Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Variasi Tanpa Limitasi

Masukkan carian anda di sini !

Pembangkang Pulau Pinang persoal pemilikan rumah oleh warga China pada harga rendah



Harian Metro 13 Mei 2026

Georgetown: Pembangkang Pulau Pinang mendakwa terdapat data menunjukkan ratusan hartanah di negeri ini dimiliki warga China pada harga purata lebih rendah daripada had minimum ditetapkan Program Malaysia My Second Home (MM2H).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, berdasarkan jawapan diterima bagi soalan bertulis dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15, warga China dilaporkan memiliki 365 rumah di negeri itu, dengan nilai keseluruhan RM150.2 juta, bersamaan purata RM411,506 bagi setiap rumah.

Beliau mendakwa perkara itu menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan wujud kelemahan dalam sistem pemilikan hartanah negeri yang membolehkan pembeli asing memperoleh rumah pada harga rendah.

"Sebagai perbandingan, pembelian hartanah oleh warga Taiwan pada 2026 melibatkan 15 unit rumah dengan nilai keseluruhan RM18.2 juta atau purata sekitar RM1.2 juta seunit.

"Jadi pemilikan rumah oleh warga China dengan purata harga hartanah sekitar RM411,506 ini amat luar biasa dan sama sekali tidak boleh diterima kerana ia jauh di bawah had minimum yang ditetapkan dalam syarat Program Malaysia My Second Home (MM2H).

"Jika kita merujuk dokumen (MM2H) kategori perak hingga kategori emas, kategori perak jelas menyatakan nilai pembelian kediaman perlu sekitar RM600,000 ke atas dan bukannya harga purata seperti yang ditemui dalam jawapan (bertulis) yang diberikan," katanya pada sidang media di Bangunan DUN Pulau Pinang, hari ini.

Izhar Shah berpandangan, kategori harga sekitar RM400,000 seunit sepatutnya lebih memfokuskan kepada keperluan rakyat tempatan, terutama pembeli rumah pertama dan bukannya dimiliki pembeli asing.

"Kerajaan negeri mesti menyiasat bagaimana spekulator asing dari tanah besar China boleh memperoleh rumah pada harga sedemikian. Adakah terdapat kelompongan dalam sistem perundangan dan pemilikan hartanah melibatkan warga asing.

"Kami menggesa kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan berpendapat perkara ini sebagai satu bentuk kemasukan pengaruh dari tanah besar China ke dalam segmen perumahan yang secara langsung dikhuatiri mengancam kestabilan sosioekonomi negeri," katanya.






KONGSIKAN:



Ads Bottom