KS Buka Kotak Pandora
1. Dalam temuramah khas dengan audio siar (podcast) "Keluar Sebentar", balu Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Abdul Khalid, bercerita banyak tentang Almarhum.
2. Ada yang saya tahu dan pernah ceritakan. Tetapi banyak, khususnya mengenai perniagaan Almarhum, tidak saya ketahui.
3. Tuan rumah, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, juga bertanya banyak "soalan maut" yang melibatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Saya yakin itulah yang ramai penonton hendak tahu. Nampak seolah-olah Khairy sudah menyeberangi Sungai Rubicon dalam perhubungan dengan Anwar. Kalau Anwar bawa juga beliau masuk Kabinet, seperti yang dikhabaranginkan, memang luar biasa.
4. Namun saya lebih tertarik kepada aspek peribadi yang Naimah ceritakan sebab beliau dan saya mengenali Almarhum dalam jangka waktu yang agak berbeza dan dalam kaitan yang berlainan.
5. Dalam temuramah itu, Naimah berkata beliau kenal Almarhum dalam kapasiti sebagai Ketua Pegawai Undang-undang Bank Bumiputera dan Almarhum adalah Bendahari Umno pada ketika Umno diharamkan dan harta Umno diambil alih oleh Official Assignee, iaitu pada 1988. Umno banyak berhutang kepada Bank Bumiputera.
6. Saya mengenali Almarhum sebelum Almarhum menjadi Menteri Kewangan. Pada tahun 1982 saya menemubual Almarhum untuk akhbar saya ketika itu, Business Times. Temubual itu turut disiarkan oleh akhbar-akhbar New Straits Times dan Berita Harian.
7. Banyak sifat-sifat Almarhum yang Naimah ceritakan itu saya saksikan sendiri dalam tempoh 42 tahun saya mengenali Almarhum sehingga ke penghujung hayatnya.
8. Banyak lagi keunikan sifat, perangai dan amalan Almarhum yang boleh diberitakan. Misalnya, orang takut berjumpa Almarhum, dan apabila berjumpa, takut hendak bercakap. Realitinya, Almarhum suka berjumpa dan mendengar pandangan orang ramai. Yang membuat banyak orang gementar adalah Almarhum tidak banyak bercakap. Kalau bercakap pun, pendek dan nada suaranya sangat rendah sehingga susah hendak dengar. Saya sendiri mengalami masalah itu. Saya akan kata, saya tak dengar. Lagi-lagilah di penghujung hayat Almarhum. Satu lagi, tulisan beliau sukar dibaca dan menggunakan pensil.
9. Sebagai kawan dan petugas bersama, khususnya dalam bidang media, Almarhum seorang yang sangat mesra dan jarang marah. Kalau marah pun tidak nampak.
10. Satu saja pantang beliau,
iaitu temujanji wajib ditepati dan masa wajib dihormati. Setiausaha Almarhum akan beritahu berapa lama sesuatu pertemuan.
11. Tetapi saya bernasib baik kerana sejak pertemuan pertama di pejabat Almarhum di Peremba Berhad di Kuala Lumpur pada tahun 1982, Almarhum tidak pernah mengehadkan masa. Saya belajar sendiri bila masa bersama beliau, habis - "time's up".
12. Kerap juga Almarhum mengajak saya ikut beliau dalam pengembaraan dengan kapal terbang peribadinya. Kami bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
13. Wajib tepat waktu. Kalau lambat kena tinggal. Dalam kapal terbang, lepas mendengar orang bersembang, beliau akan baca surat akhbar. Akhbar-akhbar utama sentiasa ada di dalam kapal terbang.
14. Masuk waktu solat, Almarhum akan solat. Kalau penerbangan panjang, Almarhum akan baca al-Quran.
15. Sepanjang hayatnya, Almarhum mewakafkan masjid, sekolah agama, pondok dan pasantren di dalam dan luar negara, membiayai pendidikan dan menaja gerakan pelajar melalui dua yayasan beliau - Yayasan Pok Rafeah untuk pendidikan dan Yayasan Haji Zainuddin untuk kebajikan.
16. Pada awal-awal perkenalan kami, saya perhatikan Almarhum selalu mengeluarkan sesuatu yang dibungkus dengan kertas surat khabar daripada poket baju dan mengunyahnya.
17. Mula-mula saya keberatan hendak bertanya. Apabila saya tanya, Almarhum menghulurkannya kepada saya. Rupa-rupanya pinang kering. Saya pun ikut kunyah. Masa remaja di kampung, saya selalu gobek sirih pinang untuk nenek saya. Beberapa tahun kemudian, saya perhatikan Almarhum tidak lagi mengunyah. Saya tanya, mana pi pinang? Almarhum kata, doktor nasihat suruh berhenti.
18. Betullah macam Toh Puan Naimah kata, Almarhum tidak pernah bawa duit. Kalau makan bersama beliau, kita kena sediakan duit. Tidak perlu gusar sebab Almarhum tidak makan di tempat-tempat mahal.
19. Sepanjang saya makan bersama Almarhum, kami makan di gerai, restoran India dan kedai nasi padang. Wajib makan sampai habis. Almarhum makan "secotet" dengan air suam. Raju, Kanna dan Ratha adalah tempat kegemaran Almarhum apabila minum dengan kawan-kawan dalam kumpulan saya.
20. Berkenaan perhubungan Almarhum dengan Anwar, apa yang Khairy dan Shahril tanya, dan Naimah jawab, izinkan saya menyifatkannya begini: "they were the best of friends."
21. Dua sahabat yang sangat akrab. Kalau bercakap, hang dan aku saja. "Daim hang kena tulunggg aku!" Itulah permintaan Anwar sepanjang masa.
22. Anwar tahu siapa Almarhum dalam politik. Daim adalah pelaksana Dr Mahathir. Sebab itulah Anwar sangat rapat dan bergantung kepada Almarhum.
23. Rasanya benar thesis bekas Setiausaha Akhbar Almarhum, Abdul Rashid Yusof, iaitu Anwar tidak pernah bermusuh dengan Daim dan Daim sentiasa simpati dengan Anwar.
24. Masa Anwar masuk penjara kali kedua, Almarhum memperbaharui lesen peguamnya yang sudah lama mati supaya boleh berjumpa Anwar di dalam penjara.
25. Tetapi mengapa Anwar menjadikan Almarhum dan Dr Mahathir sebagai musuh nombor satu beliau? Pertama, politik Anwar, sejak zaman protes kampus, memerlukan musuh, demon, dajal, Firaun dan pelbagai lagi musuh imaginari. Tanpa musuh dan konfrontasi, tiadalah Anwar.
26. Bagi setiap generasi yang beliau rekrut ke dalam gelanggang politik beliau, akan dicampakkan musuh-musuh durjana, seperti pemerintah Rom silam mencampakkan orang Kristian untuk dibaham oleh singa lapar.
27. Siapakah yang lebih baik untuk diseret, diarak dan dicampakkan ke dalam gelanggang beliau kalau bukan Dr Mahathir dan Tun Daim?
28. Akhir kalam, bolehlah saya simpulkan yang keberanian dan kesanggupan KS menampilkan Naimah telah membuka kotak Pandora kisah sebenar perhubungan Daim dengan Anwar.
Terima kasih.
KONGSIKAN: