Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Baju Takwa : Busana tasawwuf bangsa Melayu


Baju Takwa ialah baju pendek ataupun waist jacket berkolar tinggi, lengan panjang dan berkocek dua. Di dalam Hikayat Abdullah ada menerangkan bagaimana pakaian Dato' Sulaiman, seorang bangsa- wan Melayu yang arif tentang bahasa Melayu. Beliau dikatakan memakai pakaian asal orang Melayu, berdestar, berbaju Takwa dan berkain gombang.

Takwa bermaksud seseorang yang taat kepada perintah Allah pada mukanya kelihatan sinar yang jernih dan tajam. Sinar takwa, iman yang biasa terbayang pada muka orang yang zahid.

Kalau dilihat pada zahirnya Baju Takwa mungkin juga sebagai salah satu pakaian ringkasan daripada jubah Arab dan boleh juga dikumpulkan di dalam himpunan Baju Sikap atau Jaket Pendek. Cuma cara pemakaian jauh berbeza, Baju Takwa hanya dipakai dengan kain sarung manakala Baju Sikap dianggap sebagai pakaian rasmi (full dress).

Panglima Kinta berbusana Baju Takwa, Sumber : Muzium Negara

Baju Takwa memang boleh dianggap sebagai salah satu pakaian klasik Melayu kerana pemakaiannya telah dimulakan sejak tahun 1800 lagi. Seperti yang diceritakan oleh Abdullah Munshi, pakaian lelaki Melayu pada masa itu berkain gombang yang jelas memberi maksud mereka belum lazim memakai seluar. Baju Takwa mengalami satu perubahan apabla menjelang tahun-tahun 1890-an ianya sudah kelihatan dipakai dengan seluar dan kain samping yang nampak lebih sopan ketika di majlis.

Berdasarkan kepada perkembangan ini Baju Takwa mungkin boleh dianggap sebagai salah satu pakaian yang tertua di kalangan orang Melayu. Pemakaiannya agak meluas dan telah dipakai juga oleh kaum lelaki India Muslim di Tanah Melayu ketika itu. Baju Takwa ini boleh dianggap sebagai pakaian ringkas harian yang kemas sebelum masyarakat Melayu menerima pengaruh pakaian barat yang lain.

Baju Takwa diperbuat daripada kain kapas halus corak berpetak-petak (tapak catur) dan ada kalanya diperbuat daripada kain kapas tebal. Terdapat pelbagai jenis kain sarung iaitu sama ada kain Bugis Sulewasi atau kain pelikat dari In- dia. Destarnya tidak terhad tetapi selalunya dipakai setangan batik Jawa tulis daripada kain kapas halus.

Baju Takwa dan Kain Gombang


Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom