Pada tahun 1953, seorang lelaki muda bernama Tommy Lee Walker, baru berumur 19 tahun, ditangkap di Dallas, Texas atas tuduhan menyerang dan membun$h seorang wanita kulit putih bernama Venice Lorraine Parker.
Walker terus menegaskan bahawa dia tidak bersalah, tetapi sistem kehakiman ketika itu tetap menghukumnya.
Tiada Bukti Terlibat
Tiada bukti fizikal yang mengaitkan Walker dengan jenayah itu. Malah, dia ada alibi kuat dimana dia berada bersama teman wanitanya yang sedang bersalin dan menyaksikan kelahiran anaknya yang baru lahir.
Beberapa saksi lain juga mengesahkan bahawa dia memang berada di situ sepanjang malam kejadian.
Namun, pada masa itu, perkauman meluas dalam sistem keadilan dan pengakuan yang dibuat di bawah tekanan serta juri yang hanya terdiri daripada orang kulit putih membawa kepada keputusan bersalah.
Dihukum
Pada tahun 1956, Tommy Lee Walker dihukum mati di kerusi elektrik oleh negeri Texas, walaupun dia mengekalkan pendiriannya bahawa dia tidak bersalah sehingga akhir hayatnya.
Perubahan 70 Tahun Kemudian
Pada 21 Januari 2026, pihak berkuasa di Dallas County membuat sesuatu yang hampir mustahil apabila secara rasmi menyatakan bahawa Tommy Lee Walker adalah tidak bersalah.
Mereka mengakui bahawa sabit kesnya adalah salah dan tidak adil, berdasarkan semakan semula bukti dan penyiasatan semula selama bertahun-tahun oleh beberapa pihak termasuk Innocence Project dan unit khas peguam daerah.
Namun, pengumuman ini lebih kepada simbolik. Ia tidak boleh membatalkan hukuman secara rasmi kerana hanya mahkamah atau gabenor yang berkuasa berbuat demikian.
Walaupun begitu, keputusan ini tetap penting sebagai pengakuan bahawa sistem keadilan suatu ketika dahulu telah menzalimi Walker hampir 70 tahun lalu.
Kesan kepada Keluarganya
Di ruang Mahkamah pada hari itu, anak lelaki Walker, yang kini berusia 70an, hadir dan memberi keterangan dengan penuh emosi.
Kehidupannya sejak kecil dibentuk oleh kekosongan seorang ayah, stigma, kehilangan, dan trauma yang tidak pernah hilang. Sesuatu yang tiada satu pun keputusan boleh pulihkan sepenuhnya.
KONGSIKAN:
