Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !


Para ulama yang berasal dari bumi Palestin



Berikut adalah beberapa ulama masyhur yang berasal dari Palestin

1. Raja' bin Haiwah (wafat 112H)

Beliau adalah Raja' bin Haiwah bin Jarwah al-Kindi. Beliau adalah daripada kalangan Tabi'in dan digelar sebagai al-Filastini al-Faqih.

Beliau lahir di bandar Baisan, Palestin pada penghujung pemerintahan khalifah Uthman RA. Beliau antara yang terlibat dengan pembinaan Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) atas arahan khalifah Abdul Malik bin Marwan pada ketika itu.

2. Imam al-Syafie (wafat 204H)

Imam al-Syafie rahimahullah adalah tokoh yang tak perlu diperkenalkan lagi. Beliau dilahirkan di Ghazzah pada tahun 150H.

Sewaktu umur 2 tahun, beliau sekeluarga berpindah ke Mekah dan beliau membesar di sana. Bapa beliau meninggal ketika beliau masih muda remaja dan beliau banyak dibesarkan oleh ibunya.

3. Imam al-Tabrani (wafat 360H)

Beliau adalah Abu al-Qasim Sulaiman bin Ahmad, ahli hadith yang masyhur yang mengarang المعاجم الثلاثة iaitu Mu'jam al-Saghir, Mu'jam al-Kabir dan Mu'jam al-Awsat. Beliau dilahirkan di Kota Acre atau عكا, Palestin pada tahun 260H.

Beliau digelar al-Rahhal dan al-Jawwal kerana beliau suka mengembara ke pelbagai negara seumpama Mekah, Madinah, Yaman, Syam, Mesir, Baghdad, Kufah, Basrah dan lain-lain.

4. Al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi (wafat 600H)

Beliau lahir pada tahun 541H di Jamma'il, Palestin. Beliau adalah pengarang kitab al-Ahkam al-Kubra dan al-Ahkam al-Sughra.

5. Al-Faqih ibn Qudamah (620H)


Ibn Qudamah al-Maqdisi ialah pengarang kitab yang masyhur iaitu al-Mughni. Beliau adalah tokoh besar dalam mazhab imam Ahmad. Beliau lahir di Jamma'il, salah sebuah kampung dalam bandar Nablus, Palestin. pada tahun 541H.

6. Ibn Muflih al-Hanbali (763H)

Beliau adalah Shams al-Din Muhammad bin Muflih yang berasal dari kampung Ramin dari kawasan Tulkarm di Palestin. Beliau antara fuqaha mazhab al-Hanabilah. Antara karya beliau yang masyhur adalah al-Furu' dan juga al-Adab al-Syar'iyyah.

7. Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852H)

Ibn Hajar al-Asqalani tidak asing lagi bagi kita semua. Beliau bukanlah dilahirkan di Asqalan atau Ashkelon, Palestin. Cuma asal usul iaitu datuk beliau adalah dari kabilah al-Kinani merupakan penduduk di Asqalan sebelum dipindahkan oleh Salahuddin al-Ayyubi ke Mesir.

8. Al-Faqih al-Mardawi (885H)


Beliau adalah Ala' al-Din al-Mardawi yang berasal dari kampung Marda, sebuah perkampungan Salfit di Tebing Barat,Filasá¹­Ä«n. Antara karya beliau yang masyhur adalah al-Insaf fi Ma'rifah al-Rajih min al-Khilaf, salah sebuah karya perbandingan empat mazhab dalam mazhab Hanbali.

9. Al-Faqih Musa al-Hajjawi (895H)


Beliau antara fuqaha dalam mazhab Hanbali yang dilahirkan di kampung Hajjah, sebuah kampung dari Nablus, Palestin. Dua kitab beliau yang masyhur adalah Zad al-Mustaqni' dan juga al-Iqna', antara kitab penting dalam mazhab Hanbali.

10. Imam al-Safarini (1188H)


Imam al-Safarini pula adalah seorang faqih dan juga usuli yang dilahirkan di Safarin, sebuah kawasan di Nablus, Palestin. Karya-karya yang beliau tulis mencecah 30 buah karya dalam pelbagai bidang.

11. Syeikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi (2022M)



Beliau adalah salah seorang ulama kontemporari dalam bidang al-Quran yang baru sahaja meninggal dunia awal tahun 2022 yang lalu. Beliau dilahirkan di bandar Jenin, Utara Palestin pada tahun 1947M. Al-Khalidi merupakan nasab beliau yang bersambung dengan nasab sahabat Nabi SAW iaitu Khalid bin al-Walid. Karya beliau mencecah 59 buah yang meliputi tema yang pelbagai dalam bidang tafsir dan tadabbur al-Quran.

Sumber : Usaid Subki




KONGSIKAN:




Ads Bottom