Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Sejarah Masjid Pekan Pasir Panjang, Sabak Bernam


Kampung Pasir Panjang telah dibuka oleh Allahyarham Tuan Haji Said bin Haji Saleh JP pada tahun 1911 selaras dengan pembukaan kampung ini. Tempat untuk melaksanakan sembahyang Jumaat juga didirikan oleh Haji Said dan rakan-rakannya yang bersifat sementara, tempat tersebut sekarang ini menjadi tapak perkuburan Islam.

Beberapa tahun kemudian kira-kira pada tahun 1927, tempat sembahyang Jumaat ini telah berpindah ke surau yang dibina berdekatan kedai di jeti Sungai Pasir Panjang. Pada tahun 1941 penduduk Pasir Panjang yang dipelopori oleh Haji Said telah bergotong-royong mendirikan Masjid yang bahan-bahannya dari hutan yang ditebang. Jepun telah mula menjajah Malaya pada masa itu dengan keadaan yang serba susah, hanya berbekal dengan semangat dan makan ubi kayu, Haji Said dan rakan-rakan akhirnya dapat juga menyiapkan pembinaan Masjid tersebut. Masjid ini berbumbung tiga tingkat dan boleh menampung 300 orang jemaah

Setelah Negara Malaysia Merdeka, kampung-kampung mula dibangunkan, Pasir Panjang tidak terkecuali, prasarana wujud di sana sini. Penduduk Pasir Panjang bertambah ramai akhirnya masjid yang ada sudah tidak dapat menampung para jemaah. Maka Kerajaan telah mendirikan masjid yang baharu dengan bangunan batu iaitu pada tahun 1963 dengan perbelanjaan RM52,000 yang boleh menampung 700 orang jemaah

Setelah Pasir Panjang dijadikan pusat Mukim, dan Kerajaan telah mendirikan empat buah sekolah, dua buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Agama, dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Agama. Masjid yang ada sudah tidak mencukupi, akhirnya Ahli Jawatankuasa Masjid telah merayu kepada Kerajaan sempena lawatan Menteri Besar Selangor ketika itu Datok Hj. Ahmad Razali, Kerajaan telah bersetuju membina Masjid yang boleh menampung 1500 jemaah, dua tingkat dengan perbelanjaan RM15 juta. Pada 1 Ogos 1988 kerja kerja membina masjid baharu ini dimulakan. Dan pada 28 Mac 1991 masjid ini mula digunakan untuk sembahyang berjemaah. Atas persetujuan mesyuarat Agung, masjid ini dinamakan MASJID SAIDIAH PEKAN PASIR PANJANG mengambil sempena nama Haji Said mempelopori pembinaan Masjid di Pasir Panjang pada tahun-tahun awalnya juga sebagai mengingati jasanya membuka kampung ini. Masjid Saidiah Pekan Pasir Panjang ini pernah menyandang Johan pertandingan kebersihan masjid Daerah Sabak bernam dan mendapat sagu hati di peringkat negeri.


Gambar di atas merupakan Hj Said bin Haji Saleh yang membuka Kampung Pasir Panjang pada tahun 1911. Beliau juga yang mengasaskan pembinaan masjid di Pasir Panjang pada tahun awal pembinaannya. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1963 ketika usia 120 tahun.


Inilah masjid yang didirikan oleh Haji Said dan rakan-rakannya pada tahun 1941. Masjid ini mempunyai bumbung tiga tingkat dan boleh menampung 300 orang jemaah.


Gambar di atas adalah Masjid yang didirikan oleh kerajaan pada tahun 1963. Masjid ini dibina dengan kos sebanyak RM 52,000 dan mampu menampung 700 orang jemaah.


Masjid Sa'diah Pekan Pasir Panjang yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor pada 6 Mei 1994. Masjid ini mula digunakan pada 28 Mac 1991 dan mampu menampung seramai 1500 orang Jemaah.

Masjid Saidiah Pekan Pasir Panjang











Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom