Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Bahagian 6 : Keringat di Tanah Basah



Ramai di antara peneroka memilih kawasan Pasir Panjang kerana di bahagian kuala Pasir Panjang tanahnya dipenuhi belukar sahaja.

Selebihnya ditempatkan di Sungai Leman. Peneroka datang dalam kumpulan, tiap-tiap kumpulan ada ketuanya sendiri. Setiap hari saya terpaksa membawa peneroka ke dalam hutan untuk menunjukkan kepada mereka kawasan yang telah ditetapkan untuk mereka seperti dalam pelan yang dibekalkan oleh Pejabat Daerah Kuala Selangor. Pekerjaan mengatur peneroka ini memakan masa hampir dua bulan.

Setelah selesai mengatur peneroka dan mereka telah tahu kawasan masing-masing, mereka pun mula bekerja menebang pokok yang besarnya hingga dua tiga pemeluk. Ramai di antara peneroka ini tinggal di rumah panjang yang dibina di kuala Parit 8 Sungai Leman. Pada mulanya mereka terpaksa merintis jalan masuk ke dalam hutan di tiap-tiap Parit. Pada ketika itu kawasan ini ditenggelami oleh air hingga ke paras lutut kerana parit belum dibuat. Kerja merintis ini sungguh sulit dan susah kerana terpaksa mengharung air.

Di Parit 8 kerja ini senang sedikit kerana ada lorong bekas orang menarik batang nibong ke luar ke pintu air Sungai Haji Sirat. Pintu air Sungai Haji Sirat ini memang telah sedia ada berpuluh tahun dahulu, di bina oleh kerajaan.

Penghulu Mukim Tajung Karang yang baharu telah pun dilantik, nama beliau Raja Abd. Hamid, penolong beliau Wan Hassan telah dihantar bertugas di Pasir Panjang pada 4 Januari 1947. Beliau ditugaskan untuk mengatur ketua-ketua parit dan memerhatikan keadaan peneroka di Pasir Panjang dan Sungai Leman. Lebih kurang sebulan beliau bertugas di Pasir Panjang, beliau telah mengadakan mesyuarat untuk melantik Ketua (Sidang) tiap-tiap Parit, perlantikan ini telah dipersetujui oleh semua ketua-ketua kumpulan dan peneroka.

Di Pasir Panjang seramai enam orang telah dilantik.

1. Parit 12 di ketuai oleh Sidang Dahali

2. Tali Air 11 Sidang Haji Mat Rawi

3. Parit 11 Sidang Haji Azhari

4. Tali Air 10 Sidang Mahmud

5. Parit 10 Sidang Abu

6. Tali Air 9 Sidang Hj. Said.

Di Sungai Leman seramai enam orang juga telah dilantik.

1. Parit 9 diketuai oleh Sidang Sultan

2. ParitTali Air 8 Sidang Mohd. Akib

3. Parit 8 saya sendiri, Sidang Haji Anang bin Haji Salleh

4. Parit Tali Air 7 Sidang Basri bin Hassan

5. Parit 7 Kawsan Gambut Sidang Haji Abdul Rahman

6. Parit 7 Sidang Mat Basar

Senarai nama sidang-sidang ini dihantar ke Penghulu Tanjung Karang dan seterusnya dipanjangkan ke Tuan Pegawai Daerah Kuala Selangor. Lantikan ini telah diberi tauliah dalam tahun 1952.


Ikuti kami di Telegram KLIK DI SINI



KONGSIKAN:



Ads Bottom