Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Variasi Tanpa Limitasi

Masukkan carian anda di sini !

Kisah Dato Onn Jaafar keluar UMNO


11 Jun 1950, Datuk Onn bin Jaafar telah mengisytiharkan peletakan jawatan sebagai yang di-Pertua UMNO di dalam Persidangan Agong UMNO yang telah berlangsung selama dua hari di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Peletakan jawatan ini berikutan perselisihan faham mengenai Undang-undang Kerakyatan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Persidangan tersebut. Persidangan Agong UMNO itu dikhaskan untuk membincangkan Undang-undang Kerakyatan yang akan dicadangkan oleh UMNO kepada Kerajaan Penjajah Inggeris.

Dalam persidangan ini berbagai tuduhan-tuduhan buruk telah dilemparkan kepada Datuk Onn. Wakil-wakil UMNO yang hadir telah mencela dan membidas segala syor-syor dan cadangan Datuk Onn mengenai undang-undang Kerakyatan yang dianggap longgar dan juga untuk membuka keahlian UMNO kepada bangsa asing. Orang-orang Melayu merasakan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu akan hilang jika diberi peluang yang sama di dalam soal politik dan kerakyatan kepada kaum pendatang. Dalam persidangan tersebut keadaan bertambah panas sehingga wakil-wakil UMNO menyatakan bahawa Datuk Onn seorang pengkhianat, diktator, seorang yang tidak bertanggungjawab dan tidak memahami cara politik.

Datuk Onn akhirnya mengisytiharkan peletakan jawatannya sebagai Yang di-Pertua UMNO. Hal ini telah memberi kejutan kepada Majlis dan ahli-ahli di seluruh Cawangan. Peletakan jawatan Datuk Onn di anggap tidak wajar, tidak sesuai dengan masa dan zaman di mana tenaganya dan kepimpinannya masih diperlukan. Beliau diminta beberapa kali oleh ahli jawatankuasa UMNO supaya menarik balik pengisytiharan itu tetapi beliau enggan menerima rayuan itu. Berbagai ikhtiar telah diusahakan oleh wakil-wakil UMNO. Mereka telah mengadakan perarakan raksasa dan berhimpun di kediaman Datuk Onn di Johor Bahru meminta beliau menjadi pemimpin mereka bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit.

Akhirnya Datuk Onn bersetuju meneruskan khidmatnya di dalam Persidangan Agung di Kuala Kangsar pada 27 hingga 29 Ogos 1950. Datuk Onn telah dipilih semula menjadi Yang di-Pertua UMNO. Sungguhpun begitu perselisihan faham di kalangan pemimpin UMNO terus berpanjangan akhirnya Datuk Onn sendiri mengundur diri dan meninggalkan terus UMNO setahun kemudian.



KONGSIKAN:



Ads Bottom