Dewan Pemuda PAS bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi, seorang guru agama yang dikenali di sebelah utara Semenanjung. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi , Ustaz Baharuddin Latif dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.
Sejujurnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia adalah entiti parti yang paling dinamik, memicu pesona serta menelurkan pelbagai idea penting kepada badan induk jamaah ini. Sebagai sayap penting , jauh daripada sikap mengampu dan merasa selesa dengan kondisi yang ada. Dewan Pemuda PAS adalah kilang tajnid serta melahirkan generasi pimpinan PAS disepanjang zaman .
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS . Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950. Malah dizaman pemerintahan PERIKATAN, almarhum ditahan dibawah ISA.
Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik , dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah dikalangan anak-anak muda. Aktivis pemuda membantu program pendakwahan skala besar dalam era kebangkitan semula Islam.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini . Pemuda PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS . Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam didunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi, daripada prasekolah sehinggalah kolej Universiti.
Gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal pada tahun 1991 , yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam. Dimana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik. NGO , jaringan sivil yang dibidani oleh Dewan Pemuda PAS Pusat terus menyebar kebaikan dan kepedulian ummat dipelbagai peta luka umat Islam.
Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana ,dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.
Dewan Pemuda PAS yang melepasi tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh,dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa . Lihatlah era Abdul Samad Gul Mianji, Ustaz Jais Anwar, Ustaz Hasan Shukri, Cikgu Mustapha Ali, Ustaz ABC, Dewan Pemuda mendobrak kezaliman regim dan mencetus idea-idea baru dalam jamaah Islam ini.Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa , dingin intelek serta suram keberanian.
Muktamar pemuda PAS pernah meluncurkan gagasan generasi sejahtera yang mempunyai pakej lengkap kompetensi, mempunyai tampang pemuda haraki dan Sufi, memadukan antara kemapanan ilmu dan keberanian dilapangan Amal.Memiliki ilmu yang luas , membina jaringan sosial yang baik demi mengarusperdanakan perjuangan. Pemuda PAS terbukti sebagai agen paling hadapan dalam harakatul ummah yang kini mempunyai 43 MP dan juga 148 ADUN diseluruh negara. PAS menang bergaya dalam PRU ,19 November 2022 dan PRUN 12 Ogos 2023, pemuda PAS terbukti berjaya merengkuh sokongan dan dokongan anak-anak muda disaluran empat dan lima!.
Teruskan era pengukuhan jamaah ini, era tamkin serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah.
Sumber : Dr Ridhuan Mohammad Nor, AJK PAS Pusat, Pengerusi Tetap DPPM )
KLIK > DAPATKAN PELBAGAI BUKU PADA HARGA DISKAUN [KEMASKINI]
KONGSIKAN: