Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

16-Disember

Masukkan carian anda di sini !

Tiada tajuk


DI SEBALIK LAKONAN KEJAM NYONYA MANSOOR

Mak Dara dibimbing oleh Penolong Pengarah, S. Sudarmadji untuk membaca dialog. Pada ketika itu, Mak Dara yang tidak mengenal huruf dilatih dengan penuh kesabaran bagi mempersiapkan dirinya membawa watak Nyonya Mansoor dalam filem Ibu Mertua Ku (1962).

Bagi memudahkan hafalan, S. Sudarmadji menconteng simbol-simbol khas pada naskhah skrip sebagai panduan untuk naik turun intonasi suara serta gerak tubuh. Teknik kreatif ini membolehkan Mak Dara mengingati dialog panjang dan menjiwai watak dengan begitu sempurna.

Ketika mencari pelakon untuk Ibu Mertua Ku, P. Ramlee menegaskan hanya Mak Dara yang layak melakonkan watak tersebut. Namun pada mulanya, Mak Dara menolak kerana bimbang menyusahkan produksi. Beliau berasa dirinya tidak mampu memikul peranan yang berat itu. Tetapi sebagai pengarah, P. Ramlee tetap berkeras:

“Tentang kebolehannya berlakon sebagai ibu mertua itu, Mak Dara nombor wahid. Cuma perkara hendak mengapalkan (menghafalkan) senikata-senikatanya itu ibarat hendak mengasah parang yang berkarat.”

Kata-kata P. Ramlee ini jelas menegaskan bahawa tugas produksi, khususnya S. Sudarmadji, adalah untuk melatih serta membimbing pelakon senior mereka. Filem ini akhirnya menjadi filem arahan P. Ramlee yang mengambil masa paling lama untuk disiapkan iaitu hampir enam bulan, berbanding hanya tiga hingga empat bulan bagi filem-filem lain.

Hasilnya, lakonan Mak Dara benar-benar menyerlah. Nama Nyonya Mansoor terus terpahat dalam sejarah filem Melayu klasik yang digambarkan sebagai mentua kejam, penuh dendam dan sanggup melakukan apa sahaja demi kehendaknya. Babak ikoniknya di pusara dengan dialog, “Ala Kassim..!” kekal sebagai salah satu adegan paling diingati sepanjang zaman.

Di sebalik kekurangannya dalam membaca dan menulis, Mak Dara meninggalkan warisan besar: 29 tahun pengalaman di layar perak dengan 26 buah filem, bermula dengan Ibu Tiri (1941) hinggalah filem terakhirnya Mat Toyol (1969) terbitan Cathay-Keris.

FILEM-FILEM LAKONAN MAK DARA

Ibu Tiri (1941)
Berdosa (1951)
Norma (1951)
Perkahwinan Rahsia (1951)
Penarek Becha (1955)
Anak-Ku Sazali (1956)
Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang (1961)
Singapura Dilanggar Todak (1961)
Sri Mersing (1961)
Lela Satria (1961)
Yatim Mustapha (1961)
Puteri Gunong Ledang (1961)
Siti Zubaidah (1961)
Jalak Lenteng (1961)
Ibu Mertua Ku (1962)
Tun Fatimah (1962)
Siti Payong (1962)
Mabok Kepayang (1962)
Tangkap Basah (1963)
Ibu Ayam (1963)
Rumah Itu Dunia Aku (1963)
Darah Muda (1963)
Budi dan Dosa (1963)
Jeritan Batin (1964)
Aksi Kuching (1966)
Mat Toyol (1969)

Teks: Era Azman, Hidir Ali Razali & Danial Aziz Ahmad

Sumber:
Bulanan Gelanggang Filem 1962
Berita Harian, 18 & 19 Februari 1970
Utusan Malaysia, 19 Disember 1999

https://www.facebook.com/share/p/1DTprbySPs/



KONGSIKAN:



Ads Bottom