Semasa darurat ini beberapa peristiwa telah berlaku. Ada dua peristiwa yang masih saya ingat. Satu, peristiwa komunis membakar kapal pengorek terusan air di sempadan di antara kawasan hutan dan kawasan sawah padi. Kedua, peristiwa salah seorang ahli Home Guard saya Mohd. Nor yang dikenali dengan nama Sidang Misai telah menembak hingga mati seorang yang tidak dikenali kerana merayau-rayau di kawasan perintah berkurung (curfew). Saya telah disoal siasat oleh Penguasa Home Guard dari Kuala Selangor, bagaimana perkara tersebut berlaku dan bagaimana saya memberi arahan kepada ahli-ahli Home Guard. Saya memberitahu kepada beliau, semua arahan dan peraturan adalah seperti yang diarahkan oleh beliau iaitu sesiapa melanggar perintah berkurung hendaklah ditangkap dan jika tidak menjawab dan lari apabila diberi amaran hendaklah ditembak. Penyiasatan ini ditutup apabila kesudahannya diketahui orang yang kena tembak ini adalah seorang yang baharu dikeluarkan dari hospital gila Tanjung Rambutan.
Kerja sukarela mengawasi keselamatan dan keamanan kampung ini, saya lakukan selama satu tahun. Selepas itu kerajaan menubuhkan pasukan Home Guard beruniform. Mereka yang terlibat diberi kursus seperti seorang tentera. Pasukan ini di ketuai oleh Encik Hasnan bin Hj. Sidek, berpangkat Inspektor Home Guard. Mereka diberi senjata otometik dan pakaian seragam áskar. Mereka ditugaskan menjaga keamanan kawasan Pasir Panjang dan Sungai Leman.
Pasukan Home Guard yang lama dibubarkan. Semua senjata api diserahkan kembali kepada kerajaan kecuali yang diberikan kepada Sidang-Sidang, diberi hak milik hinggalah sekarang.
Masalah peneroka
Dalam tahun 50an ramai peneroka yang lari balik kampung meninggalkan tanah yang diberikan untuk mereka mengerjakannya. Ini adalah disebabkan berbagai kesusahan yang mereka alami seperti kalau mereka mengidap penyakit, sangat susah mendapatkan ubat kerana klinik dan hospital sangat jauh. Yang ada hanya di Tanjung Karang dan Kuala Selangor. Isteri mereka yang mengandung tidak mendapat rawatan dan bila bersalin tidak ada bidan, tambahan pula wang perbelanjaan tidak cukup. Jalan dan parit baharu mula dibuat dan setengahnya belum siap. Kawasan crossban satu ke atas masih lagi belum bersih ditebang.
Hutannya berpulau-pulau, mereka tidak sanggup menebang pokok yang dua tiga pemelok besarnya, lebih-lebih lagi pokok kayu kempas yang sangat keras. Kapak yang mereka gunakan hanya sebesar empat jari sahaja.
Bersambung...
Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI
KONGSIKAN: