Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Puan Guru Dato' Hajah Rogayah Sulong, Durian Guling ( 1942 - 2023 )


Puan Guru Hajah Rogayah Binti Sulong dilahirkan pada 24 Januari 1942 di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, Terengganu dan dibesarkan di kampung kelahirannya. 

Dato' Hajah Rogayah dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibu dan bapanya bekerja sebagai petani dan bercucuk tanam. Dato’ Hajah Rogayah dibesarkan dalam keluarga yang amat menitikberatkan akhlak, al-Quran dan pendidikan agama semenjak dari kecil. Sedari kecil, beliau sudah dididik dalam suasana cintakan al-Quran, menghidupkannya dan mengajarkan pula kepada orang ramai. 

Dato’ Hajah Rogayah Binti Sulong mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Tengah, Buloh Gading. Kemudian beliau meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di Sekolah Agama Kampung Tengah. Manakala pendidikan secara non formal berlaku di rumah iaitu pengajian al-Quran dan tarannum. Beliau mula mempelajari asas-asas al-Quran ketika berusia 11 tahun. Guru-guru al-Qurannya pada peringkat awal ialah :

1. Hajah Nik Binti Haji Jusoh - Ibunya
2. Cik Binti Ali - Ibu saudaranya 
3. Haji Jusoh Bin Ismail - Datuk di sebelah ibu

Seterusnya Dato’ Hajah Rogayah mendapat latihan yang mantap daripada guru-guru beliau. Beliau juga disifatkan sebagai seorang yang cukup berdisiplin dalam menjalani latihan. Hasil didikan dari beberapa tokoh ilmuan al-Quran, Dato' Hajah Rogayah berjaya mengungguli pelbagai pertandingan tilawah al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Di antara guru-guru al-Quran dan tarannum beliau ialah :

1. Megat Othman Bin Megat Chik - Suaminya
2. Tuan Guru Haji Mat Lintar
3. Haji Awang Bin Muhammad @ Ayah Long Awang Nobat 

Dalam rekod, Dato' Hajah Rogayah telah memenangi  johan qariah kebangsaan sebanyak tujuh kali iaitu pada tahun 1961, 1963, 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979. Manakala di peringkat antarabangsa pula, beliau berjaya menjadi johan pada tahun 1966, 1973, 1974 dan 1978.




Dato' Hajah Rogayah juga telah memperolehi sijil talaqqi 30 juzuk al-Quran bersanad. Beliau juga diberi tauliah oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk mengijazahkan anak murid yang tamat belajar al-Quran dengan beliau sebanyak 30 juzuk al-Quran. 

Pada tanggal 9 Ogos 2023, beliau telah kembali ke rahmatullah dalam usia 81 tahun meninggalkan seribu jasa tak terhitung khusus dalam ilmu kesenian tarranum al-Quran.

Sumber - Najmiah Binti Omar & Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff, Tengku Yusuff



Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom