Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

16-Disember

Masukkan carian anda di sini !

Inovasi Ukraine mencabar dron kamikaze shahed


Setiap racun pasti ada penawarnya, dan setiap senjata rahsia pasti ada titik kelemahannya.

Apabila dron kamikaze Shahed buatan Iran mula membanjiri ruang udara Eropah Timur, seluruh dunia menyangka sistem pertahanan Ukraine akan hancur sepenuhnya.

Rusia telah menggunakan kelebihan dron berharga murah ini untuk memaksa tentera Ukraine membazirkan peluru berpandu bernilai jutaan dolar.

Namun, tentera dan jurutera di Kyiv tidak berdiam diri menunggu negara mereka muflis.

Mereka telah mengkaji kelemahan Shahed dan mencipta satu penyelesaian inovatif yang kini mengubah landskap peperangan anti pesawat di seluruh dunia.

Senjata rahsia tersebut adalah dron pemintas yang direka khas untuk memburu dan merempuh dron kamikaze buatan Tehran di udara.

Antara model yang paling mendapat perhatian global pada hari ini adalah dron yang diberi nama Sting.

Dron pemintas Sting ini telah dibangunkan oleh sekumpulan pakar dron sukarelawan Ukraine yang dikenali sebagai Wild Hornets.

Dari segi teknikal, Sting beroperasi menggunakan konsep pandangan orang pertama atau lebih dikenali sebagai sistem FPV.

Ia bertindak seperti sebuah peluru berpandu kecil yang terbang meluru ibarat lebah yang sangat lincah.

Menyedari bahawa dron Shahed hanya terbang pada kelajuan sekitar 185 kilometer sejam, jurutera Ukraine telah mereka cipta Sting supaya mampu memecut sehingga 300 kilometer sejam.

Ini bermakna, dron pemintas ini boleh mengejar, memintas, dan merempuh dron Iran tersebut dari arah belakang dengan sangat pantas.

Bagi mengatasi masalah gangguan isyarat elektronik yang sering dilancarkan oleh musuh, dron Sting ini turut dilengkapi dengan sistem panduan kecerdasan buatan atau AI.

Sebaik sahaja sasaran berjaya dikunci melalui kamera, sistem AI akan mengambil alih kawalan sepenuhnya untuk memastikan rempuhan maut berlaku tepat pada sasarannya.

Taktik pertahanan udara ini turut disokong oleh ribuan mikrofon akustik yang dipasang di seluruh negara bagi mengesan bunyi bising enjin omboh Shahed dari jarak jauh.

Tetapi kehebatan sebenar dron pemburu ini terletak pada kejayaannya menterbalikkan kos "Matematik Perang".

Perbelanjaan untuk membina sebuah dron pemintas seperti Sting dianggarkan hanya menelan belanja sekitar 1,000 hingga 5,000 Dolar sahaja.

Bayangkan, sebuah dron yang bernilai serendah 2,000 Dolar kini digunakan sebagai senjata utama untuk memusnahkan dron Shahed musuh yang berharga 20,000 hingga 50,000 Dolar.

Persamaan ekonomi peperangan asimetrik kini telah berubah secara drastik dan memihak kepada kelebihan Ukraine.

Lebih epik lagi, kejayaan teknologi murah ini telah mencetuskan satu insiden geopolitik yang sangat memalukan bagi industri senjata Barat.

Amerika Syarikat yang megah dengan sistem radar pertahanan bernilai bilion dolar kini mengakui bahawa mereka semakin gagal untuk memintas serangan dron Iran dengan berkesan.

Oleh sebab itu, pentadbiran di Washington dan negara-negara kaya di Teluk Arab seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, dan Bahrain kini sedang terhegeh-hegeh merayu bantuan daripada Kyiv.

Mereka terpaksa menundukkan ego untuk membeli dan memindahkan teknologi dron pemintas Ukraine ini ke Timur Tengah bagi melindungi aset ketenteraan mereka daripada ancaman dron buatan Tehran.

Sebuah negara yang sedang dihancurkan oleh peperangan rupa-rupanya mampu menghasilkan teknologi murah yang kini didambakan oleh sekutu elit dunia.





KONGSIKAN:



Ads Bottom