Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Mengenang 90 tahun kewafatan wali Allah Tok Kenali


Dapatkan info terkini perjuangan rakyat Palestin klik t.me/SERUANALQUDS

Hari ini 19 November 2023, 90 tahun yang lalu, ulama disegani tanah air, Tok Kenali, meninggal dunia.


Nama sebenarnya Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad, lahir pada 1868 di Kubang Kerian, mukim Kenali, Kota Bharu, Kelantan dalam keluarga yang warak. Ketika kecil beliau belajar mengaji ilmu-ilmu asal dengan datuknya, kemudian menyambung belajar di Masjid Al-Muhammadi, Kota Bharu.

Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali bermusafir ke tanah suci Mekah untuk lebih mendalami ilmu agama. Bermalam di serambi-serambi masjid, beliau berguru dengan ramai ulama Arab dan juga tanah Jawi, sebelum menuntut dengan lebih rapat dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fatani.

Sesudah gurunya itu meninggal dunia, Tok Kenali pulang ke tanah air pada 1909, selepas kurang lebih 22 tahun berkelana di tanah suci. Beliau membuka sekolah di pondok dekat rumahnya, yang berkembang menjadi pusat pengajian Islam tradisional terkenal, menempatkan lebih 300 pelajar pada suatu masa.

Beliau dijemput mengajar di Masjid Al-Muhammadi dari 1915 hingga 1920. Ketika sama, beliau juga memainkan peranan besar dalam penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), majlis agama Islam pertama di Tanah Melayu yang menjadi asas serta rujukan kepada pembentukan majlis-majlis agama di negeri-negeri lain.

Tok Kenali juga merupakan pengarang terhormat untuk majalah Pengasuh, majalah Islam paling lama bertahan di Nusantara (sejak 1915 hingga hari ini) bawah kelolaan MAIK. Beliau turut menghasilkan beberapa kitab antaranya Risalatud Durril Mantsur, Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi dan Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih.

Beliau kembali ke rahmatullah pada 19 November 1933/2 Syaaban 1352H, di usia 65 tahun. Jasadnya disemadikan dekat rumahnya di Kubang Kerian. Nama, ilmu dan keperibadiannya tidak hanya disegani di Kelantan serta Malaysia, malah harum di seluruh Nusantara.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Daurah Haramain


Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom