Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

16-Disember

Masukkan carian anda di sini !

Penemuan bersejarah rangka kapal gergasi di Melaka



31 Oktober 2025

MELAKA - Penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan daripada badan sebuah kapal yang ditemukan di Pulau Melaka di sini, bakal membuka lembaran baharu dalam naratif sejarah dan kegiatan maritim di Melaka, sebelum ketibaan Parameswara di negeri itu.

Penemuan luar biasa hasil ekskavasi Jabatan Warisan Negara (JWM) dengan kerjasama Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, dipercayai sebuah kapal milik golongan bangsawan yang berusia antara 1,200 hingga 1,300 tahun, jauh lebih awal daripada sejarah rasmi Melaka yang bermula sekitar tahun 1262 atau abad ke-13.

Timbalan Pesuruhjaya JWM, Ruzairy Arbi berkata, selain tarikh, saiz dan material yang digunakan untuk membina kapal tersebut, juga mampu membuktikan kepakaran orang Melaka dalam dunia maritim telah lama wujud.

"Kita telah menemukan banyak komponen kapal termasuk badan, haluan dan lantai yang tertanam dalam tanah berselut melalui proses ekskavasi kali ini dan berdasarkan struktur dan saiznya, kapal ini dianggarkan antara 50 hingga 70 meter, jauh lebih besar daripada kapal-kapal yang pernah ditemukan sebelum ini termasuk Mendam Berahi,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak ekskavasi di Pulau Melaka di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ahli Arkeologi Berdaftar JWN, Dr Mohd Nasruddin Rahman; Ketua Projek, Muhammad Termizi Hasni dan Pengurus Besar Perzim, Erne Hamsah.

Ruzairy berkata, kerja-kerja ekskavasi fasa ketiga di kawasan seluas 12 x 12 meter itu juga, turut menemukan blok kayu besar yang masih belum dikenal pasti fungsinya, namun dipercayai merupakan sebahagian struktur utama kapal tersebut.

"Kita telah menghantar dua sampel kayu ke makmal Beta Analytic di Amerika Syarikat dan mendapati kapal itu turut mempunyai komponen kayu saga, sejenis kayu tempatan serta sebahagian kecil kayu merbau, di samping wujud campuran bahan binaan yang menepati pembinaan kapal pada zaman itu.

"Ini sekali gus menunjukkan teknologi pertukangan kapal di rantau nusantara khususnya di Melaka sudah maju ketika itu dan kemungkinan besar dibina menggunakan sepenuhnya sumber tempatan dan bukan dibawa dari luar,” katanya.

Ruzairy berkata, lebih menarik, hasil analisis awal mendapati struktur papan kayu itu sepadan dengan teknik pembinaan kapal besar yang pernah digunakan oleh pembesar dan bangsawan pada era kegemilangan Melaka dan bukan kapal dagang biasa.

"Ini disokong dengan penemuan artifak mata wang serta serpihan porselin di lokasi yang sama. Berdasarkan ukuran dan ketebalan papan yang dijumpai, kapal itu dianggarkan bersaiz besar, hampir menyamai kapal Mendam Merahi yang pernah digambarkan dalam catatan sejarah awal Asia Tenggara,” katanya.

Ruzairy berkata, jika dilihat pada saiznya, ia seolah-olah setara kapal bangsawan. Kalau sekarang, mungkin macam kapal layar mewah golongan diraja.

Dalam pada itu Muhammad Termizi berkata, JWN kini merancang untuk menyahpasang komponen kapal tersebut sebelum dihantar bagi proses konservasi selanjutnya manakala penemuan sampingan seperti serpihan mangkuk porselin dan duit syling yang dipercayai dari era Sultan Mahmud akan dipamerkan kepada umum selepas kerja-kerja ekskavasi dan dokumentasi dilengkapkan.

Sumber : Sinar Harian









KONGSIKAN:



Ads Bottom