Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Kiyai Haji Maasom, Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam


Nama sebenarnya ialah Muhammad Bin Abdul Shakur. Setelah balik dari menunaikan ibadah haji, beliau menukar namanya ke Maasom kerana antara adat orang Jawa dahulu, mereka akan menukar nama mereka tanda berkatnya Haji tersebut. Tuan Guru Kiyai Haji Maasom Bin Haji Abdul Shakur dilahirkan sekitar 1920an di Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam, Selangor. 

Ayahnya, Kiyai Haji Abdul Shakur juga adalah seorang guru agama dan dikatakan berasal dari Tanah Jawa.

Pendidikan awalnya diperolehi daripada ayahnya sendiri di Sungai Tengar dan seterusnya melanjutkan pengajian ke beberapa buah madrasah di kawasan Bagan Datok seperti di Pondok Kiyai Masduki, Pondok Kiyai Anuar dan sebagainya. Setelah beberapa tahun beliau akhirnya melanjutkan pengajian ke Mekah al-Mukaramah selama lebih kurang 20 tahun, antaranya di Madrasah Darul Ulum dan Masjidil Haram. 

Antara guru-guru beliau ialah :

1. Kiyai Haji Abdul Shakur - ayahnya
2. Kiyai Haji Masduki Moghni 
3. Kiyai Haji Anuar Ramli
4. Kiyai Haji Abbas
5. Syeikh Abdul Qadir al-Mandili 
6. Syeikh Muhammad Yassin Bin Isa al-Fadani 
7. Syeikh Hassan Masyath 
8. Sayyid Alwi al-Maliki dan ramai lagi

Beliau yang lebih mesra disebut sebagai Bapak Kiyai alim di dalam ilmu falak hasil pengajiannya di pondok di Bagan Datok. Beliau juga belajar falak dengan lebih mendalam daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani.

Antara anak muridnya ialah :

1. Tuan Guru Kiyai Suhaili, Seri Merlong, Batu Pahat
2. Ustaz Shansyuri al-Qadahi, Permatang Pasir 
3. Ustaz Zaini, Sungai Tengar

Beliau seorang yang warak lagi zuhud, kuat beribadat, berwirid dan mengamalkan jalan kesufian Imam Ghazali r.h. Beliau juga bertarekat dengan Tareqat Naqsyabandiah dan menjadi khalifahnya. Dikatakan beliau pernah berkhalwat di Jabal Nur, Gua Hira' selama seminggu.


Beliau meninggal dunia pada tahun 2006, ketika berusia awal 80an. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tengar, Sabak Bernam.

Sumber - Maklumat yang diberikan oleh Ustaz Shansyuri al-Qadahi, Jejak Ulama Nusantara

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom