Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Siapa Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi



Masih membekas di ingatan saya pada hari Ahad bertarikh 21 Disember 2014, saya terbaca di newsfeed Facebook, laporan sebuah akhbar berbahasa Arab tentang tindakan INTERPOL mengeluarkan waran tangkap terhadap Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh INTERPOL pada 4 Disember 2014, beliau dikatakan “merestui, menghasut, dan membantu melakukan pembunuhan sengaja, membantu banduan untuk melarikan diri, pembakaran, vandalisme dan mencuri” di negara asalnya.

Dunia Islam gempar dan saya kira pelbagai pihak di dunia Islam membantah tindakan tersebut. Protes dijalankan di mana-mana oleh individu mahupun NGO-NGO termasuk di Malaysia. Mana mungkin Tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa 2009 yang dianugerahkan kerajaan Malaysia dituduh sebegitu rupa? Sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada ketika itu, saya turut menzahirkan bantahan secara rasmi melalui pengeluaran Bayan Linnas khas dan penerbitan sebuah buku yang bertajuk Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi: Siapakah Beliau?
Hanya selepas lebih 3 tahun kemudian iaitu pada tahun 2018, barulah INTERPOL menarik kembali dakwaan tersebut.

Nama sebenar beliau ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Dilahirkan pada tahun 1926 di sebuah perkampungan Saft Turab (صفط تراب), Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir. Sebutan yang tepat ialah “al-Qaradhawi” seperti yang dinyatakan dalam buku beliau, Ibnu al-Qaryah wa al- Kuttab, tetapi ahli Syam menyebutnya dengan “al-Qardhawi”. Ianya nisbah kepada perkampungan al-Qardhah (القرضة) atau al-Qardha (القرضا) di Kafr al-Syeikh, Tanta.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa keluarga al-Qaradhawi sebenarnya adalah amat kecil. Gelaran al-Qaradhawi sebagai nama keluarga telah tersebar ke pelusuk Mesir bahkan juga terdapat di Libya. Ada yang menghantar surat kepadanya dan menyatakan keturunan Qardhawiyyah, nisbah kepada perkampungan al-Qardhah dan dikatakan bahawa asal mereka daripada keluarga `Aum iaitu keluarga yang mulia nisbah kepada Saidina Hussain.

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Ayahku telah berkahwin dengan seorang perempuan sebelum dengan ibuku tetapi tidak memperolehi cahaya mata kemudian kedua-duanya berpisah. Kemudian, beliau berkahwin dengan ibuku, seorang janda di mana ibuku telah berkahwin dengan sepupunya ketika beliau kecil yang tinggal di Kaherah. Cumanya kehidupan tidak stabil kerana suaminya peminum arak kemudian balik pada waktu malam dalam keadaan mabuk sedangkan ibuku seorang wanita kampung yang cukup asing dengan cara kehidupan tersebut.”

“Datukku menziarahi ibuku pada satu hari dan melihat keadaan tersebut. Ibuku akhirnya diceraikan oleh suaminya, sedangkan ketika itu ibuku sedang dalam keadaan hamil, dan lahir seorang anak perempuan yang menjadi kakakku dalam usia lapan tahun lebih tua daripadaku, diberi nama Ruhiyyah.
Selepas tujuh tahun, barulah bapaku mengahwini ibuku dan dalam masa tempoh yang sekejap, ibu mengandungkanku.”

“Mereka sepakat menamakanku dengan Yusuf mengikut nama bapa saudaraku yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak. Justeru namaku sebenar Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf.”

“Bapanya meninggal dunia ketika beliau masih lagi kanak-kanak dan berusia sekitar 2 tahun. Beliau berkata: “Aku menyangka bahawa bapaku sakit berkaitan dengan penyakit kencing dan selepas penyakit itu bertambah parah kerana kemiskinan tanpa mampu merawatnya, beliau mati disebabkan penyakit itu, dan ramai lagi yang mati akibat penyakit seperti itu sedangkan itu sebenarnya ialah penyakit yang mudah untuk dirawat.”

Mengimbau kembali beberapa ketika sebelum ibunya meninggal dunia, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: “Ketika ibuku sakit berat, keluarga telah memanggil dari asrama dan aku pulang ketika itu aku melihat ibuku cukup gembira dengan kepulanganku. Bila keadaannya hampir sihat aku pulang semula ke asrama di mana ketika berpisah aku melihat matanya dan beliau memelukku dengan pelukan yang lama sedangkan dia berada di atas tilam dan mengucapkan selamat tinggal kepadaku dalam keadaan air matanya mengalir.”

“Ibuku sempat mendoakan kepadaku supaya aku dikasihi oleh orang ramai. Aku yakin dengan berkat ibuku itulah menyebabkan di mana sahaja aku pergi ramai yang berkata kepadaku, “Ya Syeikh! Saya sayangkan awak”. Ibunya meninggal beberapa hari kemudian, setelah beliau pulang ke asrama.

Setiap kali meneliti satu persatu garis masa kehidupan beliau dalam buku Ibn al-Qaryah wa al-Kuttab, memberi saya satu kefahaman bahawa menjadi “seorang” Yusuf al-Qaradhawi bukanlah mudah. Ia bukan semata-mata anugerah tetapi bersamanya sebuah keazaman, pengorbanan dan kesungguhan yang amat tinggi. Beliau pernah menjadi fenomena di seluruh dunia sehingga diberi jolokan The Global Mufti dalam sebuah buku Global Mufti: The Phenomenon of Yusuf Al-Qaradawi suntingan Bettina Graf dan Jakob Skovgaard-Petersen.

Deretan karya penulisan beliau dalam Bahasa Arab dan kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa dunia memberi kefahaman kepada kita bahawa beliau bukan lagi tokoh yang hanya dikenali masyarakat setempat tetapi seorang ulama’ yang diiktiraf dunia. Pada saya, almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bukan semata-mata seorang individu tetapi “sebuah madrasah” yang membina satu gagasan baharu dalam kefahaman Islam era kontemporari yang bersifat wasatiyyah. 

Beliau bukanlah maksum namun saya yakin, kita semua yang terhutang budi dengan keilmuannya, pasti mendoakan keampunan-Nya buat beliau serta mengharapkan beliau ditempatkan di kedudukan yang tertinggi di sisi-Nya. Syeikhul Ummah ini telah menyelesaikan amanahnya sebagai khalifah di muka bumi ini sekadar kemampuannya, sedangkan kita masih belum bertemu titik kesudahannya. Wallahu a’lam.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Dewan Negara

Ikuti kami di :
KONGSIKAN:


Ads Bottom