Penjajahan empayar Jepun dalam Perang Dunia Kedua (1941-1945) merupakan sesuatu pengalaman yang sememangnya tidak dapat dilupakan oleh mana-mana generasi nenek moyang terdahulu.
Antara negara yang dijajah oleh Jepun ialah China, Korea, Taiwan, Laos, Filipina, Indonesia, Myanmar dan juga negara ini iaitu Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Malaya).
Namun begitu, China merupakan negara pertama yang merasai kezaliman melampaui batas dilakukan oleh pihak tentera Jepun ketika berlakunya Perang China-Jepun Kedua (1937-1945).
Walaupun tidak dinafikan Kerajaan Jepun pada ketika itu berjaya menawan banyak kawasannya tetapi masih tidak mampu menawan negara Tanah Besar tersebut secara keseluruhan.
Ini kerana terdapat seorang tokoh etnik Cina beragama Islam yang bukan sahaja beberapa kali berjaya menyekat kemaraan tentera Jepun, tetapi juga meninggal dunia dalam keadaan tidak terkalah.
Nama tokoh tersebut ialah Ma Benzhai yang mana beliau lahir di kawasan Hebei pada tahun 1901 sebagai seorang Cina etnik Hui yang majoritinya beragama Islam.
Ma Benzhai
Menurut satu artikel China Daily bertajuk ‘Ma Benzhai an immortal hero’, beliau merupakan antara seorang individu yang mengikuti kemaraan tentera Jepun bermula pada tahun 1937.
“Namun begitu, beliau telah menyertai Parti Komunis China pada Oktober 1938 bagi menentang kemaraan tentera Jepun tersebut,”
Serangan tentera Jepun dapat dilakukan dengan mudah memandangkan pada ketika itu berlakunya Perang Saudara China (1927-1949) iaitu antara parti Kuomintang dengan parti Komunis China.
Pemimpin Parti Kuomintang pada ketika itu, Chiang Kai-shek terlalu fokus dalam menghancurkan Parti Komunis China di bawah pimpinan Mao Zedong sehingga tidak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap serangan tentera Jepun.
Perkara sebegini turut dinyatakan dalam laman web Britannica Second Sino-Japanese War walaupun Parti Kuomintang yang memegang kuasa pentadbiran utama China sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua.
Tindakan tersebut telah mula menyebabkan hilangnya kepercayaan Ma Benzhai terhadap Parti Kuomintang walaupun akhirnya Chiang Kai-shek mula memberikan tumpuan dalam melawan kezaliman tentera Jepun.
Penubuhan Hui Nationality Anti-Japanese Army of Volunteers
Tentera China Hui Muslim yang dilatih oleh Ma Benzhai dalam Hui Nationality Anti Japanese Army of Volunteer. (Sumber: China Daily)
Menurut artikel China Daily, penentangan Ma Benzhai bermula pada Oktober 1937 yang mana beliau mula membina pasukan tentera sukarela bagi menentang kezaliman tentera Jepun.
Pasukan tentera sukarela tersebut dikenali sebagai ‘Tentera Sukarelawan Anti Jepun Warga Hui’ yang juga dikenali sebagai ‘Hui Nationality Anti-Japanese Army of Volunteers’.
“Pada mula penubuhannya, hanya 60 orang sahaja yang menyertainya, tetapi kemudian Ma Benzhai menyusun semula pasukan tentera tersebut sehingga bilangannya meningkat kepada 2,000 orang,” katanya.
Pada awal penubuhan tentera sukarelawan tersebut, beliau bersama-sama tenteranya beberapa kali berjaya menyerang tentera Jepun yang di bawah pimpinan Yamamoto Isoroku melalui serangan hendap walaupun dengan bilangan yang kecil.
Tentera Jepun pada ketika itu sedang melakukan persiapan bagi menyerang wilayah Hejian, tetapi serangan tersebut memaksa Yamamoto melakukan penahanan terhadap ibunya dengan harapan supaya memujuk Ma Benzhai menyerah diri.
Namun begitu, ibunya bersifat tegas untuk tidak mahu melakukan perkara sedemikian kerana tidak mahu belot kepada tanah airnya yang menyebabkan akhirnya meninggal dunia dalam serangan mogok lapar.
Kematian ibunya telah menguatkan lagi semangat Ma Benzhai dalam meneruskan serangan demi serangan terhadap tentera Jepun di kawasan Sungai Ziya dan memperoleh kemenangan demi kemenangan.
Kaedah peperangan yang beliau gunakan dalam melakukan serangan terhadap tentera Jepun adalah bersifat ‘Perang Gerila’ iaitu tidak menghadapi musuh secara berhadapan.
Sebaliknya, beliau bersama-sama tenteranya akan menyerang musuh secara mengejut dan kemudian menghilangkan diri serta proses tersebut diulang tanpa henti.
Walaupun begitu, tentera Jepun semakin takut mendengar nama Ma Benzhai setelah beliau melakukan serangan besar-besaran ke atas kawasan Shenxian, Guanxian dan Chaocheng yang bertempat di Shandong.
Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1942 yang mana beliau bersama-sama tenteranya memperoleh kemenangan dan merampas semula kawasan-kawasan yang ditawan oleh tentera Jepun.
Terdapat satu dokumentari bertajuk ‘The Sufi Martial Arts Hua Long Kung Fu’ di mana merekodkan bahawa terdapat tentera China yang tidak terkalah sepanjang berlakunya Perang China Jepun Kedua.
“Tentera China Muslim Hui Detachment merupakan tentera yang terbukti tidak terkalah dalam peperangan tersebut dan setiap kali tentera Jepun mendengar nama tersebut mesti akan ketakutan.
“Dari 1937 hingga 1944, Ma Benzhai bersama-sama tenteranya memenangi kesemua pertempuran melawan tentera Jepun,” jelasnya.
Penentangan Ma Benzhai terhadap penjajahan tentera Jepun diteruskan sehingga pada 7 Februari 1944 yang mana beliau jatuh sakit dan meninggal dunia di sebuah hospital kawasan Hebei kerana bekerja tanpa henti sedikit pun.
Namun begitu, beliau meninggal dunia dalam keadaan tidak terkalah dalam melawan tentera Jepun dan mendapat pengiktirafan daripada Pengasas Parti Komunis China iaitu Mao Zedong menurut artikel China Daily.
Beliau menyatakan bahawa Ma Benzhai sebagai pahlawan tidak akan mati yang dalam bahasa Inggerisnya ‘Comrade Ma Benzhai is immortal’.
Penghargaan sebegini jelas menunjukkan jasa beliau adalah amat besar dan akan terus diiktiraf walaupun dalam kalangan rakyatnya yang bukan beragama Islam.
Justeru, perjuangan Ma Benzhai adalah sememangnya perkara yang mempunyai nilai yang amat tinggi dan tidak boleh dijual beli oleh mana-mana pihak pun.
Satu galeri Ma Benzhai Memorial Hall telah dibina di Xian bagi menghargai jasa beliau dan dalam mengajarkan kepada setiap generasi rakyat China bahawa pentingnya menjaga kedaulatan sesebuah negara.
KONGSIKAN: