Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Mengenang 150 tahun perjanjian Pangkor


20 Januari 1874, 150 tahun yang lalu, termeterainya Perjanjian Pangkor yang menjadi pembuka jalan kepada penjajahan British di semenanjung Tanah Melayu.

Sejak sekian lama, Perak dikenali sebagai ‘lubuk’ terbesar bijih timah di Nusantara. Namun di kurun ke-19, perniagaan bijih timahnya terjejas dek pertelingkahan kumpulan kongsi Cina, Ghee Hin dan Haisan hingga tercetus Perang Larut bermula 1861.

Ketidakstabilan dirumitkan lagi dengan kemelut perebutan kuasa. Apabila Sultan Ali mangkat pada 1871, Raja Muda Abdullah yang sepatutnya naik takhta tidak hadir ke upacara pengkebumian Sultan Perak ke-24 itu.

Raja Bendahara Ismail, yang memiliki alat-alat kebesaran diraja, diangkat menjadi Sultan Perak yang baharu. Raja Abdullah tidak puas hati, ketika sama mahu menamatkan kemelut kumpulan kongsi, baginda meminta bantuan British.

Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat hal ehwal Perak dan membantu menyelesaikannya.


Gambar yang dirakam pada tahun 1875 ini menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois, yang duduk di tengah-tengah merupakan Gabenor baru menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri - Dr. Anderson; Kepten Innes; Mejar F. McNair; Lt. Henry Mc Callum; J.WW Birch; W. Knaggs (memakai suit terang); Kepten Speedy; Frank Swettenham. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Pertemuan kedua-duanya pada 20 Januari 1874 di atas kapal stim HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusof menghasilkan perjanjian 14 perkara yang dipersetujui 'atas nasihat’ British.

Raja Abdullah ditabal sebagai Sultan Perak yang sah, sementara Raja Ismail boleh memakai gelaran Sultan Muda, tapi Sultan harus menuruti segala kata Residen British, yang mahu diberi istana di Perak dan dibayar elaunnya oleh kerajaan negeri.


Residen berkuasa penuh ke atas pungutan dan kawalan segala hasil negeri kecuali berkaitan hal agama dan adat orang Melayu. Maka dilantik J. W. W. Birch sebagai Residen British Perak yang pertama.

Kebiadaban British tidak sampai setahun pendudukan mereka membangkitkan kemarahan pembesar Melayu, termasuk Raja Abdullah yang kemudian bersama Datuk Maharajalela merancang komplot penentangan.

Raja Abdullah


Birch mati dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875, mencetuskan Perang Perak di mana British mematahkan penentangan tempatan sekali gus mengukuhkan kuasanya.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Orang Perak

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom