Sebelum kedatangan British, Pelabuhan Klang dikenali sebagai Kuala Klang. Berdasarkan sejarah lisan di situ, muara Sungai Klang pula dipanggil sebagai Pasang Api dalam kalangan penduduk tempatan dan Orang Asli di sekitar kawasan itu dahulu.
Semasa pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Penghulu Tun Perak telah mengarahkan api dipasang di bahagian muara Sungai Klang pada waktu malam sebagai langkah keselamatan dari ancaman lanun dan sebagai panduan kepada perahu serta kapal keluar masuk pada waktu malam.
Kuala Klang merupakan sebuah perkampungan kecil yang didiami oleh nelayan dan petani sementara Sungai Klang pula menjadi penghubung antara Kuala Klang dengan Pengkalan Batu, bandar Klang serta Kuala Lumpur.
Pada masa itu, Pengkalan Batu merupakan pelabuhan utama dan menjadi pusat perdagangan termasuklah pemunggahan hasil bijih timah di Bandar Klang. Namun, fungsi pelabuhan di situ mulai merosot setelah British membina jambatan Belfield yang menghubungkan Klang Utara dan Klang Selatan.
Pelabuhan yang baharu di Kuala Klang kemudian dicadangkan oleh Sir Frank Swettenham pada 1893 tetapi hanya dibina pada 1900 setelah landasan kereta api dari bandar Klang ke Kuala Klang dibina pada 1889.
Pelabuhan Swettenham kemudian dibuka secara rasmi pada 15 September 1901. Pelabuhan itu ditukar nama kepada Pelabuhan Klang selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
KONGSIKAN: