Berita Harian 4 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Penjara Ketziot yang terletak di padang pasir Negev, Israel kembali menjadi tumpuan selepas 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan ditahan di penjara berkenaan.
Penjara Ketziot adalah pusat tahanan terbesar di Israel dengan keluasan meliputi 400,000 meter persegi dan dibina sebagai kem tahanan ketika Intifada Pertama (1987-1993), iaiu tentangan rakyat Palestin terhadap penjajahan Israel.
Menurut laporan Human Rights Watch, Penjara Ketziot yang dikenali sebagai 'Ansar III' dibuka pada Mac 1988 bagi menampung peningkatan tangkapan ketika kebangkitan rakyat Palestin dalam Intifada Pertama.
Penjara berkenaan menempatkan kira-kira 6,000 tahanan, iaitu fasiliti tahanan terbesar dikendalikan tentera Israel.
Keadaan di Penjara Ketziot dilaporkan amat perit dengan tahanan ditempatkan dalam khemah dan terdedah kepada cuaca terik pada siang hari dan kesejukan melampau pada waktu malam.
Pusat Maklumat Hak Asasi Manusia Israel, B'Tselem, sebuah organisasi bebas dan berkecuali dalam satu laporannya, menghimpunkan testimoni bekas tahanan yang mendakwa mereka berdepan penyeksaan fizikal dan mental sepanjang dalam kurungan.
Mengikut laporan B'Tselem, sebahagian tahanan di Penjara Ketziot dipukul di dada dalam perjalanan ke bilik sidang video sebelum diancam supaya tidak mengadu kepada hakim.
Seorang bekas tahanan mendedahkan keadaan mengejutkan di Penjara Ketziot apabila beliau dipindahkan ke penjara yang dibina untuk tujuh orang tetapi menempatkan 12 tahanan.
"Kami hampir tidak boleh melangkah dalam penjara itu kerana ruang yang sangat terhad, tandas yang menjijikkan dan busuk serta tidak mempunyai pintu," katanya.
Tahanan turut mendakwa layanan tidak berperikemanusiaan di Penjara Ketziot apabila bekalan elektrik dipotong sepanjang hari, menyebabkan mereka sentiasa berada dalam kegelapan.
Pada peringkat awal tahanan, mereka hanya dibekalkan lampu selepas jam 8 malam tetapi keadaan bertambah buruk apabila pihak penjara memutuskan bekalan elektrik siang dan malam.
Semua sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan angkatan pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa pagi kelmarin, dipercayai dipindahkan ke Penjara Ketziot.
Menurut laporan agensi luar negara, penempatan selama beberapa hari itu berikutan cuti Yom Kippur, sebelum Israel memulakan proses pengusiran seawal Isnin atau Selasa depan.
KONGSIKAN: