dan pertanian. Pemerintahan Sejong the Great turut menyaksikan penciptaan bahasa Hangul yang digunakan oleh masyarakat Korea pada hari ini.

Pada tahun 1897, Maharaja Gojong dari dinasti Joseon mengisytiharkan Empayar Korea. Sunjong, anak Gojong mengambil alih takhta namun empayar ini jatuh apabila Jepun datang menyerang pada 1910.

Sunjong hilang kuasanya dan beliau bersama isterinya menghabiskan seumur hidup terkurung dalam istana.

Iran


Reza Pahlavi merupakan pemimpin yang cukup disegani pada tahun 1925. Beliau bertanggungjawab dalam menstabilkan Iran pada 1925 selepas dijajah oleh Rusia dan Turki.

Anaknya, Mohammad Reza Pahlavi mengambil alih pada 1941 dan telah memberi lembar baharu kepada negara ini. Pemerintahan Mohammad Reza menunjukkan banyak kemajuan dan hak sama rata seperti peluang mengundi untuk wanita serta memberi hak kepada petani. Mohammad Reza turut memperkasa tahap pendidikan dalam negara serta menaikkan industri gas semula jadi.

Ekonomi yang berkembang serta pemodenan infrastruktur pesat menjadikan Iran sebagai negara yang menuju kemajuan. Namun, keadaan ini tidak bertahan lama. Masyarakat Iran mula berubah dari tradisional, konservatif kepada masyarakat dengan pemikiran moden.

Sama ada akibat rasuah atau ketidakcekapan mentadbir, kerajaan Iran pada ketika itu telah gagal mengotakan janji kepada rakyat.

Ini mencetuskan Revolusi Iran pada tahun 1979. Mohammad Reza serta keluarganya disingkirkan dan habiskan sisa hidup mereka di Mesir.

Ayatollah Khomeini mengambil alih pemerintahan Iran dan menjadikan negara tersebut sebagai Republik Islam secara rasmi.

Turki



kegemilangan Turki sebagai negara beraja yang mahsyur suatu ketika dahulu tidak perlu diperkenalkan lagi. Kerajaan Uthmaniyah merupakan kuasa terbesar di Eropah yang mengawal beberapa negara seperti Bulgaria, Yugoslavia, Romania dan Itali.

Era terunggul Uthmaniyah boleh dilihat sekitar tahun 1481 hingga 1566. Ketika itu, mereka membentuk ekonomi, mencipta Bahasa Turki dan memperkenalkan tradisi Muslim. Uthmaniyah muncul sebagai negara yang terkaya di dunia pada abad ke-16 dengan mengawal laluan perdagangan antara Eropah dan Asia.

Zaman kegemilangan Turki yang berada di bawah pemerintahan Suleyman I ketika itu turut dikenali sebagai golden age. Raja terakhir Turki adalah Mehmed VI.

Apabila Turki ditumpaskan pada Perang Dunia Pertama, kebanyakan wilayah mereka dibahagikan antara Britain, Perancis, Greece dan Rusia dalam Perjanjian Lausanne.

Ini sekaligus mengakhiri legasi kerajaan Uthmaniyah pada 1922 dan mengisytiharkan Turki sebagai republik pada tahun 1923. Kejatuhan Turki menyebabkan Mehmed VI lari meninggalkan negaranya pada tahun 1922.

Rusia



Empayar Rusia pernah mencapai jajahan seluas 9 juta kaki persegi pada tahun 1897 yang merangkumi Eropah, Asia, Amerika, China, Mongolia dan Parsi.

Rusia muncul sebagai negara beraja yang hebat dalam bidang seni dan budaya dari 1762 hingga 1894. Mereka juga membebaskan petani dari perhambaan dan membina universiti.

Pada tahun 1884, Czar Nicholas II memerintah Rusia dan terpaksa turun takhta akibat protes di Petrograd (sekarang St. Petersburg).

Revolusi ini dikenali sebagai Revolusi Februari dan telah menamatkan 300 tahun pemerintahan dinasti Romanov di Rusia.

Nicholas bersama keluarganya dikurung dan akhirnya dibunuh oleh pasukan Bolshevik pada tahun 1918.

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom