Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

General Tom Thumb: Lagenda sarkas bertubuh kerdil


General Tom Thumb  dilahirkan daripada ibu bapa yang normal, dengan nama Charles Sherwood Stratton, pada 4 Januari 1838 di Connecticut. Abang dan kakaknya juga normal, namun tumbesaran Charles terhenti di usia 5 bulan dan doktor ketika itu tak dapat mengetahui masalahnya.



Cerita tentang Charles sampai ke pengetahuan P.T. Barnum, lantas tauke sarkas tersohor itu datang bertemu ibu bapa Charles dan mengambil anak istimewa itu bekerja ketika dengan dia berusia 4 tahun, dengan gaji $3 seminggu untuk mempamerkannya di New York.

Barnum memberinya nama pentas, Tom Thumb, daripada watak dalam dongeng Inggeris. Seperti biasa, Barnum menambah rencah dengan mempromosikan Charles Sebagai si kerdil berusia 11 tahun dan dibawa ke Amerika dari Eropah dengan ‘belanja yang besar’.

General Tom Thumb pantas menjadi sensasi di New York, beraksi di atas pentas dengan pelbagai kostum, berlakon sebagai Napoleon dan watak-watak lain. Tak lama kemudian, Barnum mula membayar keluarga Stratton $50 seminggu, nilai yang sangat besar ketika itu.

Pada 1844, dia dan Barnum dijemput membuat persembahan untuk Ratu Victoria di Buckingham Palace, London yang meledakkan namanya untuk dijemput ke serata Eropah. Pada 1856, mereka menjelajah merentas Amerika dan sekali lagi menjelajah Eropah.

Di awal 1860-an, General Tom Thumb bertemu dengan gadis kerdil yang diambil bekerja oleh Barnum, Lavinia Warren. Mereka bertunang kemudian berkahwin pada 10 Februari 1863. Ketika sedang berbulan madu, mereka dijemput ke White House oleh Abraham Lincoln.



Lewat 1860-an, mereka berdua membuat persembahan jelajah dunia selama 3 tahun yang turut singgah di Australia. Pasangan itu bersara pada 1880-an dan berpindah ke rumah agam di Middleboro, Massachussetts yang dilengkapi perabot kecil yang dibuat khas.

Di sanalah, pada 15 Julai 1883, Charles Stratton, seorang kerdil berketinggian sekitar 3 kaki yang telah menggegarkan dunia, menghembuskan nafas terakhirnya di usia 45 tahun akibat angin ahmar.

Sumber: Britannica, ThoughtCo., Smithsonian


Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom