26 Oktober 2025
Ketika dunia menumpukan perhatian kepada peperangan di Eropah Timur dan Asia Barat, Amerika Syarikat (AS) kembali membuat langkah berisiko tinggi di benua sendiri. Kapal perang terbesar mereka, USS Gerald R. Ford, kini berlabuh di Laut Caribbean kononnya untuk melawan sindiket dadah. Namun pemerhati antarabangsa tahu, ini bukan tentang dadah semata-mata.
Kapal induk seberat 100 ribu tan itu bukan sekadar simbol ketenteraan, ia adalah amaran politik. Kapal ini mampu membawa lebih 70 pesawat pejuang, radar gergasi dan sistem peluru berpandu yang boleh menghancurkan sasaran sejauh ratusan kilometer. Bila ia berlabuh di sempadan Venezuela, mesejnya mudah difahami. Washington mahu dunia tahu siapa sebenarnya masih berkuasa.
Presiden Donald Trump menyebut misi ini sebagai operasi “anti-narco-terrorism”. Namun pemimpin Venezuela, Nicolás Maduro menegaskan Amerika sedang mencipta perang palsu untuk menjatuhkan pemerintah sah negaranya. Bagi Caracas, alasan perang dadah hanyalah topeng kepada niat sebenar bagi menjatuhkan kerajaan yang enggan tunduk pada kepentingan syarikat minyak Amerika.
Ironinya, ini bukan kali pertama Amerika guna alasan “perang dadah” untuk menyerang. Dari Panama pada 1989, Iraq pada 2003, hingga Libya pada 2011 semuanya bermula dengan retorik keselamatan, berakhir dengan huru-hara dan penjajahan sumber. Kini skrip yang sama diulang, hanya pelakonnya berbeza.
USS Gerald R. Ford bukan kapal kecil. Ia ibarat kota terapung lengkap dengan hospital, makmal senjata dan bilik arahan yang mampu memantau benua penuh. Penghantarannya ke Caribbean tidak diperlukan untuk operasi memintas kapal dadah kecil. Tujuannya ialah menguasai ruang udara dan laut Venezuela, serta memberi tekanan psikologi kepada rakyat di sana.
Maduro tahu permainan ini. Sebab itu beliau mengerahkan pasukan udara dan laut untuk memperkukuh pantai utara negaranya. Dalam ucapannya di televisyen nasional, beliau menyifatkan langkah Amerika sebagai “cubaan mencipta alasan baru bagi pencerobohan terbuka.” Kata-katanya mendapat sokongan Rusia, China dan beberapa negara Amerika Selatan lain yang melihat tindakan AS sebagai lanjutan hegemoni lama.
Pentagon mempertahankan misi ini kononnya demi melindungi hemisfera barat daripada pengedaran dadah. Tetapi para penganalisis menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada peperangan psikologi. Kehadiran kapal induk sebesar itu bukan untuk menumpaskan kartel, tetapi untuk menguji sejauh mana Venezuela sanggup bertahan di bawah tekanan.
Menurut laporan media serantau, sekurang-kurangnya 40 individu telah terbunuh dalam beberapa operasi udara dan laut yang dilancarkan kononnya terhadap bot kartel. Namun sehingga kini tiada bukti konkrit bahawa semua mangsa adalah pengedar dadah. Malah beberapa pihak mendakwa antara yang terkorban ialah nelayan tempatan.
Tindakan ini menimbulkan kemarahan negara jiran seperti Colombia dan Cuba. Mereka menuduh Washington sedang membuka jalan untuk campur tangan ketenteraan secara rasmi di Caracas. Cuba menyifatkannya sebagai taktik klasik “pretext for intervention”. Cipta ancaman palsu supaya rakyat AS setuju dengan perang.
Dari sudut geopolitik, langkah ini amat strategik untuk Trump. Ia mengalihkan perhatian rakyatnya daripada kegawatan ekonomi dan tekanan politik dalaman. Di mata pengundi konservatif, Trump tampil sebagai wira tegas yang melindungi Amerika daripada dadah Latin. Namun di mata dunia, dia hanyalah menghidupkan semula watak lama iaitu polis dunia yang suka memerintah tanpa undangan.
Kehadiran kapal induk ini juga memberi mesej kepada dua kuasa lain yang aktif di Amerika Selatan. Rusia dan China. Kedua-duanya mempunyai pelaburan besar dalam industri tenaga Venezuela. Penghantaran USS Gerald R. Ford ialah isyarat bahawa AS tidak akan membiarkan dua musuh geopolitiknya mengukuhkan pengaruh di hemisfera barat.
Dari sudut undang-undang antarabangsa, operasi sebegini samar. Tiada mandat PBB, tiada perjanjian dua hala dengan Caracas. Ia sekadar tindakan unilateral yang dilindungi dengan retorik “anti-narco”. Inilah wajah sebenar kuasa yang menggelar dirinya pembela kebebasan tetapi melanggar kedaulatan negara lain.
Media arus perdana di Amerika menggambarkan operasi ini sebagai misi kemanusiaan. Namun laporan dari wartawan bebas menunjukkan penduduk tempatan kini hidup dalam ketakutan. Kapal-kapal kecil yang keluar memancing diserang tanpa amaran. Ada yang hilang tanpa dikesan, disyaki ditembak atas dakwaan “disyaki kartel”.
Inilah yang disebut oleh penganalisis geopolitik sebagai “proxy intimidation”. Washington mahu menakut-nakutkan rakyat supaya hilang kepercayaan pada pemimpin mereka. Apabila rakyat mula ragu, maka proses destabilisasi akan berjalan sendiri.
Venezuela ialah antara negara dengan rizab minyak terbesar dunia. Selama dua dekad, negara ini menjadi duri dalam daging kepada Amerika kerana enggan tunduk kepada syarikat tenaga Barat. Sejak zaman Hugo Chávez lagi, Caracas menolak dominasi dolar dalam jualan minyak. Ini cukup untuk menjadikannya sasaran.
Sejarah menunjukkan setiap negara yang mencabar sistem petrodolar akhirnya menerima nasib sama. Mereka akan dihuru-harakan dari dalam, kemudian diserang dari luar. Iraq dan Libya sudah menjadi contoh. Kini giliran Venezuela diperkudakan di bawah tajuk berita “operasi menentang dadah”.
Trump memerlukan naratif baharu bagi menonjolkan imej kuat selepas kontroversi dasar luar yang tidak menentu. Menghantar kapal induk terbesar dunia ke Caribbean memberi gambaran yang dia mengawal keadaan. Namun tindakan ini sebenarnya menggugat kestabilan rantau itu yang selama ini cuba membina hubungan bebas daripada dominasi Amerika.
Ramai pemerhati menyifatkan langkah ini sebagai “ujian keazaman dunia selatan”. Jika negara-negara Latin tidak bersatu mempertahankan Caracas, maka Amerika akan semakin berani mencampuri urusan dalaman jiran-jirannya.
Rusia telah menyatakan sokongan terbuka kepada Venezuela dan menganggap tindakan AS itu provokasi ketenteraan. Kapal peninjau Rusia dilaporkan sedang menjejak pergerakan USS Gerald R. Ford dari jarak selamat. Ini menandakan ketegangan baharu antara dua kuasa besar kini beralih ke hemisfera Barat. Masalahnya Rusia pun tengah sibuk dengan Ukraine.
China pula memberi amaran agar Amerika menghormati kedaulatan negara lain. Namun kenyataan Beijing lebih diplomatik, kerana mereka memiliki pelaburan besar dalam sektor minyak Venezuela. Walaupun tidak lantang, isyaratnya jelas. Dunia tidak lagi mahu tunduk pada permainan lama Washington.
Sejak berdekad, Amerika menganggap Laut Caribbean sebagai halaman belakangnya. Ia tidak dapat menerima idea bahawa negara lain boleh berdikari tanpa kawalan Washington. Sebab itu setiap kali pemimpin Latin muncul dengan dasar bebas, AS akan mencari jalan untuk menumbangkannya.
Dalam kalangan rakyat Venezuela sendiri, semangat nasionalisme kembali membara. Ramai melihat kehadiran kapal induk itu sebagai penghinaan terhadap kedaulatan mereka. Media tempatan menyiarkan imej rakyat berkumpul di pantai sambil mengibarkan bendera Venezuela sebagai tanda solidariti.
Dalam dunia geopolitik, perang tidak semestinya bermula dengan peluru. Kadang-kadang ia bermula dengan kehadiran simbol. Dan dalam kes ini, simbol itu ialah kapal perang bernama USS Gerald R. Ford. Kota besi Amerika yang berlabuh di depan pintu negara yang menolak tunduk.
Maduro mungkin tahu beliau sedang menghadapi kuasa paling licik di dunia. Namun sejarah juga menunjukkan kuasa yang membina dirinya atas penindasan lambat laun akan runtuh. Dunia semakin jemu dengan retorik Amerika yang menuduh orang lain diktator sedangkan mereka sendiri penguasa senjata paling ganas di muka bumi.
Perang dadah hanyalah alasan. Yang sebenarnya berlaku ialah perebutan kuasa, minyak dan pengaruh. Amerika sedang berlakon sebagai wira di pentas yang mereka sendiri cipta.
Namun, sejarah tidak pernah memihak kepada penipu. Dunia sedang berubah dan setiap helah akhirnya akan terbongkar.
Sumber : Mazlan Syafie
KONGSIKAN:
