Semua Sidang yang telah dilantik bersama dengan Penghulu Tanjung Karang dan Penolong Penghulu Wan Hassan mengadakan mesyuarat di Kuala Selangor. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah baharu, nama beliau Tuan Safmohbel. Mesyuarat yang pertama ini membincangkan bagaimana hendak menyalurkan bantuan kepada peneroka. Mesyuarat telah memutuskan Sidang Haji Said bin Haji salleh dan Sidang Anang bin Haji Salleh dilantik memegang amanah menerima bantuan dan diberi kuasa mengagihkan bantuan ini kepada peneroka.
Barang bantuan seperti atap, papan, paku, beras, tepong gandum, gula dan lain-lain dibeli di Kuala Selangor dan dihantar ke Kuala Pasir Panjang menggunakan tongkang. Barang-barang ini ditempatkan di kuala Pasir Panjang di rumah kedai kepunyaan Sidang Haji Said. Saya dan Sidang Abu bertugas di kedai ini. Lebih kurang sebulan Sidang Abu digantikan oleh Encik Hasnan bin Haji Sidek, ipar sidang Abu. Kami bekerja tidak mengira masa, siang dan malam bertungkus-lumus membahagikan bantuan kepada peneroka di dua buah kawasan Pasir Panjang dan Sungai Leman yang berjumlah beribu orang. Barang-barang bantuan ini diagihkan melalui Sidang masing-masing. Pekerjaan ini kami lakukan selama dua tahun iaitu dari tahun 1948 hingga tahun 1950. Semua Sidang memeriksa sama ada peneroka mengusahakan tanah mereka atau pun tidak. Tiap-tiap bulan Sidang membuat laporan dan bantuan diberi berdasarkan laporan sidang-sidang ini. Kami bekerja dengan sukarela sahaja tidak menerima apa-apa gaji hanya saya dan keluarga saya dapat tinggal di kedai tersebut dan mendapat makanan daripada kedai dengan percuma.
Semua kita tahu, dalam tahun 1948 di seluruh negara kita, pada masa itu dikenali dengan Malaya telah diisytiharkan darurat angkara pengikut Parti Kominis yang diharamkan oleh Kerajaan British yang memerintah Malaya pada ketika itu. Komunis telah menjadikan negara kita tidak aman. Mereka membuat huru-hara, membunuh, mengugut, membakar, mencolek, merompak dan menyerang orang awam dan pasukan keselamatan.
Sungai Leman tidak terkecuali dari angkara komunis ini. Tambahan pula kawasan ini baharu sahaja dibuka dan banyak lagi kawasan rimba yang belum diteroka yang memudahkan pengganas komunis menyembunyikan diri.
Saya berpindah ke Parit 8 Sungai Leman. Di sini saya mendirikan pondok di Kuala Parit 8. Saya, isteri dan anak-anak tinggal di sini mengerjakan tanah sawah, menanam padi di celah-celah tunggul dan batang kayu yang bergelimpangan. Pada masa itu padi ditanam setahun sekali sahaja. Selaku Sidang, saya telah bekerja dengan penuh tanggung jawab menyusun, memberi bantuan, mengawasi dan menyelesaikan masalah anak buah saya di Parit 8.
Kami semua Sidang Sungai Leman dan Pasir Panjang telah dipanggil berkursus di Gombak, Kuala Lumpur. Kami diberi uniform askar, diajar menggunakan senjata, undang-undang darurat, peraturan dan strategi keselamatan kampung dan penduduknya. Kami berkursus di sini selama dua minggu. Sekembalinya kami dari kursus, seorang Pegawai Home Guard dari Kuala Selangor berbangsa Inggeris telah memerintahkan kami menubuhkan pasukan Home Guard. Saya telah dilantik selaku Komander Home Guard untuk kawasan Sungai Leman. Kawalan digerakkan di lima kawasan dengan kekuatan petugas seramai 56 orang. Untuk pasukan saya, kami telah diberi 12 pucuk senapang patah dan pada setiap petang 12 orang akan bertugas mengawal dan mengawasi keselamatan dan memastikan tidak ada komunis memasuki di lima buah kawasan yang telah ditetapkan. Saya selaku Komander memeriksa dan memastikan mereka menjalankan tugas seperti yang diarahkan. Kami membuat kerja ini dengan sukarela sahaja demi untuk keamanan kampung.
Bersambung..
Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI
KONGSIKAN: