Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Ahmad Wan Besar, alim ilmu Qiraat Tujuh


Tuan Guru Haji Ahmad Bin Haji Wan Besar @ Awang Besar Bin Haji Muhammad Adnan adalah seorang ulama tempatan yang alim di dalam ilmu qiraat tujuh. 

Beliau dilahirkan sekitar tahun 1893 di Patani lalu kemudiannya berhijrah ke Gerik, Perak dan akhirnya menetap di Kupang, Baling. Beliau mempunyai beberapa orang adik beradik, antara yang diketahui ialah Haji Sulaiman dan Tok Ha. 

Beliau telah berkahwin dengan Hajah Siti Hajar Binti Haji Umar Bin Haji Muhammad Hashim yang berasal dari Kuala Muda berketurunan Patani, cicit kepada Syeikh Waksa Kuala Muda. Ayah mertuanya Syeikh Umar itu pernah menjadi Naib Qadhi Pulau Pinang.

Pasangan ini dikurniakan lapan (8) orang cahaya mata, iaitu :

1.  Hafsah - berkahwin dengan Haji Daie
2.  Dato' Syeikh Haji Abdul Aziz - Qadhi Besar Kedah
3.  Hajah Saudah - berkahwin dengan Tuan Guru Haji Ahmad Rasdi Pondok Kampung Gelugor, Sedim
4.  Dato' Syeikh Haji Zakaria - Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah 
5.  Hajah Jariah @ Juwairiyah
6.  Khadijah
7.  Haji Yahya - guru agama di Kupang
8.  Hajah Fatmah

Pendidikan beliau yang diketahui ialah di Mekah. Antaranya berguru dengan Syeikh Abdullah Senggora atau lebih masyhur dengan panggilan Tok Senggora. Selepas selesai menuntut ilmu, beliau mula mengajar masyarakat kampung di kediamannya di Kampung Jerai, Kupang, Baling. Antara mereka yang sempat belajar dengannya ialah Tuan Guru Haji Yahya Taha, Pondok Kampung Pisang, Kupang.

Pada tahun 1937, beliau dan isterinya telah membawa anak-anak mereka iaitu Syeikh Abdul Aziz, Hajah Saudah dan Syeikh Zakaria ke Mekah untuk menghantar mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Dalam usaha itu, mereka berlayar menggunakan kapal laut. Dari Jeddah ke Mekah mereka menaiki lori yang berbumbungkan kain untuk mengerjakan Haji dan terpaksa menempuh perjalanan yang panjang di atas padang pasir. Setelah selesai mengerjakan Haji, mereka menuju ke Madinah dengan menaiki unta selama 12 hari 12 malam.

Sepanjang di Mekah sambil menunggu anak-anaknya selesai belajar, beliau berkerja membuat kasut untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. 

Selepas kembali semula ke tanah air, beliau terus menetap di Kampung Jerai, Kupang, Baling sehingga ke akhir usia. Kini rumah pusaka beliau di kampung didiami Ustaz Wanji anak kepada Haji Yahya Bin Haji Ahmad Wan Besar.

Tuan Guru Haji Ahmad Wan Besar 

Beliau meninggal dunia pada tahun 1973 dalam usia 80 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sadik, Kupang, Baling.

Sumber :-
1. Temubual pengkaji sejarah ulama, Tengku Yusuff dengan En Mahmud, dan En Sulaiman (cucu Allahyarham)
2. Maklumat yang tertulis dalam buku Biografi Sejarah Ulama Kedah
3. Perkongsian maklumat dari Baba Rusydi 

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom