Pada 3 Ogos 1985, YAB Perdana Menteri ke empat Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, merasmikan pembukaan Jambatan Pulau Pinang. Jambatan ini menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Prai. Jambatan sepanjang 13.5 km dengan 8.4 km daripadanya merentasi laut, dibina pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985. Pembinaannya diilhamkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu yang berpendapat sebuah jambatan perlu didirikan bagi menghubungkan Pulau Pinang dan Butterworth di tanah besar sekitar tahun 1950an.
Jambatan ini merupakan jambatan terpanjang di Asia dan ketiga terpanjang di dunia ketika itu. Dalam majlis perasmian ini, YAB Perdana Menteri dan isteri, menyeberangi jambatan ini dengan menaiki kereta nasional Negara, Proton Saga. Pembinaan jambatan ini memperlihatkan kecemerlangan kerja-kerja kejuruteraan serta mampu melonjakkan kemajuan dalam bidang perindustrian diantara Tanah Besar Semenanjung dengan Pulau Pinang.
Sumber : Arkib Negara Malaysia
Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI
KONGSIKAN: