SHAH ALAM: Waris Datuk Jenaton Labu mahu tokoh itu mendapat pengiktirafan sewajarnya sebagai antara pemimpin yang membuka penempatan di Batu Uban Pulau Pinang, sebelum kedatangan Inggeris.
Waris Jenaton yang berasal dari Pagaruyung, Sumatera, mahu tokoh pendakwah dan penghulu itu diiktiraf sebagai antara individu yang lebih awal membuka Pulau Pinang bersama tiga yang lain.
Presiden Persatuan Keluarga Datuk Jenaton, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican (gambar), berkata umum mengetahui Light membuka Pulau Pinang pada 1786.
Bagaimanapun, katanya, Jenaton dan tiga lagi pemimpin ketika itu iaitu Muhammad Salleh atau Nakhoda nan Intan, Nakhoda Kechil dan Datuk Setia, yang juga adik ipar kepada Jenaton, didakwa membuka Batu Uban sekitar tahun 1730-an.
"Bukan Inggeris yang datang dahulu ke Pulau Pinang atau dikenali sebagai Tanjung pada waktu itu, sebaliknya Jenaton dan tiga nakhoda lain.
"Kita bukan menolak Light datang ke Pulau Pinang, tetapi kita menolak naratif dia membuka Pulau Pinang atau Tanjung.
"Light adalah seorang nakhoda, mereka ini juga adalah nakhoda (empat peneroka awal Pulau Pinang) tetapi mengapa kita tidak mengiktiraf nakhoda itu," katanya pada sidang media sempena majlis Perjumpaan Keluarga Datuk Jenaton ketujuh di sini, hari ini.
Kira-kira 300 waris Jenaton hadir pada perjumpaan yang turut membabitkan keturunan yang masih menetap di Sumatera dan bermastautin di Perancis.
Ahmad Murad berkata, usaha mencari semula susur-galur keturunan seperti dilakukan waris Jenaton itu bukan sekadar untuk mengetahui bilangan ahli keluarga.
Sebaliknya, katanya, salasilah keluarga turut menyumbang kepada khazanah negara.
"Ada antara ahli keluarga Jenaton menyumbang kepada sosio-politik negara termasuk ketika perjuangan sebelum merdeka.
"Ramai ahli keluarga ini berperanan dalam mencorak landskap politik negara seperti pengasas Utusan Melayu dan Presiden Singapura, Yusof Ishak serta beberapa hakim dan ahli akademik termasuk saya sendiri," katanya.
Sumber : Berita Harian
KONGSIKAN: