Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Ellen Church : Niat asal nak jadi juruterbang, akhirnya beliau sendiri mencipta sejarah dalam dunia penerbangan





ELLEN CHURCH – Wanita pertama bergelar pramugari. Asalnya minta kerja sebagai juruterbang tetapi ditolak

LEBIH 90 tahun yang lalu, seorang wanita cuba memohon jawatan sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan awam iaitu Boeing Air Transport (BAT).

Namun, permohonan wanita itu telah ditolak oleh pengurus syarikat penerbangan itu, Steve Stimpson, yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Steve telah memberi tawaran pekerjaan kepada wanita tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan khas di syarikat tersebut iaitu sebagai seorang jururawat. Pada pandangan Steve, kerja itu lebih sesuai untuk wanita bernama Ellen Church itu yang mempunyai latar belakang kejururawatan.

Ellen Church dahulunya seorang yang berpendidikan kejururawatan

Skop kerjanya juga mudah. Ellen hanya perlu bertanggungjawab menguruskan apa sahaja keperluan yang dikehendaki penumpang di dalam kapal terbang. Steve merasakan ketika itu perlu ada seorang jururawat untuk membantu penumpang agar mereka tidak berasa takut dalam penerbangan.

Dari situlah bermulanya sejarah pekerjaan ‘pramugari’. Biarpun hajatnya mahu bergelar juruterbang tidak kesampaian, Ellen Church telah melakar sejarah baru dalam industri penerbangan awam dunia.

Ellen Church merupakan krew kabin wanita pertama di dunia, atau dalam bahasa lebih mudah, dialah pramugari pertama. Ellen merupakan perintis kepada profesion pramugari.



Tanggal 15 Mei 1930, Ellen secara rasminya bekerja dengan syarikat penerbangan tersebut. Pada hari pertama bertugas ,beliau telah mengikuti satu penerbangan dari  San Francisco ke Chicago dengan menaiki pesawat Boeing 80A.

Pesawat tersebut membawa 14 orang penumpang yang meliputi 13 perhentian. Tempoh masa destinasi penerbangan itu memakan masa 20 jam.


Cita-citanya menjadi juruterbamg tak kesampaian namun mencipta sejarah tersendiri

Mengikut laporan yang pernah disiarkan Times Magazine, pelantikan Ellen Church ketika itu adalah keputusan tepat dibuat oleh syarikat penerbangan BAT.

Ia secara tidak langsung memberi persepsi positif di kalangan penumpang penerbangan untuk mendapat layanan perkhidmatan sepanjang perjalanan mereka.

Melihat keberkesanan posisi Ellen menjalankan tugas dan kepentingan tugas baru itu, pihak syarikat kemudian memberikan sebuah nama baru untuk jawatan ini iaitu ‘pramugari.

Bermula dari situ, pihak syarikat telah membuka lebih banyak tawaran kepada orang awam lain untuk memohon jawatan tersebut.

Disebabkan itu, Ellen telah dinaikkan pangkat untuk mengetuai sebuah jabatan baru untuk melatih para pramugari penerbangan. Latihan ini tertumpu pada cara perkhidmatan layanan seakan sama seperti seorang jururawat mengendalikan pesakit di hospital.



Pada peringkat permulaan,seramai tujuh orang wanita telah dipilih untuk menyertai BAT sebagai pramugari. Dalam organisasi Boeing Air Transport (BAT), pasukan pramugari ini terkenal dengan jolokan nama sebagai ‘The Original 8’.

Ketika bertugas, mereka dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama akan ditugaskan mengikuti penerbangan ke bahagian timur meliputi kawasan Cheyenne dan Chicago. Manakala, kumpulan kedua akan bertugas di laluan bahagian barat meliputi kawasan Cheyenne ke San Francisco.


Menjadi perintis kepada kewujudan kerjaya pramugari




Selepas beberapa tahun terbabit dalam kerjaya itu, Ellen Church akhirnya bersara pada usia 31 tahun. Persaraan awal tersebut dibuat berikutan dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya. Selepas itu, dia menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan di Universiti Minnesota.

Pada tahun 1936, wanita ini telah dilantik sebagai penyelia di jabatan pediatrik hospital daerah Milwaukee. Sewaktu perang dunia kedua meletus, Ellen menyertai Army Nurse Corps dan ditauliahkan sebagai kapten. Menariknya lagi, dia turut diberi peluang beberapa kali menerbangkan pesawat milik badan tersebut.

Keberanian Ellen mendapat perhatian kerajaan Amerika Syarikat sekali gus menganugerahkan pingat ‘Air Medal’ ketika dia mengikuti misi di Afrika Utara, Sicily Sepanyol, England dan Perancis.

Selepas tamat peperangan, wanita ini masih meneruskan kerjaya sebagai jururawat dan pernah dilantik sebagai pengarah di Hospital Terre Haute Union.

Pada tahun 1964, Ellen Church menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki pilihan bernama Leonard B. Marshall.

Selama puas berkhidmat dalam bidang kejururawatan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk bersara. Pada tahun 1965, Ellen Church dilaporkan meninggal dunia akibat cedera parah selepas ditimpa kemalangan ketika menunggang kuda.

Mengikut laman web The United Airlines Historical Foundation, kehadiran Ellen dalam organisasi Boeing Air Transport (BAT) atau kini dikenali sebagai United Airlines dianggap perintis bagi profesion pramugari.

Selain wanita ini, portal tersebut turut menyenaraikan seorang lagi watak penting yang menjadi tunjang kewujudan profesion kerja ini. Tidak lain dan tidak bukan ialah Pengurus BAT, Steve Stimpson.

Biarpun Ellen Church sudah tiada, sumbangan beliau memberi impak besar dalam industri penerbangan awam. Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada golongan wanita memasuki pekerjaan berkaitan penerbangan  yang sebelum itu didominasi oleh lelaki. 

Percaya atau tidak, sebelum gelaran pramugari atau ‘Stewardess‘ diguna pakai, pelbagai nama lain dicadangkan bagi profesion kerja ini. Antaranya ialah, ‘cadette’; ‘attendant’; ‘courier’; ‘courierette’; ‘agent’; ‘airette’; ‘pursurette’; ‘airess’; ‘page’; ‘attaché’; ‘escort’; ‘hostess’; ‘skipper’; ‘airmaid’; ‘airaide’ dan ‘aidette’.

Berdasarkan analisis yang dijalankan Times Magazine pada tahun 1938, kerjaya sebagai pramugari menjadi fenomena baru di Amerika Syarikat ketika itu. Ia mendapat sambutan yang tinggi dari golongan wanita di negara tersebut. Mungkin juga kerana faktor kadar gaji yang dibayar sebanyak USD100 hingga USD200 dolar setiap bulan.

Lebih menarik lagi, ramai wanita yang bekerja sebagai pramugari waktu itu turut bertemu jodoh dengan juruterbang.

Kredit : mastika.online


Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom