Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Aziz Sattar : Itulah sejarahnya saya tertidur 24 jam


Pada awal 1960an Aziz Sattar, P. Ramlee dan rakan-rakan seperjuangannya sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan pentas di seluruh negara. Pada 1962, mereka mendapat undangan daripada guru-guru Perlis. Yang turut pergi kali ini memenuhi undangan ialah P Ramlee, Saloma, Ibrahim Pendek dan Kassim Masdor.

Tujuan undangan itu adalah untuk mengisi tabung sekolah. Persembahan diadakan selama tiga malam dan oleh kerana sambutan yang sangat menggalakkan, pihak guru-guru Perlis meminta mereka menyambung persembahan tiga malam lagi. Selesai persembahan malam keenam dan terakhir, mereka dijamu pula, kemudian berbual sehingga pukul 4 pagi. Pukul 5 pagi barulah mereka berangkat pulang.

Adakah mereka terus memandu pulang ke Singapura? Tidak.

Aziz Sattar menceritakan,  “Dalam perjalanan pulang, apabila kami hampir sampai ke Butterworth, P. Ramlee dan Saloma bertukar fikiran. Mereka meminta dihantar ke Pulau Pinang kerana hendak pulang dengan kapal terbang MSA. Saya dan Kassim Masdor terpaksa menghantar P. Ramlee dan Saloma ke Pulau Pinang. Sebelum itu Ibrahim Pendek sudah menaiki kereta lain dengan seorang rakannya.

“Selepas menghantar P. Ramlee dan Saloma, saya bersama Kassim Masdor memandu kereta P. Ramlee jenama Dodge plat SA 7071, pulang ke Singapura. Di pertengahan perjalanan, kami singgah di Kuala Lumpur kerana ingin menemui rakan-rakan seperjuangan di kedai Yusof Suria, Chow Kit. Pada pukul 11 malam baru saya dan Kassim Masdor pulang ke Singapura.

“Oleh sebab waktu itu belum ada lebuh raya, hanya pada pukul 8 pagi esoknya baru kami sampai di Singapura. Saya amat mengantuk kerana dua malam tidak tidur. Pagi itu saya mahu terus tidur tetapi tanpa diduga bapa saudara isteri saya, Dayang Sofia, tiba dari Amerika dan mengajak saya berjalan-jalan pada pagi itu juga. Saya tidak dapat menolak permintaannya.

“Pada pagi itu saya sekeluarga menemani bapa saudara Dayang Sofia berjalan-jalan hingga pukul 11 malam. Ketika itu mata saya sudah tidak dapat dibuka lagi. Pada malam itu dari rumah ibu Dayang Sofia, saya balik ke Boon Teck Road kira-kira pukul 12 malam.

“Tiba di rumah, rakan-rakan sedang bersembang di rumah Haji Mahadi, di sebelah rumah saya. Saya tidak dapat melayan sama, lalu terus masuk tidur.

“Apabila tersedar pukul 12.30 dan suara rakan-rakan masih kedengaran bersembang, saya pun keluar sambil menegur mereka, “Kenapa rakan-rakan masih tidak balik tidur?”

“Rakan-rakan menjawab, “Kau bilang kami tak tidur? Kita semua dah shooting pun siang tadi. Kita dah makan dan kita sambung cerita kami malam tadi.”

“Mendengar penerangan itu, baru saya sedar bahawa rupa-rupanya saya sudah tidur selama 24 jam tanpa makan, minum dan mandi. Itulah sejarah saya tidur selama 24 jam.”

Kisah ini dipetik daripada buku MEREDAH GELOMBANG SENI : MEMOIR AZIZ SATTAR (Terbitan Finas) 

Zulkarnain Zakaria

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom