Dato' Syahbandar Daeng Tepuli (Tapuli) merupakan salah seorang tokoh pembesar yang tidak kurang hebatnya pada zaman awal penubuhan Kesultanan Selangor. Beliau berasal dari keturunan bangsawan Bugis Luwu dan mempunyai pertalian persaudaraan dengan Opu Daeng Bersaudara.
Sejak usia sekitar 20-an, beliau sering keluar berdagang ke Nusantara terutama di Riau dan Melaka. Ketika beliau berdagang di Riau, beliau telah bertemu dengan Raja Lumu Ibni Daeng Chelak sehingga beliau menjadi teman setia kepada Raja Lumu.
Pada tahun 1742, Nakhoda Daeng Tepuli datang melawat Kuala Selangor bersama Raja Lumu ibn Daeng Chelak, Raja di Baroh Johor Raja Abdul Jalil ibn Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Yamtuan Muda Johor-Riau II Opu Daeng Chelak, Opu Daeng Loklok, Raja Haji ibn Daeng Chelak, Daeng Panapindang, Dato' Bandar Jamal dari Bengkalis, Raja Said ibn Yamtuan Muda Johor-Riau I Opu Daeng Marewah, Daeng Pendalang dan Dato' Akhir bin Laksamana Bentan Megat Seri Rama.
Pada tahun ini juga, beliau terlibat secara langsung membantu Yamtuan Muda Johor-Riau II Opu Daeng Chelak menyerang Perak atas permintaan Yang Dipertuan Muda Perak Raja Bisnu. Turut serta dalam serangan itu antaranya Raja Lumu, Raja Haji, Raja di Baroh Raja Abdul Jalil, Dato' Bandar Jamal, Dato' Akhir bin Laksamana Bentan Megat Seri Rama, Daeng Pendalang, Daeng Panapindang, Panglima Bongsu dan Panglima Daeng Jumbuk.
Pada tahun 1743, Nakhoda Daeng Tepuli dan beberapa tokoh pembesar dari Johor dan Riau telah memberi sokongan penuh ke atas perlantikan Raja Lumu sebagai Yamtuan Kecil Selangor yang ketiga menggantikan Raja Sitti. Beberapa bulan selepas itu, Yamtuan Kecil Selangor Raja Lumu telah mendapat pengiktirafan dari Sultan Muhammad Shah Perak dari Yamtuan Kecil Selangor kepada Pembesar Jajahan Selangor dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.
Walaupun Tuanku Raja Selangor Raja Lumu mendapat pengiktirafan dari Sultan Perak, namun Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor, Opu Daeng Kemboja dan Dato' Engku Klang Mukim Petaling Dato' Naga Menggulur tetap tidak mengiktirafnya dan tetap mengaku bahawa Selangor berada di bawah pentadbiran Kesultanan Johor.
Pada 12 April 1756, Nakhoda Daeng Tepuli terlibat secara langsung dalam penyerangan ke atas Melaka bersama Tuanku Raja Selangor Raja Lumu untuk menyelamat Raja Haji. Turut serta dalam serangan itu antaranya ialah Yamtuan Muda Johor-Riau III Opu Daeng Kemboja, Arung Mendarat, Raja Adil dari Rembau, Panglima Daeng Jumbuk, Raja Tua Klang, Raja Said ibni Yamtuan Muda Johor-Riau I Opu Daeng Marewah, Dato' Penggawa Miskin, Daeng Loklok, Panglima Wasulit, Dato' Akhir bin Laksamana Bentan Megat Seri Rama, Raja Endut bin Yamtuan Muda Johor-Riau III Opu Daeng Kemboja, Daeng Pendalang, Daeng Panapindang dan Dato' Jeram I Dato' Tambah.
Pada November 1766, Tuanku Raja Selangor Raja Lumu telah diiktiraf sebagai Sultan Selangor oleh Sultan Mahmud Shah Perak bergelar Paduka Seri Sultan Salehuddin Shah. Pertabalan ini telah berlangsung di Kota Lumut dengan adat istiadat raja-raja. Setelah kembali ke Kuala Selangor, Paduka Seri Sultan Salehuddin Shah telah ditabalkan dihadapan rakyat Selangor dengan diiringi dengan bunyian nobat.
Pertabalan ini telah dilaksanakan oleh salah seorang dari Orang Besar Empat Suku yang bernama Dato' Akhir bin Laksamana Bentan Megat Seri Rama, Dato' Aru Selangor dan dibantu oleh Dato' Bentara Dato' Mahidin. Keempat-empat pembesar yang dikenali sebagai Orang Besar Empat Suku merupakan tokoh lama yang menghuni di Selangor dan dikekalkan di dalam pentadbiran Kesultanan Selangor. Mereka adalah Dato' Aru Dato' Akhir bin Laksamana Bentan Megat Seri Rama, Dato' Engku Klang Mukim Petaling Dato' Naga Menggulur, Dato' Penggawa Tua Mukim Permatang Dato' Panapindang dan Dato' Penggawa Muda Mukim Hulu Selangor Dato' Daeng Pendalang.
Kemudian, Paduka Seri Sultan Salehuddin Shah telah menambah beberapa jawatan lain di dalam pentadbirannya iaitu Dato' Jeram I Dato' Tambah bin Pandak, Dato' Kaya Mukim Klang Dato' Adam, Dato' Maharajalela Dato' Daeng Loklok ( Dato' Hussein) bin Arung Temujung dan Dato' Panglima Perang Besar Dato' Wasulit. Nakhoda Daeng Tepuli yang selalu berjuang bersama baginda sultan telah dilantik memegang jawatan sebagai Syahbandar.
Semenjak memegang jawatan sebagai Dato' Syahbandar, Daeng Tepuli sudah jarang terlibat dalam pertempuran dan beliau banyak menghabiskan masanya di pelabuhan. Ketika usia beliau meningkat tua, beliau pun melepaskan jawatannya sebagai Syahbandar pada tahun 1782 atas perkenan Paduka Seri Sultan Ibrahim Shah ibn Sultan Salehuddin Shah lalu jawatan itu diserahkan kepada anak lelakinya yang bernama Daeng Mahbub.
Dato' Syahbandar Daeng Tepuli telah menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga tersayang sehingga beliau meninggal dunia antara sekitar tahun 1785 hingga tahun 1790-an.
Sumber : Mohamad Azmi Mat Rashid
Aktivis, pengkaji sejarah dan ahli Pertubuhan Jejak Warisan Kuala Selangor.
KONGSIKAN: