Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Dato Tambah : Pembesar berjasa disebalik tertegaknya Kesultanan Selangor

Gambar hiasan

Dato' Tambah merupakan salah seorang pembesar Bugis dari Kesultanan Selangor yang hidup antara zaman pemerintahan Yam Puan Selangor Raja Sitti dan Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) ibni Yang Dipertuan Muda Riau II, Opu Daeng Chelak. Mengikut rekod yang ada, Dato' Tambah merupakan anak kepada Che Tambah binti Che Pandak bin Bondeng binti Tok Awaluddin.

Sebelum Dato Tambah dilantik menjadi salah seorang pembesar Kesultanan Selangor, beliau yang berjawatan Dato' Jeram I pernah bernaung di bawah Kesultanan Johor. Ketika memerintah Jeram, Dato' Tambah juga pernah membantu Yam Puan Kecil Raja Sitti dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku di Kuala Selangor. Hubungan diplomatik antara kedua belah jajahan bertambah erat dalam  urusan perdagangan.

Pada tahun 1743, Yam Puan Kecil Raja Sitti telah mangkat dan kemangkatannya tidak meninggalkan seorang zuriat pun. Seluruh penduduk Sungai Selangor terutamanya penduduk Kampung Kuala Lubuk merasa sangat sedih di atas kemangkatan Yam Puan Kecil Raja Sitti sehingga mereka bercadang untuk menjadikan Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak sebagai pemerintah Selangor. Cadangan penduduk Sungai Selangor adalah dari cadangan Dato' Tambah.

Walau bagaimana pun permintaan penduduk Sungai Selangor telah ditolak oleh Yang Dipertuan Muda Riau II, Opu Daeng Chelak. Beliau pun menemui Dato' Tambah dan membincangkan perihal perlantikan pemerintah Selangor yang baru. Dalam pertemuan itu, Dato Tambah telah merancang dan berpakat dengan Yang Dipertuan Muda Riau II, Opu Daeng Chelak untuk menjadikan Raja Lumu, putera Yang Dipertuan Muda Riau II, Opu Daeng Chelak sebagai Yang Dipertuan Kecil Selangor. Maka atas permintaan penduduk Sungai Selangor, Yang Dipertuan Muda II Opu Daeng Chelak pun meletakkan puteranya, Raja Lumu sebagai pemerintah Selangor.

Pada masa yang sama, Sultan Muhammad Shah Perak (Raja Bisnu) (1742-1743) telah mengiktiraf Raja Lumu sebagai Yang Dipertuan Kecil Selangor. Namun begitu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Opu Daeng Kemboja tidak mengiktiraf Raja Lumu sebagai Yang Dipertuan Kecil Selangor. Namun Raja Lumu berusaha untuk mendapatkan pengiktiran yang mutlak agar dirinya dianggap sebagai penguasa yang berdaulat.

Dato' Tambah juga pernah membantu Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak menentang Daeng Matekoh yang membuat kekacauan di Kuala Selangor. Sejak kekacauan tersebut, Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak kerap berulang-alik dari Riau dan Kuala Selangor. Pada tahun 1739, Yang Dipertuan Muda Riau II Opu Daeng Chelak telah membawa isterinya Tengku Mandak melawat Kuala Selangor dan kehadiran beliau telah disambut oleh Dato' Tambah dan Yam Puan Kecil Selangor Raja Sitti.

Dalam tahun 1756, Dato' Tambah secara tidak langsung pernah terlibat membantu Raja Haji Fisabilillah dan Opu Daeng Kemboja bersama Yang Dipertuan Kecil Selangor Raja Lumu dan Raja Said ibn Yang Dipertuan Muda I, Opu Daeng Marewah menentang Belanda di Melaka dengan kekuatan 20 buah perahu perang  yang didatangkan dari pelabuhan Jeram sementara kekuatan dari Kuala Selangor sebanyak 30 buah penjajap.

Pada tahun 1770, Yang Dipertuan Kecil Selangor Raja Lumu telah dinobatkan oleh Sultan Mahmud Shah Perak (1770-1778) sebagai Yang Dipertuan Besar Selangor dengan gelaran Sultan Salehuddin Shah. Maka dengan perlantikan tersebut, maka Selangor bebas dari kekuasaan atau bernaung di bawah Kesultanan Johor. Maka bermulalah era kesultanan di Selangor.

Sultan Salehuddin Shah pun menyusun struktur pentadbiran yang sedia ada kepada yang lebih baik. Pengukuhan pentadbiran adalah perkara pertama yang diberikan tumpuan oleh baginda dalam membentuk sebuah institusi dengan mewujudkan beberapa jawatan penting dalam istana antaranya Dato' Aru, Dato' Penggawa Tua (Mukim Kuala Selangor), Dato' Penggawa Muda (Mukim Kuala Langat), Dato' Jeram (Mukim Jeram), Dato' Syahbandar, Dato' Kaya Kecil (Mukim Klang), Dato' Maharajalela, Dato' Megat Penghulu Balai (Dato' Penghulu)(Hulu Selangor), Dato' Panglima Perang Besar dan Dato' Engku Klang (Mukim Petaling)

Adapun Dato' Aru disandang oleh Dato' Akhir bin Laksamana Megat Seri Rama, Dato' Engku Klang disandang oleh Dato' Naga Mengulur, Dato' Penggawa Tua disandang oleh Dato' Daeng Panapindang, Dato' Jeram tetap disandang oleh Dato' Tambah bin Che Tambah, Dato' Kaya Kecil disandang oleh Dato' Adam, Dato' Maharajalela disandang oleh Dato' Daeng Loklok (Dato' Hussein), Dato' Syahbandar disandang oleh Dato' Daeng Tempuli, Dato' Bentara disandang oleh Dato' Mahidin, Dato' Panglima Perang Besar disandang oleh Dato' Wasulit dengan gelaran Dato' Engku Panglima Dalam dan Dato' Megat Penghulu Balai disandang oleh Dato' Daeng Pendalang.

Beberapa bulan selepas perlantikan di istana, Dato' Tambah terlibat secara langsung membantu Sultan Salehuddin Shah dan Raja Haji Fisabilillah menyerang Kedah dibawah pimpinan Raja Haji Fisabilillah sendiri. Selain Dato' Tambah dan Sultan Salehuddin Shah, turut serta sama antaranya adalah Dato' Panglima Perang Besar Dato' Wasulit, Dato' Maharajalela Daeng Loklok, Dato' Penggawa Tua Dato' Daeng Panapindang bersama 40 askar upahan. Mereka menyerang Kedah atas permintaan Tunku Anjang dan Tunku Long Putera. Namun begitu, perikatan Tunku Anjang dan orang Bugis Selangor tumpas di tangan tentera Kedah.

Setelah kembali dari pertempuran menentang Kedah, Dato' Tambah kembali ke Jeram meneruskan khidmat di bawah pemerintahan Sultan Salehuddin Shah sehingga beliau meninggal dunia sekitar tahun 1770-an. Beliau meninggalkan beberapa orang anak antaranya bernama Mohd Kassim dan Mohd Salleh. Mohd Kassim dikatakan menjadi menantu kepada Dato' Maharaja Lela II Selangor, Dato' Makek (Dato' Meka) melalui perkahwinannya dengan anak perempuan Dato' Maharaja Lela II yang bernama Safiah. Hasil dari perkahwinan tersebut, mereka mendapat beberapa orang anak antaranya bernama Mohd Shah (Mat Shah).

Jawatan Dato' Jeram telah disandang oleh anaknya yang bernama Dato' Mohd Salleh sebagai Dato' Jeram II sementara anaknya yang bernama Mohd Kassim menjawat jawatan  sebagai Panglima Perang Selangor. Kedua-dua mereka berkhidmat ketika zaman pemerintahan Sri Sultan Ibrahim Shah.

Sumber : Mohd Azmi Mat Rashid, Aktivis Sejarah

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom