5 Julai 1850
Bidang kesihatan, merupakan tanggungjawab sosial kerajaan kepada masyarakat. Dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat dan demi kemajuan negara, pelbagai kemudahan kesihatan telah diwujudkan bertujuan mengawal, membasmi serta mencegah merebak sesuatu penyakit. Pada hari ini dalam tahun 1850, Jabatan Kesihatan telah mewujudkan Pusat Pengasingan Kusta bertempat di Pulau Serimbun, Melaka.
Pusat ini ditubuhkan bertujuan menjadi kawasan ini sebagai satu penempatan dan juga sebagai tempat rawatan bagi para pesakit kusta. Selain daripada penempatan-penempatan yang diwujudkan tersebut di atas, satu enakmen berkaitan dengan orang-orang kusta telah diluluskan pada 20 Oktober 1926, enakmen ini dikenali sebagai `Lepas Enactment’.
Pada tahun-tahun kemudian banyak lagi penempatan telah diwujudkan untuk menempatkan golongan pesakit ini seperti di Pulau Jerjak (1887), Setapak Camp (1893), Pulau Pangkor (1903), Tampoi (1927) dan Kota Bahru 1933 dan yang paling besar sekali penempatan ialah di Sungai Buloh. Pusat Kawalan Kusta Negara di Sungai Buloh yang di bina pada tahun 1926 dilengkapi dengan hospital, rumah kediaman, rumah ibadat, kelab dan dewan orang ramai.
Ia merupakan sebuah pekan yang lengkap kerana turut mempunyai pasar, bangunan membasuh (dobi), kedai, balai polis dan penjara. Di penempatan ini, pesakit kusta hidup secara bebas dengan kediaman yang disediakan, bercucuk tanam dan berekreasi di bawah pengawasan pegawai-pegawai perubatan yang mengawasi penyakit mereka secara khusus dan berterusan.
Di sinilah vaksin mencegah kusta ditemui dari sejenis pokok berbuah dikenai sebagai Pokok Setumpol. Buah dari pokok ini dijadikan sebagai penawar bagi pesakit kusta. Pokok ini kemudiannya menjadi lanskap utama kawasan PKKN. Dengan bantuan yang diberikan ini golongan yang mengidap penyakit kusta akan dapat bantuan yang sewajarnya, dan proses-proses rawatan dapat dijalankan dengan lebih lancar dan sistematik.
KONGSIKAN: