Terkini

20/trending/recent

X-PLORASI

Masukkan carian anda di sini !

Tuan Guru Haji Hussin "Burung Hantu", Pondok Titi Lahar, Guar Cempedak



Tuan Guru Haji Hussin "Burung Hantu", Pondok Titi Lahar, Guar Cempedak ( 1924 - 2002 )

Nama penuhnya ialah Tuan Guru Haji Hussin Bin Haji Awang @ Muhammad dan beliau dilahirkan pada tahun 1924 di Merbok, Kedah berhampiran dengan Pondok Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok. Ayahnya bernama Haji Awang @ Muhammad Bin Ismail manakala ibunya pula Aishah. Beliau mempunyai seorang adik perempuan bernama Aminah, serta beberapa adik beradik sebapa. Ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adiknya. Keturunannya di atas lagi berasal dari Kelantan. 

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau mendapat gelaran "Burung Hantu" tersebut, tapi menurut waris al-Marhum, sejak dari di Merbok lagi beliau telah mendapat gelaran itu.

Pendidikan beliau yang awal di Sekolah Melayu Batu Hampar, Merbok sehingga tamat darjah rendah dan kemudian beliau menuntut ilmu daripada Tuan Guru Haji Abdul Majid Bin Awang di Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sekitar hujung 1930an dimana ketika itu Tuan Guru Haji Majid mengajar di sana. Selepas beberapa tahun, gurunya itu berpindah ke Guar Cempedak, Yan lalu mendirikan sebuah pondok, beliau juga diminta ikut bersama. Boleh dikatakan bahawa Tuan Guru Haji Hussin adalah antara murid lapis awal kepada Tuan Guru Haji Abdul Majid.

Sambil belajar di pondok, beliau juga diminta untuk mengajar pelajar-pelajar selaku kepala mentela'ah. Antara muridnya yang dapat dikenal pasti ialah :

1. Tuan Guru Haji Zakaria Bin Ismail, Pondok Ampang
2. Syeikh Haji Sanusi al-Kholidi, Tokai
3. Puan Guru Hajah Raudhah Binti Haji Hassan, Kampung Sawa Kechil

Dan antara sahabat-sahabat beliau pula yang diketahui ialah Tuan Guru Haji Muhammad Aqib, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Tuan Guru Haji Yusof Saad dan ramai lagi.

Tuan Guru Haji Hussin juga ada membina sebuah surau/bailasah kecil di hadapan rumahnya untuk mengajar orang-orang tua pondok pada setiap pagi.

Beliau terus menetap di Pondok Tuan Guru Haji Majid sehingga lah gurunya meninggal dunia pada tahun 1986. Ini bermakna, hampir 40 tahun beliau kekal duduk bersama guru kesayangannya itu.

Pada tahun 1988, beliau telah berpindah ke Kampung Titi Lahar, Guar Cempedak (berhampiran Pondok Tuan Guru Haji Hussin Che Dol) dan memindahkan sekali bangunan bailasah yang dibinanya di Pondok Haji Majid.

Akhirnya Tuan Guru Haji Hussin membuka pondok beliau sendiri di tempat baru yang dipanggil Pondok Padang, Titi Lahar. Antara sahabatnya yang bersama dalam usaha ini ialah Haji Ibrahim Ayer Hitam dan Pak Yusof Awang. Di sini juga beliau teruskan aktiviti mengajarnya untuk warga pondok pada setiap malam. Antara kitab yang diajar ialah :

1. Matla al Badrain
2. Wisyahul Afrah
3. Bughyatul Tullab
4. Matan Ummul Barahin

Selain itu beliau juga mengajar setiap hari Jumaat di Masjid Bukit Jenun dan Masjid Sungai Dedap bersilih ganti.

Beliau telah berkahwin dengan Raudhiah @ Manis Binti Abdullah orang Sungai Tiang, dan hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan 11 orang cahaya mata, yang membesar sehingga dewasa hanya 8 orang iaitu :

1. Abdul Wahab
2. Habsah
3. Hamidah
4. Sofiah
5. Azizah
6. Mariam
7. Abdul Ghafar
8. Hasnah

Beliau akhirnya meninggal dunia pada 18 Ogos 2002 dalam usia 78 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Guar Cempedak, Yan.

Sumber - Temubual dengan Ustaz Abdul Ghafar (anakanda Allahyarham) pada 7 November 2024, Tengku Yusuff, Jejak Ulama









KONGSIKAN:



SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

SUBSCRIBE : X-PLORASI TELEGRAM

Ads Bottom