Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Variasi Tanpa Limitasi

Masukkan carian anda di sini !

Rakyat Malaysia perlu bersedia hadapi gelombang terbaru krisis ekonomi




Berita Harian 23 April 2026

KUALA LUMPUR: Krisis geopolitik global yang semakin meruncing menuntut Malaysia supaya memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan senario terburuk termasuk gangguan bekalan tenaga, peningkatan mendadak harga barangan serta tekanan berpanjangan terhadap kos sara hidup rakyat, demikian menurut penganalisis.

Walaupun asas ekonomi negara masih kukuh, faktor luaran di luar kawalan seperti konflik geopolitik, sekatan perdagangan dan gangguan rantaian bekalan berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik.

-Advertisement-

Ketua Ekonomi Affin Bank Bhd, Alan Tan Chew Leong, berkata permintaan domestik Malaysia ketika ini masih kekal kukuh dan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi disokong oleh perbelanjaan pengguna dan aktiviti pelaburan yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tekanan inflasi kekal sebagai risiko utama yang boleh menghakis pendapatan boleh guna rakyat sekali gus memberi kesan kepada corak perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

"Sebagai pengimport bersih minyak, Malaysia juga terdedah kepada ketidaktentuan bekalan bahan api. Persoalan yang timbul ialah sejauh mana bekalan sedia ada mampu bertahan dan dari mana sumber bekalan seterusnya akan diperoleh.

"Pengalaman semasa pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa pemulihan bekalan minyak global mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan khususnya apabila membabitkan pemulihan operasi pengeluaran, pengangkutan dan infrastruktur tenaga.

"Namun, tempoh gangguan kali ini dijangka lebih singkat, tetapi ia sangat bergantung kepada berapa lama krisis ini berlarutan serta pergerakan harga minyak global," katanya pada webinar bertajuk Konflik Asia Barat: Impak & Implikasi Global dan Malaysia anjuran Kelab Ekonomi ASEAN (AEC) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL), hari ini.

Chew Leong berkata, walaupun bekalan semasa masih mencukupi sehingga sekitar Jun, namun masih tiada ketidakpastian mengenai penghantaran seterusnya, sekali gus memerlukan perhatian serius oleh pihak berkaitan.

Beliau berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan kemudahan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dilihat mampu membantu perniagaan menyerap sebahagian kenaikan kos operasi.

Namun pada masa sama, katanya kerajaan juga mempunyai ruang untuk melaksanakan langkah rangsangan fiskal sekiranya keadaan ekonomi bertambah perlahan termasuk penyaluran bantuan tunai kepada rakyat melalui program seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau inisiatif seumpamanya.

Menurutnya, bekalan barangan kritikal seperti baja dan makanan juga perlu diberi perhatian bagi memastikan ia berada pada tahap mencukupi bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan yang boleh mencetuskan kesan domino kepada sektor lain.

"Kita tidak mahu situasi kekurangan bekalan yang akhirnya membawa kepada masalah lain seperti gangguan pembungkusan atau kekurangan bahan mentah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata Malaysia masih berada di landasan pertumbuhan yang positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai sekitar 4.5 peratus atau ke tahap atas julat itu.

Namun, beliau menjelaskan bahawa kesan sebenar kepada rakyat bergantung kepada struktur kos sesuatu barangan, khususnya tahap kebergantungan kepada import.

"Bagi produk yang mempunyai komponen import antara 40 hingga 60 peratus, kita menjangkakan kenaikan harga sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus. Ini adalah kesan minimum yang boleh berlaku dalam keadaan tekanan kos global.

"Sebaliknya, bagi produk domestik sepenuhnya, impak kenaikan harga adalah lebih sederhana iaitu sekitar 3.5 hingga 4.5 peratus kerana kos pengeluaran lebih tertumpu kepada faktor tempatan seperti tenaga dan bahan api.

"Walaupun terdapat sedikit komponen import dalam barangan domestik, impaknya lebih kepada kesan pusingan pertama dan tidak memberi tekanan besar kepada harga akhir," katanya.

Mohd Sedek berkata, sektor perubatan merupakan antara yang berisiko tinggi mengalami kenaikan harga berikutan kebergantungan besar kepada bekalan import.

"Disebabkan itu, kerajaan mengambil langkah untuk menyerap sebahagian kos tenaga dan pengangkutan bagi memastikan bekalan perubatan kekal mampu milik.

"Bagi barangan keperluan harian seperti tisu dan makanan asas, kesan kenaikan harga dijangka lebih terkawal dengan anggaran peningkatan sekitar 3.5 hingga 4.5 peratus berdasarkan unjuran harga minyak global sekitar AS$95 hingga AS$98 setong," katanya.





KONGSIKAN:



Ads Bottom