Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Kisah batu purba zaman firaun di kota New York


Di sebuah taman ikonik yang selalu sibuk dengan pelancong dan warga kota New York, berdiri senyap satu batu purba. Ramai tak perasan, ramai juga langsung tak tahu  batu ini lebih tua daripada tamadun Rom, lebih awal dari Injil, malah sudah wujud jauh sebelum Cleopatra lahir. Ia dikenali sebagai Cleopatra’s Needle, walaupun sebenarnya Cleopatra tiada kena-mengena pun dengan penciptaannya. Yang pasti, inilah monumen tertua di New York dan antara objek buatan manusia paling lama bertahan di seluruh Amerika.

Obelisk ini diukir lebih 3,500 tahun lalu di Mesir semasa pemerintahan Firaun Thutmose III. Diperbuat daripada seketul batu granit merah seberat lebih 200 tan, ia asalnya ditegakkan di kota Heliopolis sebagai lambang kuasa dan penghormatan terhadap firaun. Ia menyaksikan naik turun tamadun, hinggalah satu ketika ia tumbang dan terkubur ketika Parsi menakluki Mesir pada tahun 525 Sebelum Masihi. Bertahun-tahun kemudian, orang Rom menjumpainya semula dan memindahkannya ke Alexandria, berdekatan dengan kuil yang dikaitkan dengan Cleopatra. Dari situ, nama Cleopatra’s Needle mula melekat  meskipun ia dicipta seribu tahun lebih awal dari zaman baginda.

Zaman terus berlalu. Dan pada tahun 1879, kerajaan Mesir menghadiahkan obelisk ini kepada Amerika Syarikat sebagai simbol persahabatan. Tapi timbul persoalan: bagaimana nak bawa seketul batu raksasa melintasi lautan? Tiada kapal kargo moden, tiada kren gergasi, tiada komputer untuk kira beban. Tapi manusia tak pernah kehabisan akal. Mereka bina struktur kayu khas untuk turunkan obelisk dengan perlahan, dan kapal kayu bernama Dessoug digunakan untuk bawa batu ini menyeberangi Atlantik. Sampai di Manhattan, ia diangkut selama 19 hari menggunakan troli berat yang ditarik oleh kuda dan ditolak menggunakan tenaga manusia dan sistem winch.

Akhirnya, pada 22 Januari 1881, batu ini berdiri semula di tengah-tengah Central Park. Lebih 10,000 orang datang menyaksikan detik itu. Dan hari ini, ia masih di situ tegak, senyap, seolah-olah mengintai manusia moden yang lalu-lalang di sekelilingnya. Ia pernah menyaksikan doa pendeta Mesir purba, panahan matahari padang pasir, perang dan penjajahan, dan kini menyerap bunyi muzik jalanan, derap kaki jogger, dan deringan basikal pagi di kota paling sibuk dunia.

Apa yang menjadikannya luar biasa bukan hanya umurnya, tetapi makna yang ia simpan. Ia bukan sekadar batu ia bukti bahawa manusia, walau berbeza bangsa dan zaman, sentiasa punya naluri untuk mencipta, mengingati dan meninggalkan sesuatu untuk dunia. Ia juga bukti bahawa dalam kekuatan fizikal dan kecanggihan teknologi, ada juga kesabaran dan rasa hormat terhadap sejarah yang buat manusia jadi agung.

Sumber rujukan : Mazlan Syafie





KONGSIKAN:



Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI

Ads Bottom