“Eh, kita bercuti 5 hari 4 malam. Masih boleh jama‘ dan qasar lagi ke?”
Ada yang kata, kalau bercuti lebih tiga hari, dah tak boleh jama‘ dan qasar.
Ada pula yang beranggapan, selagi belum masuk hari kelima, masih boleh mengambil rukhsah musafir.
Jadi, yang mana satu betul?
Sebenarnya, dalam Mazhab Syafi‘i, bukan sekadar jumlah hari percutian yang perlu dilihat. Waktu kita sampai dan waktu kita bertolak pulang juga memainkan peranan penting.
Malah, dua keluarga yang sampai di tempat percutian pada hari yang sama boleh mempunyai hukum yang berbeza hanya kerana waktu mereka merancang untuk pulang tidak sama.
Bagaimana boleh jadi begitu?
Mari kita fahami satu persatu.
Perincian hukum
1. Apa itu solat Jama dan Qasar?
Jama‘ bermaksud menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu.
Contohnya, solat Zuhur dan Asar dihimpunkan dalam waktu Zuhur (jama‘ takdim) atau waktu Asar (jama‘ takhir). Begitu juga solat Maghrib dan Isyak yang boleh dihimpunkan dalam salah satu daripada dua waktu tersebut.
Manakala qasar bermaksud memendekkan solat fardu yang asalnya empat rakaat kepada dua rakaat. Hanya solat Zuhur, Asar dan Isyak boleh diqasarkan. Solat Subuh dan Maghrib tidak boleh diqasarkan.
Jama‘ dan qasar juga bukan perkara yang sama. Seseorang musafir boleh melakukan jama‘ tanpa qasar, qasar tanpa jama‘ atau kedua-duanya sekali, mengikut syarat yang ditetapkan.
2. Apa syarat yang membolehkan seseorang Jama‘ dan qasar ketika bermusafir?
Menurut Mazhab Syafi‘i, antara syarat asasnya ialah:
Pertama: Perjalanan mencapai jarak dua marhalah.
Menurut Mazhab Syafi‘i, perjalanan mestilah mencapai jarak sekurang-kurangnya dua marhalah untuk membolehkan seseorang mengambil rukhsah jama‘ dan qasar kerana musafir.
Para ulama menganggarkan jarak dua marhalah sekitar 81 hingga 90 kilometer. Perbezaan ini berlaku kerana ukuran tersebut bersifat taqribi (anggaran), bukan tahdidi (ukuran yang ditetapkan secara tepat).
Kedua: Perjalanan mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syarak.
Contohnya, perjalanan untuk pulang ke kampung, bercuti bersama keluarga, bekerja, menuntut ilmu atau menziarahi saudara-mara. Adapun perjalanan yang bertujuan melakukan maksiat tidak membolehkan seseorang mengambil rukhsah musafir menurut Mazhab Syafi‘i.
Ketiga: Telah keluar daripada kawasan tempat tinggal.
Seseorang tidak boleh terus melakukan jama‘ dan qasar sebaik sahaja keluar dari pintu rumah. Dia perlu terlebih dahulu melepasi sempadan kawasan permukiman tempat tinggalnya menurut ketetapan fiqh.
Keempat: Tidak berniat menetap selama tempoh yang menyebabkan hukum musafir terputus. Inilah syarat yang berkait rapat dengan persoalan percutian kita.
Dalam Mazhab Syafi‘i, seseorang yang sejak awal berniat menetap di destinasi selama empat hari penuh berserta malam-malamnya, mengikut kaedah pengiraan yang ditetapkan, tidak lagi boleh mengambil rukhsah musafir apabila tiba di destinasi tersebut. Namun, hari ketibaan dan hari kepulangan mempunyai perincian tertentu dalam pengiraan tempoh ini.
Selain syarat asas perjalanan tersebut, terdapat juga syarat khusus ketika melaksanakan solat, seperti niat qasar ketika takbiratul ihram, tidak mengikut imam yang menunaikan solat secara tamam bagi solat yang hendak diqasarkan, serta syarat-syarat jama‘ takdim dan jama‘ takhir.
3. Berapa hari boleh tinggal di tempat percutian?
Menurut Mazhab Syafi‘i, seseorang yang sejak awal berniat untuk menetap selama empat hari penuh berserta malam-malamnya, mengikut kaedah pengiraan yang ditetapkan, tidak lagi boleh mengambil rukhsah musafir apabila sampai di destinasi.
Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut dalam kitab Mughni al-Muhtaj:
وَلَوْ نَوَى إِقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat menetap selama empat hari di sesuatu tempat, maka terputuslah hukum musafirnya apabila dia sampai di tempat tersebut.” (Rujukan: Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 519)
Dalam bahasa mudah, jika kita sudah merancang untuk tinggal di sesuatu tempat selama tempoh yang menjadikan kita mukim, kita tidak boleh lagi melakukan jama‘ dan qasar atas sebab musafir sebaik sahaja sampai di tempat tersebut.
Bukan tunggu selepas empat hari, baru tidak boleh qasar. Tetapi bagaimana pula hendak menentukan empat hari itu? Adakah hari kita sampai dan hari kita balik turut dikira?
4. Hari sampai dan hari balik, dikira atau tidak?
Dalam Mazhab Syafi‘i, hari sampai dan hari keluar tidak dikira sebagai hari penuh menurut perincian yang ditetapkan.
Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan:
وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ
Maksudnya: “Dan tidak dikira dalam tempoh tersebut hari dia masuk dan hari dia keluar, menurut pendapat yang sahih.” (Rujukan: Mughni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 519)
Contohnya, kita sampai di tempat percutian pada hari Ahad petang dan merancang untuk pulang pada hari Khamis siang. Bagaimana kiraannya?
Ahad: Hari sampai, tidak dikira sebagai hari penuh.
Isnin: Hari pertama.
Selasa: Hari kedua.
Rabu: Hari ketiga.
Khamis: Hari pulang, tidak dikira sebagai hari penuh.
Jadi, hanya ada tiga hari siang yang penuh, iaitu Isnin, Selasa dan Rabu.
Dalam keadaan ini, tempoh menetap tersebut belum mencapai kadar yang menyebabkan hukum musafir terputus. Maka, kita masih boleh mengambil rukhsah jama‘ dan qasar sepanjang berada di destinasi, selagi syarat-syarat musafir yang lain dipenuhi. Tetapi jangan terus membuat kesimpulan bahawa semua percutian dari Ahad hingga Khamis mempunyai hukum yang sama.
Mengapa? Kerana waktu pulang juga boleh mengubah kiraan tersebut.
5. Sama-sama balik hari Khamis, tapi hukum boleh berbeza?
Bayangkan dua keluarga pergi bercuti ke Langkawi. Kedua-duanya sampai pada hari Ahad pukul 4 petang. Namun, waktu mereka merancang untuk pulang tidak sama.
Keluarga pertama
Keluarga Ahmad sampai pada Ahad pukul 4 petang dan akan bertolak pulang pada Khamis pukul 11 pagi. Kiraan hari penuh mereka ialah:
Isnin: Hari pertama.
Selasa: Hari kedua.
Rabu: Hari ketiga.
Khamis: Hari pulang.
Oleh sebab hanya terdapat tiga hari siang penuh, mereka masih boleh mengambil rukhsah jama‘ dan qasar di destinasi, dengan syarat-syaratnya.
Keluarga kedua
Keluarga Ali juga sampai pada Ahad pukul 4 petang. Tetapi mereka sudah merancang untuk bertolak pulang pada Khamis pukul 9 malam, iaitu selepas Maghrib. Bagaimana pula kiraannya?
Isnin: Hari pertama.
Selasa: Hari kedua.
Rabu: Hari ketiga.
Khamis: Hari keempat.
Mengapa Khamis turut dikira? Kerana apabila masuk waktu Maghrib pada hari Khamis, hari siang Khamis telah pun berlalu sepenuhnya. Ini bermakna keluarga Ali telah merancang untuk berada di destinasi selama empat hari siang penuh bersama malam-malam yang berkaitan.
Maka, menurut Mazhab Syafi‘i, mereka tidak lagi boleh mengambil rukhsah jama‘ dan qasar atas sebab musafir sebaik sahaja sampai di destinasi.
Perhatikan, kedua-dua keluarga sampai pada hari Ahad dan pulang pada hari Khamis. Tetapi waktu pulang yang berbeza menyebabkan tempoh menetap mereka tidak sama dari sudut pengiraan fiqh. Sebab itulah kita tidak boleh menentukan hukum hanya berdasarkan nama hari.
6. Kalau sampai selepas magrib, bagaimana pula?
Ini juga antara perkara yang perlu diberi perhatian. Dalam pengiraan hari menurut Islam, malam bermula apabila masuk waktu Maghrib.
Contohnya, kita sampai di tempat percutian pada hari Ahad pukul 9 malam. Dari sudut pengiraan Islam, waktu tersebut sudah dianggap malam Isnin. Jika kita merancang untuk pulang pada hari Jumaat pukul 10 pagi, bagaimana kiraannya?
Malam Isnin: Waktu ketibaan.
Isnin siang: Hari pertama.
Selasa siang: Hari kedua.
Rabu siang: Hari ketiga.
Khamis siang: Hari keempat.
Jumaat siang: Hari pulang.
Dalam keadaan ini, tempoh menetap sudah merangkumi empat hari siang penuh, iaitu Isnin hingga Khamis, bersama malam-malam yang berkaitan. Maka, jika tempoh tersebut sudah dirancang sejak awal, hukum musafir terputus apabila kita sampai di destinasi.
Perkara ini dijelaskan dalam Hasyiah al-Syirwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj:
وَتُحْسَبُ اللَّيْلَةُ الَّتِي تَلِي يَوْمَ الدُّخُولِ وَكَذَا الْيَوْمُ الَّذِي يَلِي لَيْلَةَ الدُّخُولِ
Maksudnya: “Dan dikira malam yang menyusuli hari masuk, begitu juga hari yang menyusuli malam masuk.” (Rujukan: Tuhfah al-Muhtaj bersama Hasyiah al-Syirwani, jilid 2, hlm. 377)
Jadi, jika sampai pada waktu siang, malam selepas hari ketibaan sudah termasuk dalam pengiraan. Begitu juga jika sampai pada waktu malam, hari siang selepas malam ketibaan turut dikira.
7. Kalau sudah tempah hotel 5 hari 4 malam, automatik boleh qasar?
Tidak semestinya. Ini kerana istilah “5 hari 4 malam” yang digunakan dalam pakej percutian tidak semestinya sama dengan kaedah pengiraan tempoh menetap dalam Mazhab Syafi‘i.
Contohnya - Situasi pertama:
Sampai Ahad pukul 4 petang. Pulang Khamis pukul 11 pagi. Hanya tiga hari siang penuh yang dikira.Masih boleh jama‘ dan qasar di destinasi, dengan syarat-syaratnya.
Contoh - Situasi kedua:
Sampai Ahad pukul 4 petang. Pulang Khamis pukul 9 malam, selepas Maghrib. Empat hari siang penuh telah termasuk dalam tempoh menetap. Tidak boleh jama‘ dan qasar atas sebab musafir di destinasi kerana sejak awal sudah berniat menetap selama tempoh tersebut.
Contoh - Situasi ketiga:
Sampai Ahad pukul 9 malam, selepas Maghrib. Pulang Jumaat pukul 10 pagi. Empat hari siang penuh, iaitu Isnin hingga Khamis, termasuk dalam pengiraan. Tidak boleh jama‘ dan qasar atas sebab musafir di destinasi.
Daripada contoh-contoh ini, kita dapat memahami bahawa waktu sebenar sampai dan waktu bertolak pulang sangat penting dalam menentukan hukum.
Ada satu lagi perkara yang perlu difahami. Apabila seseorang sudah berniat untuk menetap selama empat hari penuh mengikut kiraan Mazhab Syafi‘i, hukum musafirnya terputus apabila dia sampai di destinasi. Namun, ini tidak bermaksud dia langsung tidak boleh mengambil rukhsah musafir sepanjang perjalanan tersebut.
Contohnya, Ali bertolak dari Selangor menuju ke Kelantan untuk bercuti selama seminggu.
Ketika dalam perjalanan pergi, Ali boleh mengambil rukhsah jama‘ dan qasar setelah memenuhi syarat musafir. Apabila sampai di Kelantan, dia tidak lagi boleh mengambil rukhsah tersebut kerana sejak awal sudah berniat untuk menetap selama tempoh yang menjadikannya mukim. Apabila Ali memulakan perjalanan pulang ke Selangor, dia boleh kembali mengambil rukhsah musafir setelah melepasi sempadan kawasan permukiman tempat dia menetap sementara itu, dengan syarat perjalanan pulangnya juga memenuhi syarat musafir. Jadi, jangan keliru antara hukum ketika dalam perjalanan dengan hukum ketika sudah sampai dan menetap di destinasi.
Ada tiga perkara penting yang perlu kita ingat.
Pertama, dalam Mazhab Syafi‘i, jika seseorang sejak awal berniat menetap selama empat hari penuh mengikut kaedah pengiraan fiqh, hukum musafir terputus sebaik sahaja dia sampai di destinasi.
Kedua, hari sampai dan hari keluar tidak dikira sebagai hari penuh menurut perincian yang ditetapkan. Namun, waktu ketibaan dan kepulangan tetap perlu diperhatikan, khususnya apabila melibatkan waktu selepas Maghrib.
Ketiga, percutian yang disebut sebagai lima hari empat malam tidak semestinya menyebabkan hukum musafir terputus. Semuanya bergantung pada tempoh menetap yang sebenar dan syarat-syarat musafir yang lain.
Jadi, sebelum kita berkata, “Saya bercuti lima hari, mesti dah tak boleh jama‘ dan qasar.”
Atau, “Saya belum masuk hari kelima, mesti masih boleh qasar.”
Cuba semak dahulu bila kita sampai dan bila kita akan bertolak pulang.
Kadangkala perbezaan beberapa jam sahaja boleh memberi kesan kepada pengiraan tempoh menetap dan hukum solat musafir.
Semoga penjelasan ini membantu kita memahami rukhsah yang Allah SWT berikan dan menjaga solat dengan lebih sempurna, sama ada ketika berada di rumah mahupun ketika bermusafir.
Wallahu a‘lam.
Tulisan asal Ustazah Asma’ Harun
Rujukan :
1. Imam al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, jilid 1, hlm. 519–520.
2. Imam Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, jilid 2, hlm. 377.
3. Hasyiah al-Syirwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, jilid 2, hlm. 377.
4. Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, AL-KAFI #1181: Maksud Dua Marhalah di dalam Jamak dan Qasar.
KONGSIKAN:
