Dato’ Ustaz Haji Taib Azamudden bin Md. Taib dilahirkan pada tanggal 19 Oktober 1950 di Kampung Rambong, Baling, Kedah. Beliau merupakan putera kepada pasangan Md. Taib bin Husin, seorang petani yang gigih, dan Hajah Hasnah binti Che Teh, seorang suri rumah yang mendidik keluarga dengan penuh kesederhanaan serta nilai keagamaan.
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Tunku Puan Habsah dan Sekolah Kebangsaan Tunku Putra, Baling., pun Minat mendalam terhadap ilmu agama mendorong beliau melanjutkan pengajian ke Kelantan dari tahun 1964 hingga 1970. Pendidikan agama beliau di Kelantan bermula di Madrasah Diniah al-Bakriah, Kota Bharu atau lebih dikenali dengan panggilan Pondok Pasir Tumboh pada tahun 1964 berguru dengan tiga ulama pengasasnya iaitu Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar dan Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar serta beberapa guru pembantu yang lain.
Beliau juga pernah menuntut ilmu di Pondok Bunut Payong, Kota Bharu. Kesungguhan menuntut ilmu diteruskan di Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kota Bharu (1970–1974), sebelum beliau melangkah ke menara ilmu dunia Islam di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1975 hingga 1977.
Sekembalinya ke tanah air, beliau memulakan khidmat dalam sektor awam sebagai Penolong Pengarah Institut Dakwah, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS), Jabatan Perdana Menteri (1977–1980). Keupayaan beliau dalam bidang pengurusan dakwah dan pentadbiran Islam kemudiannya membawa kepada pelantikan sebagai Pengarah Pentadbiran Qariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (1981–1982).
Dalam tempoh tersebut, beliau turut dikenali masyarakat sebagai penyampai tetap Kuliah Subuh Radio Malaysia Kuala Lumpur yang mendapat sambutan luas daripada pendengar di seluruh negara. Komitmen beliau dalam gerakan dakwah seterusnya diteruskan apabila dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Institut Dakwah Sabah (1982–1985), sekali gus memperlihatkan kesediaan beliau menyantuni masyarakat Islam di pelbagai wilayah tanah air.
Nama beliau semakin menyerlah apabila dilantik sebagai Imam Satu Masjid Negara pada tahun 1985 sebelum diangkat sebagai Imam Besar Masjid Negara bagi tempoh 1992 hingga 1999. Sepanjang memegang amanah tersebut, beliau bukan sahaja memimpin institusi masjid utama negara, bahkan menjadi antara tokoh agama yang dihormati di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1995, beliau telah mewakili Malaysia ke Persidangan Masjid-Masjid Sedunia di Tehran, Iran serta Libya, suatu pengiktirafan besar terhadap kewibawaan dan kepimpinan beliau dalam dunia dakwah Islam.
Selepas menamatkan perkhidmatan awam, beliau terus berbakti kepada masyarakat melalui medan politik apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Baling bagi Penggal Ke-10 (1999–2004) dan Penggal Ke-12 (2008–2013). Sepanjang berada dalam arena politik, beliau dikenali sebagai tokoh yang mengekalkan pendekatan dakwah, kesederhanaan dan kepedulian terhadap rakyat.
Kini, pada usia 77 tahun, beliau masih aktif menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Kuala Ketil, Baling — sebuah institusi pendidikan yang diasaskan serta diusahakan oleh anakanda beliau, Ustaz Azam Hakimi bin Taib Azamuddin.
Dalam kehidupan berkeluarga, beliau mendirikan rumah tangga bersama Datin Hajah Che Norlia binti Abdul pada tahun 1979 dan dikurniakan enam orang cahaya mata lelaki yang sebahagian besarnya turut menjejaki legasi ilmu, dakwah dan kepimpinan Islam, iaitu :
1. Afnan Hamimi
2. Azam Azizi
3. Azam Hakimi
4. Afham Wajdi
5. Akram Ikrami
6. Arham Irhami
Sepanjang lebih dua dekad perkhidmatan dalam sektor awam, jasa dan sumbangan beliau telah mendapat pelbagai pengiktirafan, antaranya dikurniakan Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1993, Johan Bintang Sarawak (JBS) pada tahun 1995, Jaksa Pendamai (JP) pada tahun 2009 serta Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) pada tahun 2011.
Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Panel Penterjemah buku Masyarakat Islam – Dilema Wawasan 2020 serta Ahli Jemaah Hakim Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan. Antara karya dan penerbitan beliau termasuk Himpunan Khutbah Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha Imam Masjid Negara (1992–1994), Mutiara Perkahwinan Islam, Adab Makan Minum Dalam Islam, Amalan Ibu Mengandung dan Pengenalan Hukum Nikah Kahwin.
Pada tahun 1446H bersamaan 2024M beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kedah 1446H/2024M sebagai satu penghormatan yang amat bertepatan kepada beliau, seorang ilmuwan, pendakwah, imam, pentadbir dan negarawan yang telah menumpahkan khidmat bakti besar kepada agama, bangsa dan negara sepanjang hayatnya.
Sumber - Tulisan Warta Kedah bertarikh 7 Julai 2024
KONGSIKAN:

